Archive for August 29th, 2007

29
Aug
07

KEMERDEKAAN 5

Setelah Umno menolak National Conference kerana tidak mahu pengaruh Dato’ Onn kembali berakar dalam parti itu, Umno berusaha untuk menyaingi National Conference dengan mencadangkan sebuah pertubuhan lain yang hampir serupa dengan pertubuhan itu.

PAS menyambut baik cadangan yang dibuat oleh Umno kerana ia bertujuan untuk menuntut kemerdekaan negara. PAS juga menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan pertubuhan baru ini jika ia memberi manfaat kepada usaha menghalau penjajah dari Tanah Melayu. Yang Dipertua Agung PAS membuat kenyataan tentang pendirian PAS terhadap cadangan Umno ini: “PAS akan bersedia menyertai di dalam badan tersebut (National Convention) selagi PAS berpendapat bahawa segala tindakan yang diambil itu akan berkesan bagi mencapai kemerdekaan Malaya dan berjaya bagi menegakkan sebuah negara demokrasi”.

Sikap terbuka PAS ini jelas menggambarkan bahawa PAS sebagai sebuah parti baru bersedia untuk duduk semeja sama ada dengan kumpulan Dato’ Onn atau kumpulan Tunku Abdul Rahman dalam perjuangan kemerdekaan.

Atas kesedaran ini, pada 26 Jun 1953, PAS bersetuju untuk hadir dalam National Convention jika dijemput oleh Umno. Pada 23 Ogos 1953, PAS menyertai National Convention dengan diwakili Haji Ahmad Fuad dan Mohamad Hanif. Perikatan Umno-MCA telah menjemput 13 pertubuhan menyertai National Convention iaitu Pan Malayan Labour Party (PMLP), MIC, Malayan Indian Association (MIA), Federation of Indian Organisations (FIO), Malayan Indian Born Association (MCBA), Straits Chinese British Association (SCBA), Eurasian Association of Malaya, Persatuan Melayu Semenanjung (PMS), IMP, PAS, Malayan Association (MI), Ceylonese Federation (CF) dan Sinhanes Association. Tetapi hanya Umno, MCA, PMS, PAS, Persetiaan Melayu Kelantan (PMK), PMLP dan Selangor Rent Payers’ Association (SRCA) yang hadir dengan dipengarusikan oleh Tunku Abdul Rahman.

Dalam persidangan pada 23 Ogos 1953, Mohamad Hanif dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa National Convention tetapi beliau menolak perlantikan ini kerana PAS memutuskan wakilnya “tidak boleh menerima sebarang lantikan” dalam National Convention.

Tujuan National Convention ialah memperjuangkan pilihan raya segera ke arah membentuk kerajaan sendiri dan mencapai kemerdekaan. National Convention kemudian memutuskan satu perisytiharan bahawa: “Kami wakil-wakil pertubuhan siasah yang demokratik di Tanah Melayu, dengan ini mengisytiharkan bahawa kami akan berusaha bagi mencapai dengan perlembagaan dan damai sebuah negara merdeka lagi berdaulat di dalam lingkungan British Komanwel iaitu mengandungi semua negeri Melayu dan ‘Settlements’ yang pada mana ini terkenal sebagai Persekutuan Tanah Melayu. Sebagai langkah untuk mencapai tujuan tersebut maka kami dengan ini menuntut supaya diadakan pilihan raya Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan Tanah Melayu dalam tahun 1954”.

Tentang pemilihan tahun 1954 ini (National Conference memilih 1956), Setiausaha National Conference, T.H Tan menjelaskan: “We dicided on 1954 as a target-date (for election) because, by 31 January of that year, the life of the existing Federal Legislative Council would end and with it the life of the new Council would begin. The moment was therefore opportune to seek the election of new members on democratic lines”.

tuntutan PAS

Sebuah Jawatankuasa Khas National Convention untuk merundingkan tentang pilihan raya ditubuhkan. Jawatankuasa ini telah menggariskan beberapa cadangan asas untuk pilihan raya yang dicadang selewat-lewatnya pada November 1954. Selain perisytiharan yang menepati dasar-dasar PAS tentang kemerdekaan ini, beberapa perkara lain turut dipersetujukan. Antara perkara utama yang dipersetujukan oleh PAS dalam National Convention adalah:

  1. Menuntut kemerdekaan secara berperlembagaan meliputi semua negeri Melayu termasuk Negeri-negeri Selat.
  2. Menuntut satu pilihan raya federal yang segera diadakan pada 1954 oleh British sebagai satu persiapan untuk berkerajaan sendiri dan mencapai kemerdekaan.
  3. Dasar kerajaan Persekutuan Tanah Melayu merdeka antaranya: i) Mendirikan, menaungi dan mempertahankan dasar-dasar kerajaan sendiri yang bercorak demokrasi dan bertanggungjawab; ii) Mempertahankan kedudukan raja-raja Melayu sebagai ketua-ketua negara yang berperlembagaan; iii) Mendiri, menaungi dan mempertahankan kebebasan beragama, kebebasan berfikir, kebebasan menyatakan fikiran dan kebebasan berhimpun dan berpersatuan; dan iv) Menimbang, menyesuaikan dan mendamaikan tuntutan-tuntutan yang bertelingkah daripada kaum-kaum dan puak-puak serta memelihara hak-hak minoriti.

Penyertaan PAS dalam National Convention dan National Conference serentak ini telah menimbulkan persoalan di kalangan ahli-ahli PAS sehingga mereka mendesak diadakan satu Mesyuarat Agung Khas bagi memutuskan pendirian PAS.

Jawatankuasa Kerja Agung PAS kemudian bersetuju mengadakan Mesyuarat Agung Khas di Tanah Liat pada 26 September 1953. Mesyuarat ini kemudiannya memutuskan supaya PAS menyertai National Convention tajaan Umno-MCA sehingga menyebabkan Yang Dipertua Agungnya meletakkan jawatan. Selepas itu, kepemimpinan PAS diambil alih oleh Dr Haji Abbas Alias sebagai pemangku.

Dr Haji Abbas Alias sebagai bekas tahanan politik British pada 1940 mempunyai sikap yang tegas terhadap hak ketuanan Melayu terutama soal kerakyatan jus soli. PAS menerima jemputan untuk mesyuarat National Convention kedua pada 11 Oktober 1953 dan PAS pada 8 Oktober 1953 telah memutuskan empat perkara tambahan kepada Perlembagaan Malaya (yang diputuskan pada 26 Mei 1953) untuk dikemukakan ke dalam National Convention iaitu:

  1. Hak mengundi hanya untuk rakyat Raja-raja Melayu dan rakyat Persekutuan sahaja dengan menolak hak mengundi berasaskan jus soli.
  2. Penambahan ahli Majlis Undangan Persekutuan yang mewakili tanaman padi, hidupan (haiwan) dan tanaman selain getah dan padi, serta mengurangkan wakil lombong dan getah. Dalam kata lain padi adalah wakil ekonomi Melayu, lombong (Cina) dan getah (Eropah).
  3. Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah dari luar Tanah Melayu dan tidak berkepentingan.
  4. Bahasa rasmi Majlis Undangan Persekutuan hendaklah bahasa Melayu. Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua untuk sementara waktu.
  5. Walau bagaimanapun, dalam persidangan pada 11 Oktober 1953 itu, cadangan PAS tentang tegahan hak mengundi mengikut jus soli telah ditolak oleh National Convention. T.H Tan menjelaskan: “every democratic government recognizes the principles of jus soli, which confers citizenship rights on those born in the country”.

    PAS sebaliknya mempunyai pendirian bahawa jus soli adalah “suatu dasar yang merugikan perjuangan kita (orang Melayu Islam) di Tanah Melayu ini”. Turut ditolak ialah cadangan PAS untuk menambahkan wakil sektor ekonomi Melayu iaitu padi, ternakan dan tanaman dan mengurangkan wakil ekonomi Cina (lombong) dan Eropah (ladang getah). Kecuali wakil PAS dan dua wakil PMS sahaja yang menyokong, kesemua 28 lagi wakil pelbagai pertubuhan termasuk Umno menolak cadangan PAS untuk meningkatkan pengaruh ekonomi Melayu.

    Kerana sikap National Convention yang dilihat merugikan umat Melayu Islam, PAS memutuskan untuk menarik diri daripada National Convention. Jawatankuasa Kerja Agung PAS mengambil keputusan untuk tidak lagi menyertai National Convention pada 25 Disember 1953 kerana bertegas dengan cadangannya.

    Dalam Mesyuarat Agung PAS Ketiga pada 12-14 Ogos 1954, PAS membuat keputusan rasmi menarik diri daripada National Convention tetapi masih bersedia “menyokong mana-mana pertubuhan untuk kemerdekaan Malaya”.

29
Aug
07

Memperkasakan Gerakan Mahasiswa

Oleh: Ahmad Tarmizi Mohd Din (Presiden GAMIS)

MUQADDIMAH

Tahun 2006 telah mencatatkan sejarah kepada gerakan mahasiswa Islam (GMI) seluruh negara. Demokrasi kampus dewasa ini merakamkan sejarah paling mundur bagi kemerdekaan negara yang berusia hampir 50 tahun. Universiti tidak lagi mampu melahirkan mahasiswa yang berjiwa kritis dan ‘independent’. Tetapi, apa yang ada sekarang adalah universiti yang tidak lebih daripada tempat belajar untuk menjadi hamba sahaya, pak turut dan boneka.

Situasi ini lebih merumitkan lagi apabila GMI semakin lesu dan malap akibat daripada perancangan sistematik yang telah disusun atur oleh pihak yang mencemburuinya. Justeru, persoalan yang perlu dilontarkan adalah apakah GMI hari ini telah membuat persiapan untuk merangkul semula kegemilangan dan keunggulan atau lebih selesa dengan status quo yang ada.

SOROTAN SEJARAH; MAHASISWA DAN PERKEMBANGAN ISLAM

Menyelusuri lipatan sejarah perjuangan Islam di dunia, kita tidak dapat menafikan penglibatan gerakan mahasiswa Islam (GMI) yang turut memberi sumbangan yang efektif. Bahkan, mahasiswa juga pernah berada di ‘front line’ dalam menangani sesuatu isu berkaitan agama Islam dan keadilan. Tuntasnya, aktivisme GMI sebenarnya berdiri atas pertimbangan keadilan mengikut prinsip Islam. Dasar yang jelas ini meletakkan GMI merentasi perjuangan hak etnik, pemeliharaan sosial, pembangunan ekonomi, kepentingan politik dan sebagainya.

Pak Hamka pernah menyebut;

“Meninjau sejarah hendaklah dengan rasa cinta, seakan-akan merasai bahawa kita turut hidup dengan mereka. Sebab rasa hati hati dan suka duka kita sekarang adalah rasa hati dan suka duka yang mereka tinggalkan buat kita”.

Sekiranya kita mengkaji perjuangan Islam seluruh dunia, kita akan menyaksikan GMI turut terlibat dalam mendaulatkan Islam di negara masing-masing. Di Afhganistan, Ahmad Niazi telah memimpin Juanan Muslim (kemudian dikenali sebagai Jamiyyah al-Islamiyyah)pada tahun 1972. Di Iran, Mahmood Ahmadinejad, mahasiswa Islam University Sains Dan Teknologi Iran (IUST) adalah antara pemimpin gerakan mahasiswa Islam yang terkenal sebagai ‘nadi utama’ Pasukan Keselamatan Revolusi Iran (Sepah-e Pandaran-e Enghelab-e Islami) pada tahun 1976. Di India, Mohammad Ahmadullah Siddiqi telah menubuhkan Student Islamic Movement of India (SIMI) pada April 1977 demi menangani liberasime dalam masyarakat India dan mendirikan Dar al-Islam. Di Mesir, beberapa mahasiswa Melayu-Islam seperti Tuan Ahmad Ata’ullah Suhaimi, Tn. Hj Muhammad Fadhullah Suhaimi (tokoh Ulama’ Melayu Nusantara), Sheikh Salleh Masri, Idris Marbawi, Muhammad Nasir (tokoh MASYUMI) dan sebagainya adalah antara tokoh GMI pada pringkat awal sehingga tertubuhnya Persatuan Kebajikan Anak-Anak Jawa pada tahun 1918, kemudiannya Pertubuhan Persekutuan Putera-Putera Semenanjung (PPS) pada tahun1930 (kini dikenali sebagai Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir – PMRAM, 1972).

Di Malaysia, GMI wujud sejak sebelum merdeka lagi. Madrasah Gunung Semanggol dan Maktab Perguruan Sultan Idris (kini Universiti Perguruan Sultan Idris – UPSI) merupakan antara pentas awal aktivisme GMI. Penulis melihat penubuhan Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) pada tahun 1956 lebih dianggap antara titik perkembangan wujud GMI di Malaysia. PMI menjadi salah satu pertubuhan yang cuba memberi kesedaran Islam (faham Islam) kepada masyarakat kampus dan luar kampus[1].

Antara isu-isu yang pernah dibangkitkan oleh GMI adalah seperti berikut;

1- Membantah sebarang bentuk kerjasama dengan negara haram Israel- demonstrasi menghalau pasukan kriket Israel (1997).

2- Mendesak kerajaan untuk menangani isu murtad secara lebih tegas dan berkesan.

3- Menggesa kerajaan membina masjid berdekatan Universiti Malaya (1960).

4- Menganjurkan perhimpunan aman di depan Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur demi membantah campurtangan Amerika dalam Perang Arab-Israel (1973).

5- Mengangadakan demonstrasi untuk membela nasib masyarakat di Baling (1974).

6- Membantah kemasukan artis dan maksiat ke dalam kampus. Contohnya tindakan membantah konsert Sudirman (1985)dan konsert Headwind (1987).

Tahap perkembangan kesedaran di kalangan mahasiswa Islam ini menyebabkan mereka ini dikenali sebagai kelompok Islamis (Islamic group) yang sangat aktif dan bertanggungjawab dalam pelbagai perkara. Realiti ini meletakkan GMI di Malaysia juga bukan lagi sebuah wadah pinggiran dalam melestarikan kepentingan agama di kampus semata-mata, malah GMI sudah menjadi salah satu entiti perjuangan rakyat Malaysia.

 

CABARAN GMI DALAM LANDSKAP PERJUANGAN ISLAM MASAKINI

Dalam senario politik dan sosio-ekonomi yang kian berubah, wujud satu keperluan bagi GMI untuk membuat Islah dan Tajdid dalam pendekatan mereka. Proses mentajdidkan orientasi gerakan ini sangat diperlukan bagi memastikan GMI terus relevan untuk menghadapi era yang mencabar ini tanpa mengabaikan keyakinan terhadap prinsip ‘omnipresence’ Islam (kesesuaian/ kehadiran Islam sepanjang masa) dan ‘truism’ Islam (dimensi kebenaran Islam di mana-mana).

GMI sebelum itu perlulah mencermati cabaran semasa yang wujud supaya gerakan membantu perkembangan Islam yang dibawa tidak bersifat jumud dan statik.

Antara cabaran-cabaran terbesar yang terpaksa dihadapi oleh GMI masakini adalah:

1- Serangan agenda globalisasi yang datang bersama pakej ‘new world orde’ dan segala ancaman yang ada terhadap mahasiswa Islam.

Cabaran pertama yang terpaksa dihadapi oleh GMI pada masa kini adalah persoalan bagaimana menyedarkan masyarakat Islam kampus yang sedang diulit oleh budaya hiburan melampau. ‘Trend-trend’ yang negatif seperti budaya memakai salib, seks bebas, ‘clubbing’, mat rempit dan menonton filem lucah semakin aktif berlegar di kalangan mahasiswa Islam itu sendiri. Fenomena ini akhirnya menyebabkan mereka hanyut dalam dunia mereka sendiri tanpa mengendahkan suasana di luar.

Situasi ini menjadi lebih meruncing lagi apabila pihak universiti sendiri memasukkan budaya ini dari luar kampus. Kehadiran artis-artis pujaan sewaktu majlis konvokesyen disambut meriah oleh mahasiswa melebihi kehadiran menteri dan para cendekiawan negara. Artis-artis ini seterusnya dianggap sebagai idola bagi mereka. Setiap perlakuan dan gaya artis tersebut ditiru dan diperbincangkan secara hangat di kalangan mereka.

Penglibatan mahasiswa dan pelajar sekolah dengan kegiatan jenayah juga semakin membimbangkan. Menurut satu laporan, sejak tahun 2001 hingga 2004, seramai 10 926 pelajar telah ditangkap membabitkan 6 109 kes jenayah juvana. Seramai 671 pelajar pula telah diberkas dan dikenal pasti sebagai perogol pada penghujung tahun 2003.

Beberapa gejala yang disebutkan ini terhasil disebabkan kurangnya pengawalan terhadap unsur-unsur luar dari menerjah masuk ke minda mahasiswa Islam itu sendiri. Akhirnya, mahasiswa semakin jauh dari Islam dan ajarannya. Benarlah apa yang disebutkan oleh Allahyarham Syeikh Abu Hassan Ali An-Nadawi, “Krisis iman dan akhlak yang berleluasa di kalangan umat Islam telah menyebabkan wujudnya jurang yang semakin jauh antara sikap dan tingkah laku umat Islam berbanding ajaran Islam yang suci dan mulia”.

2- Penjenamaan Islam dengan pelbagai konsep mengikut pemikiran kelompok-kelompok tertentu.

Kemunculan pelbagai jenis konsep Islam di era pemerintahan negara masakini turut memberikan kesan kepada masyarakat kampus. Konsep-konsep ini menambahkan kekeliruan kepada mereka untuk mengenalpasti Islam yang sebenar. Memetik kenyataan Hisyamudin Rais di dalam satu forum bersama siswa-siswi Malaysia di Amerika, “ Di Malaysia kini terdapat dua kumpulan besar yang berlumba-lumba untuk membukti siapa lebih Islam”. Doktrin-doktrin seperti ‘equality of gender’, ‘morality cannot be legislated’ yang terhasil dari konsep pluralisme, liberalisme dan pelbagai lagi berlegar-legar di kalangan masyarakat khususnya mahasiswa.

Berbekalkan kecetekan ilmu pengetahuan agama dari sistem pendidikan negara yang ada, mereka tidak dapat melawan arus serangan ideologi dan pemikiran yang menerjah masuk. Tambahan pula, unsur-unsur yang mengelirukan ini bebas tersebar di dada-dada media ‘mainstream’ dan picisan seolah-olah mendapat ‘green light’ melalui tangan mereka yang berkuasa.

3- Keterbatasan suara dan tindakan akibat belenggu AUKU 1971 dan akta-akta drakonian yang lain.

GMI juga terpaksa berhadapan dengan akta-akta yang membataskan kehendak mereka untuk bersuara. Berlaku pencabulan yang serius terhadap hak asasi mahasiswa sepanjang tahun 2004 khususnya yang menyentuh soal hak berkumpul, hak menyatakan pendirian dan pandangan, hak berpersatuan, hak menyertai sebarang program dan hak berpolitik.

Secara keseluruhannya seramai 50 orang mahasiswa telah dihadapkan ke jawatankuasa tatatertib universiti disebabkan kesalahan di bawah AUKU sepanjang 2004, sedangkan para mahasiswa yang terlibat hanya menterjemahkan hak mereka sebagaimana yang diperakui oleh Perlembagaan Persekutuan dan Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1951. Selain itu kes sebelum ini yang melibatkan 7 mahasiswa (ISA 7) masih berlarutan hampir mencecah 6 tahun. Hak untuk mendapat pendidikan ke atas ketujuh-tujuh mangsa dinafikan sepanjang tempoh berkenaan walaupun mahkamah masih belum memutuskan apa-apa keputusan ke atas mereka. Mereka telah menjadi mangsa hukuman zalim dengan digantung pengajian walaupun mahkamah masih belum mensabitkan mereka dengan sebarang kesalahan.

Seperkara lagi yang mendukacitakan, biarpun banyak tindakan yang telah dibuat samada dengan Kementerian Pengajian Tinggi, pihak pentadbiran universiti mahupun pihak SUHAKAM, tiada sebarang kemajuan yang benar-benar konkrit dicapai bagi membela hak asasi mahasiswa. Pada masa yang sama terdapat beberapa pihak khususnya Bahagian Hal Ehwal Pelajar terus angkuh mengugut mahasiswa dengan AUKU sekiranya mereka meneruskan beberapa tindakan untuk hak mahasiswa sendiri.

Apa yang berlaku jelas bertentangan dengan salah satu cabaran Wawasan 2020 dan ciri asas Islam Hadhari yang ingin melahirkan masyarakat yang berjiwa bebas dan pengamalan demokrasi yang matang.

4- Fenomena ‘compleasant’ dan ‘culture of fear’ di kalangan mahasiswa Islam.

Mahasiswa Islam masakini dilihat masih belum keluar dari ‘comfort zone’ yang membelenggu. Suasana di sekeliling yang membolehkan mereka melaksanakan ibadah harian dianggap sudah mencukupi walhal betapa banyak lagi syariat Allah SWT yang belum dikuatkuasakan. Sikap ‘ketidakpedulian’ terhadap suasana di luar menyebabkan mereka tidak mengendahkan bagaimana status Islam pada kaca mata rakan-rakan yang lain.

Di samping itu, ketakutan terhadap ancaman tindakan dari pihak universiti turut menghantui diri mahasiswa sehingga mereka mengambil sikap ‘membisu dan memekakkan telinga’. Mahasiswa tanpa disedari menjadi golongan yang bersikap ‘YES BOSS’, pasif, dan ‘dependent’.

 

PERANAN GMI DALAM MENGUPAYAKAN KEMAJUAN ISLAM

Beberapa cabaran utama di atas haruslah diambil kira sebagai pertimbangan sebelum GMI melaksanakan agenda memartabatkan Islam di Malaysia. Justeru, setiap modus operandi yang diambil haruslah bertitik tolak dari kefahaman tepat yang terhasil dari ‘qiraatul zuruf’. Antara peranan penting yang mesti dimainkan oleh GMI dalam kondisi semasa adalah;

1- Menjadi agen dakwah kepada massa secara ‘independent’.

2-Melibatkan diri melalui sumbangan fikiran dan tenaga kerja terhadap sebarang aktiviti yang boleh memberikan kesan positif terhadap Islam dan umatnya membabitkan sebarang pertubuhan samada parti politik, badan bukan kerajaan, persatuan, kelab dan sebagainya.

3-Memimpin ‘front-front’ mahasiswa yang lain sama ada Islam atau bukan Islam.

4-Menjadi ‘pemberat’ kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh mana-mana pertubuhan Islam.

5-Menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat di peringkat ‘grassroot’.

 

AGENDA PEMERKASAAN GMI

Untuk membawa peranan yang sangat besar ini, penulis ingin menggagaskan 4 paksi utama ke arah memperkasakan GMI.

1- Memperkasa aqidah dan fikrah.
Setiap anggota GMI perlulah mempunyai kekukuhan aqidah yang menjadi paksi utama kepada perjuangan Islam. Keutuhan tunjang aqidah ini sangat berkait rapat dengan kejelasan fikrah perjuangan. Kesetiaan yang tidak berbelah bahagi di samping kepercayaan kepada qiadi sangat diperlukan demi menjamin kelancaran gerak kerja mengikut hala tuju gerakan yang dibawa. Agenda pentarbiahan mesti dijadikan tumpuan utama secara besar-besaran untuk memulihkan semula kekuatan aqidah dan fikrah yang kian longgar kebelakangan ini.

2- Memperkasa ilmu dan kepakaran.

Anggota GMI hari ini bukan sahaja perlu mendalami ilmu fardhu ain yang menjadi kewajipan, tetapi pada masa yang sama perlu menekankan ilmu fardhu kifayah dalam bidang ekonomi, teknologi, perundangan dan seumpamanya untuk memantapkan lagi jentera perjuangan mahasiswa Islam. Perlu dititik beratkan di sini bahawa anggota GMI perlu menguasai kepakaran dalam bidang masing-masing. Di samping itu, anggota GMI perlu mempunyai kompetensi (skill-sets) iaitu kepakaran dalam bidang pengurusan, teknologi maklumat, komunikasi, dakwah dan teknikal organisasi.

Anggota GMI pada masa yang sama perlu mempelajari ‘soft skills’ seperti ‘public speaking’, ‘problem solving’, ‘critical thinking’, ‘decision making’ dan sebagainya. Mereka juga perlu berusaha mempelajari ‘triple langguages’ (B. Melayu, B. Inggeris dan B. Arab).

3- Memperkasa sikap, minda dan pemikiran.

Keupayaan minda sangat penting kerana ia boleh memandu orientasi gerakan GMI. Justeru, persiapan minda yang menyeluruh perlu dibuat berdasarkan 6 Fiqh yang telah digagaskan oleh Dr. Yusuf Al- Qaradhawi:

-Fiqh Awlawiyat
-Fiqh Muwazanat
-Fiqh Ikhtilaf
-Fiqh Nusus
-Fiqh Waqi’
-Fiqh Taghyiir

Sandaran fiqh ini sangat penting di samping memiliki ‘qiraatul zuruf’ yang tajam, keupayaan menguasai isu-isu semasa , kemampuan berijtihad, bertindak mengikut rentak ‘mu’asir’ tetapi mempunyai kesan yang ‘istiqbaliy’. Anggota GMI tidak seharusnya dipandang sebagai ‘jaguh kampung’ tetapi membuktikan mereka boleh menjadi juara di gelanggang musuh.

4-Memperkasa strategi dan methodologi.

Anggota GMI perlu memahami realiti masyarakat Malaysia dalam agenda mempromosi Islam. Penampilan yang meyakinkan disusuli dengan imej ‘moderate’ anggota GMI sebagai pendakwah mampu menarik masyarakat kampus mendekati Islam. Mereka harus memahami kelompok sasaran agar metodologi dakwah tidak menjarakkan kita dengan mad’u.

Front-front GMI juga perlu sentiasa berbincang khususnya dalam isu yang berkaitan dengan ‘survivor’ Islam dan penganutnya. Kesepaduan ini sangat diperlukan untuk mewujudkan suara yang lebih besar seterusnya memberikan impak yang lebih berkesan.

PENUTUP

Adalah menjadi perkara yang malang bagi GMI sekiranya masih lagi leka dengan pendekatan ‘stereotype’ warisan daripada generasi yang lalu. Kita harus berada pada zaman kita berdiri agar setiap pendekatan yang dibawa terus relevan mengharungi perubahan masa. Semoga kertas kerja ringkas ini sedikit sebanyak boleh memberi lontaran dan muhasabah kepada seluruh anggota GMI dalam membawa amanah mendaulatka Islam di muka bumi Allah SWT ini.

29
Aug
07

KEMERDEKAAN 4

Selepas Umno berpecah dengan kumpulan Dato’ Onn yang membentuk Parti Kemerdekaan Malaya (IMP), gerakan parti pro British menjadi dua kumpulan iaitu Umno dan IMP – kedua-duanya mula bercakap soal merdeka.

Atas sokongan Pesuruhjaya Tinggi British Asia Tenggara, Sir Malcom McDonald, Dato’ Onn telah mengusahakan penubuhan National Conference iaitu pertubuhan gabungan parti pelbagai kaum bagi memperjuangkan kemerdekaan.

Pada 12 Februari 1952, Sir Malcolm McDonald telah memanggil satu mesyuarat di King’s House, Kuala Lumpur bagi membincangkan penubuhan National Conference sebagai sebuah parti gabungan. Antara pemimpin utama yang hadir ialah Dato’ Onn Jaafar daripada IMP, Tunku Abdul Rahman Putra (Umno), H.S. Lee (MCA Selangor), Yong Shook Lin (MCA) dan P.P. Narayanan (Malayan Trade Union Cooperation – MTUC). Umno menarik diri daripada pakatan ini.

National Conference juga telah disertai oleh 16 orang kenamaan dari pelbagai kaum termasuk tujuh orang Menteri Besar. Dalam mesyuarat ini, Menteri Besar Perak, Datuk Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab Toh Muda telah dilantik sebagai Pengerusi National Conference dan Datuk Nik Ahmad Kamil, Menteri Besar Kelantan sebagai Naib Pengerusi. Mereka berdua dengan dibantu oleh Yong Shook Lin telah diberi tugas merangka perlembagaan National Conference.

Pada akhir Februari 1953, mesyuarat kedua National Conference telah bersetuju membentuk sebuah gabungan parti-parti di bawah National Conference, tetapi tidak disokong oleh Dato’ Onn kerana IMP berpandangan ia tidak menyelesaikan masalah perkauman dan perbezaan pandangan parti-parti anggota akan melemahkan pakatan tersebut.

Akhirnya pada 27 April 1953, National Conference telah ditubuhkan secara rasmi dalam Sidang Meja Bulat National Conference di Dewan Bandaran Kuala Lumpur sebagai sebuah gabungan politik dengan diketuai oleh Datuk Panglima Bukit Gantang. Dato’ Onn tidak memegang apa-apa jawatan. Antara parti yang menyertai National Conference ialah IMP, Malayan Ceylonese Association (MCA), MEA, MIC dan PAS.

Pada 6 Mei 1953, mesyuarat Jawatankuasa National Conference di Kuala Lumpur telah melantik Jawatankuasa Tadbir National Conference terdiri daripada Datuk Hamzah Abdullah (Menteri Besar Selangor) sebagai Pengerusi, Datuk E.E. Thuraisingam (Presiden Ceylonese) sebagai Timbalan Pengerusi, Yong Shook Ling (Presiden MCA Selangor) sebagai Setiausaha. Mesyuarat tersebut juga merundingkan tentang usaha menarik sokongan parti-parti politik lain terhadap National Conference.

Walaupun Dato’ Onn tidak memegang sebarang jawatan dalam National Conference, beliau mempunyai pengaruh yang kuat terhadap badan itu kerana hubungannya yang rapat dengan Malcolm McDonald. Dato Onn juga berperanan dan berpengalaman sebagai pentadbir khususnya sebagai Ahli Dalam Negeri dan bekas Menteri Besar Johor serta kedudukannya sebagai Setiausaha Agung IMP yang menjadi parti induk kepada MCA, MEA dan MIC.

Tujuh orang Menteri Besar itu juga ialah ahli-ahli IMP. Antara cadangan penting Dato’ Onn yang menjadi tuntutan utama National Conference ialah tarikh pilihan raya pada 1956 dan 90 orang ahli Majlis Undangan Persekutuan dipilih melalui pilihan raya.

Pada 28 Mei 1953, National Conference juga membuat keputusan untuk menolak pilihan raya jika diadakan pada 1954 atas alasan Tanah Melayu belum bersedia, pilihan raya negeri-negeri belum diadakan dan pilihan raya bandaran belum menyeluruh lagi, sebaliknya mencadangkan pilihan raya diadakan pada 1956.

National Conference pada 21 Julai 1953 pula mencadangkan beberapa pindaan terhadap Majlis Undangan Persekutuan termasuk cadangan menambahkan ahli-ahli tidak rasmi, menentukan bilangan ahli bagi mewakili setiap negeri mengikut bilangan penduduk dan mewujudkan jawatan timbalan menteri dalam Sistem Ahli.

Ketika cadangan penubuhan National Conference dibuat oleh Sir Malcolm Mc Donald pada Februari 1953, PAS tidak dilibatkan; mungkin kerana PAS adalah parti yang baru ditubuhkan dan tidak mempunyai pengaruh berbanding IMP, Umno, MCA atau MTUC. Bagaimanapun, beberapa faktor semasa ketika itu telah mendesak National Conference untuk menjemput PAS; antaranya tindakan Umno pimpinan Tunku Abdul Rahman menarik diri daripada National Conference sehingga menyebabkan tidak ada parti Melayu dalam badan itu. Tambahan pula, Yang Dipertua Agung PAS, Haji Ahmad Fuad Hassan adalah sekutu rapat Dato’ Onn dalam Umno sebelum perpecahan Umno pada 1951.

National Conference juga menghadapi masalah ekoran semua anggota gabungannya adalah parti-parti gabungan IMP sehingga menampakkan seolah-olah IMP dan National Conference adalah dua pertubuhan yang sama tetapi berlainan nama. Lebih-lebih lagi, sokongan pelbagai pihak amat penting bagi National Conference untuk mengukuhkan pengaruh politik mereka.

PAS sendiri melihat bahawa penglibatan dalam National Conference adalah satu tanggungjawab yang penting dalam memperjuangkan kemerdekaan negara dan tindakan parti tertentu yang memboikot National Conference adalah kerana salah faham. Setiausaha Agung PAS, Cikgu Ahmad Awang menyifatkan penyertaan PAS dalam National Conference bertujuan memperjuangkan kemerdekaan berasaskan Islam dan PAS bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang tidak tergelincir daripada asas tersebut – memperjuangkan Islam dan tidak meminggirkan hak-hak umat Melayu Islam. Beliau juga menegaskan bahawa PAS hanya menuntut kemerdekaan berasaskan kedaulatan Islam dan tidak ada kemerdekaan tanpa mengikut cara Islam.

kerjasama dengan bukan Islam

Bertolak daripada pelbagai faktor ini, PAS telah menerima jemputan untuk menyertai National Conference daripada Datuk Panglima Bukit Gantang pada 30 Mac 1953. Mesyuarat Jawatankuasa Agung PAS pada 6 April 1953 telah bersetuju untuk menyertai National Conference berasaskan beberapa sebab; antaranya untuk menangani pergolakan politik semasa, memperjuangkan kemerdekaan dan bersatu dengan semua pihak untuk menuntut kemerdekaan. Yang lebih penting bagi PAS, penglibatan bersama National Conference boleh membuka jalan kerjasama dengan orang bukan Islam yang dilihat menjadi faktor penentu yang penting terhadap usaha PAS untuk menegakkan negara Islam.

Menurut Safie Ibrahim, penyertaan PAS dalam National Conference turut dipengaruhi oleh hubungan rapat antara Haji Ahmad Fuad dan Dato’ Onn Jaafar. Kerana itulah PAS ditegur supaya ulama tidak menjadi ‘alat penjajah’ atau dengan mudah terpengaruh oleh tujuh orang Menteri Besar yang rata-rata pro-penjajah.

Bagaimanapun, penyertaan PAS dalam National Conference hanyalah semata-mata untuk memenuhi objektif perjuangan kemerdekaan dan menegakkan negara Islam bagi mengisi kemerdekaan. PAS sekali-kali tidak terikat untuk terus bekerjasama dengan National Conference atau mendukung keputusan badan itu jika ia bercanggah dengan pendirian PAS.

Menurut Haji Ahmad Fuad, sebarang keputusan National Conference tidak akan mengikat PAS, bahkan PAS boleh menarik diri daripada National Conference jika resolusinya bertentangan dengan dasar perjuangan PAS. Dengan persetujuan PAS menyertai National Conference pada 6 April 1953, ini bermakna PAS adalah satu-satunya parti Melayu yang terlibat dalam pakatan ini. PAS diwakili oleh Yang Dipertua Agungnya, Haji Ahmad Fuad Hassan dan Ahli Jawatankuasa Agung PAS, Mohammad Hanif.

Sepanjang penglibatan PAS dalam National Conference, PAS menyertai empat kali persidangan termasuk Sidang Meja Bulat National Conference pada 27 April 1953, selain mesyuarat pada 6 Mei 1953, 28 Mei 1953 dan 21 Jun 1953. PAS tidak menghadiri mesyuarat terakhir bersama National Conference pada 12 Julai 1953 kerana Pejabat Agung PAS dikunjungi oleh Pendaftar Pertubuhan.

Ekoran penglibatan PAS dalam Sidang Meja Bulat National Conference pada 27 April 1953, Yang Dipertua Agung PAS, Haji Ahmad Fuad Hassan telah dilantik sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa National Conference. PAS menyertai persidangan pertama National Conference pada 6 Mei 1953 dan telah menerima keputusan persidangan untuk melantik Jawatankuasa Tadbir National Conference yang dipengerusikan oleh Datuk Hamzah Abdullah.

Persidangan tersebut juga telah membincangkan pendekatan-pendekatan yang sesuai untuk menarik lebih banyak pertubuhan politik bagi menganggotai National Conference. Untuk meningkatkan penglibatan PAS terhadap National Conference, Jawatankuasa Agung PAS pada 26 Mei 1953 telah merangka satu garis kasar tentang ‘Perlembagaan Malaya’ untuk dibawa ke National Conference pada 28 Mei 1953. Perlembagaan Malaya yang dikemukakan oleh PAS ini mengandungi lima perkara utama iaitu nama perlembagaan, agama rasmi, bahasa rasmi, corak kerajaan dan kerakyatan.

Dalam persidangan kedua National Conference di Kuala Lumpur pada 28 Mei 1953, PAS telah bersetuju supaya pilihan raya bagi melantik ahli-ahli Majlis Undangan Persekutuan tidak diadakan pada 1954, sebaliknya diadakan pada 1956. Dua sebab utama yang disetujui oleh National Conference untuk menolak pilihan raya pada 1954 iaitu:

i) pilihan raya tidak mungkin dapat dijalankan pada 1954 kerana tidak ada sebarang persediaan yang dibuat; dan

ii) semua negeri masih belum mengadakan pilihan raya bagi Majlis Mesyuarat Negeri dan pilihan raya Majlis Mesyuarat Bandaran juga belum diadakan secara menyeluruh di Tanah Melayu.

PAS juga bersetuju supaya Datuk Thuraisingam mewakili National Conference bagi perundingan dengan Perikatan Umno-MCA untuk menyelaraskan tuntutan pilihan raya ini. Dalam persidangan kedua ini juga, PAS telah mengemukakan cadangan Perlembagaan Malaya untuk dijadikan garis asas bagi pembentukan sebuah negara yang merdeka.

Pada 21 Jun 1953, persidangan ketiga National Conference telah diadakan di Kuala Lumpur yang turut disertai oleh PAS untuk membincangkan secara khusus tentang kedudukan Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan.

Persidangan ketiga ini telah memutuskan tiga resolusi penting tentang Majlis Undangan Persekutuan iaitu menambahkan bilangan ahli-ahli tidak rasmi dalam Majlis Undangan Persekutuan. Menurut Ramlah Adam, Dato’ Onn telah mencadangkan jumlah ahli tidak rasmi yang dilantik ditambah menjadi 90 orang.

Kedua, diwujudkan jawatan-jawatan timbalan menteri dalam Sistem Ahli yang diamalkan bagi membolehkan kerja-kerja pentadbiran dijalankan dengan lebih lancar, selain membuka ruang yang lebih luas kepada penduduk Tanah Melayu terlibat dengan pentadbiran negara.

Ketiga, dicadangkan supaya jumlah ahli-ahli yang mewakili negeri-negeri dalam Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan ditentukan mengikut jumlah penduduk yang telah mendapat kerakyatan.

Pengaruh National Conference walau bagaimanapun mulai tergugat pada akhir 1953 ekoran beberapa faktor; antaranya tindakan Perikatan Umno-MCA menubuhkan National Convention pada Ogos 1953, pergeseran MIC dengan IMP semenjak Mei 1953, diikuti oleh penarikan diri PAS daripada National Conference pada September 1953 dan MIC pada Oktober 1953.

Perpecahan yang dialami oleh National Conference ini sangat memberi kesan terhadap peranan badan itu dalam menuntut kemerdekaan negara, khususnya tuntutan untuk mengadakan pilihan raya pada 1956 serta reformasi terhadap Majlis Undangan Persekutuan. Ia turut memberi dampak kepada usaha Dato’ Onn untuk mewujudkan perpaduan antara kaum sama ada menerusi IMP mahupun National Conference.

Pada masa yang sama, National Convention pimpinan Tunku Abdul Rahman telah berjaya meyakinkan British untuk mengadakan pilihan raya pada 1955. Perpecahan National Conference ini juga telah menyebabkan runtuhnya pengaruh IMP sehingga memaksa Dato’ Onn mengisytiharkan penubuhan Parti Negara (PN) dalam mesyuarat terakhir National Conference pada Februari 1954.

29
Aug
07

KEMERDEKAAN 3

Selepas setahun ditubuhkan, PAS telah mengambil langkah-langkah penting untuk menggerakkan kemerdekaan tanpa menghiraukan Umno yang dikatakan menjadi ‘induk’ kepada PAS.

Sebenarnya Umno sendiri menolak PAS sebagai sebahagian daripada Umno ketika PAS bersidang di Bagan Tuan Kecil pada 24 November 1951 (rujuk surat Setiausaha Bahagian Umno Kuala Lumpur kepada Jawatankuasa Penaja Persatuan Ulama Semalaya, dalam Umno/KL/38/51, bertarikh 5 November 1951. Surat ini menyebut “Sedangkan Persatuan ini (Persatuan Ulamak Se-Malaya) telah keluar daripada Umno Malaya”).

Cuma ketika perbahasan tentang disiplin ahli PAS, dipersetujukan supaya ahli PAS dibenarkan untuk menganggotai parti lain. Desakan ini berpunca daripada beberapa ulamak yang menjadi Jawatankuasa Agung Umno hendak dilantik sebagai Jawatankuasa Agung PAS, tetapi pada 1954, ahli PAS tidak lagi dibenarkan menjadi ahli parti lain. Kerana itu, tempoh 14 bulan daripada tarikh penubuhannya itu, usaha-usaha untuk memperjuangkan kemerdekaan menjadi isu utama dalam PAS dan diterjemahkan dalam Mesyuarat Agung PAS Pertama pada 3 Januari 1953.

Program Politik PAS

Antara gerakan yang dibuat oleh PAS pada peringkat awal ialah merancang menubuhkan Dewan Pemuda PAS dan Dewan Muslimat PAS sebagai jentera utama untuk menggerakkan usaha-usaha kemerdekaan. Menjelang Mesyuarat Agung Pertamanya, beberapa usul telah dikemukakan kepada PAS berkaitan kemerdekaan antaranya:

  1. menubuhkan sayap Pemuda PAS,
  2. melantik Jawatankuasa Khas untuk membincangkan rancangan kemerdekaan, dan
  3. menggerakkan program politik PAS.

Dewan Pemuda Islam telah ditubuhkan oleh PAS pada 23 April 1952 untuk mengatur pergerakan pemuda Islam diikuti oleh usul penubuhan Dewan Pemuda PAS pada 3 Januari 1953 dengan tujuan “melaksanakan cita-cita merdeka PAS” .

Walau bagaimanapun, cadangan menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk mengatur hubungan dengan badan-badan politik dalam perjuangan kemerdekaan ditolak kerana ia telah disebut dalam Undang-undang Tubuh PAS.

PAS kemudian mempersetujui cadangan Program Politik PAS yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Agung PAS yang mengandungi tujuh rancangan dengan empat daripadanya meletakkan sasaran perjuangan kemerdekaan. Empat program tersebut adalah:

  1. Berusaha dengan kuat untuk memperkenalkan kepada rakyat jelata akan kemerdekaan yang tulen serta menanamkan ke dalam jiwa mereka semangat kemerdekaan itu sambil menunjukkan cara-cara mencapainya.
  2. Mengatur dengan kemas Dewan Pemuda yang akan bekerja bagi melaksanakan cita-cita merdeka PAS.
  3. Berikhtiar menegakkan sebuah negara yang merdeka yang didirikan oleh rakyat daripada rakyat kerana rakyat.
  4. Mencadangkan kemerdekaan Malaya dalam lingkungan Komanwel British.

Empat program politik ini cukup jelas menunjukkan bahawa PAS mempunyai rancangan dan bergerak untuk memperjuangkan kemerdekaan negara.

“Kemerdekaan tulen” yang disebut oleh PAS ialah kemerdekaan yang berasaskan Islam seperti yang ditegaskan oleh Dr Burhanuddin. PAS menolak kemerdekaan tanpa daulat, tetapi kerana menyedari Tanah Melayu sebagai sebuah negara yang bakal merdeka dan masih lemah, maka PAS bersetuju supaya Tanah Melayu merdeka dalam lingkungan Komanwel British.

29
Aug
07

KEMERDEKAAN 2

Sekembalinya dari London, Tunku Abdul Rahman, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, singgah di Melaka pada 25 Februari 1956 untuk mengumumkan tarikh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Orang ramai yang berkumpul di padang Bandar Hilir Melaka menyambut pengumuman bersejarah itu dengan laungan ‘Merdeka! Merdeka! Merdeka!’.

Dalam keasyikan melaungkan kalimah ‘merdeka’ itu, terserlah juga kebimbangan di kalangan orang Melayu tentang nasib yang akan menimpa mereka selepas Tanah Melayu merdeka. Mungkinkah mereka akan mengalami nasib sama seperti orang Palestin?

Melihat kepada tuntutan melampau pertubuhan bukan Melayu menambahkan lagi kebimbangan mereka. Sebagai sebuah parti Melayu, PAS atau Parti Islam se-Tanah Melayu memandang serius terhadap tuntutan melampau kaum bukan Melayu yang kiranya diterima bukan sahaja akan menghakis hak ketuanan Melayu tetapi juga menjejaskan kedudukan orang Melayu sebagai pribumi negara ini.

Atas pendirian itu PAS perlu memain peranannya sebagai pembela bangsa dan agama. PAS tidak yakin Umno akan dapat menjaga kepentingan orang Melayu kerana terikat dengan semangat setiakawan Perikatan yang berjuang atas landasan Tanah Melayu untuk orang Malayan.

Lord Reid

Setelah mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu, kerajaan British telah melantik Lord Reid, seorang Hakim Besar, sebagai pengerusi Suruhanjaya Bebas bagi menggubal Perlembagaan Tanah Melayu merdeka. Butir-butir rujukan suruhanjaya itu adalah seperti berikut:

1. mewujudkan sebuah kerajaan pusat yang kuat;
2. menjaga kedudukan dan kehormatan Raja-Raja Melayu;
3. perlantikan salah seorang Sultan sebagai Raja Berperlembagaan yang bergelar ‘Yang diPertuan Besar’;
4. mempertahankan hak keistimewaan orang-orang Melayu dan kaum-kaum lain;
5. menyediakan hak kerakyatan yang sama kepada semua penduduk di Tanah Melayu.
Suruhanjaya Perlembagaan Tanah Melayu telah menerima 131 memorandum daripada badan politik, badan bukan politik dan individu. PAS adalah antara pertubuhan politik yang turut mengemukakan memorandum kepada suruhanjaya itu.

Pada prinsipnya PAS tidak bersetuju dengan cadangan Perikatan mengenai penubuhan Suruhanjaya Besar Asing untuk menggubal Perlembagaan Tanah Melayu merdeka. Alasan PAS ialah ahli-ahlinya tidak “tahukan hal Persekutuan Tanah Melayu ini, dan kesulitan-kesulitan politiknya, selain daripada rakyat negeri ini”.

PAS tidak keseorangan dalam memperkatakan perkara ini. Pada awalnya Raja-Raja Melayu juga tidak bersetuju untuk menerima Suruhanjaya Bebas itu. Salah seorang daripada Raja-Raja Melayu pernah menyuarakan kebimbangan baginda terhadap kejujuran Suruhanjaya Bebas dalam menjalankan tanggungjawabnya.

Raja-Raja Melayu bimbang Suruhanjaya itu akan mencadangkan Perlembagaan yang menjejaskan kedudukan Raja-Raja Melayu dan orang Melayu. Raja-Raja Melayu juga bimbang dengan orang Cina bukan kelahiran tempatan.

Bagaimanapun, sebagai tanda penghormatan kepada asas demokrasi dan memandangkan kepada kepentingan bangsa dan negara, PAS mengemukakan juga memorandum kepada suruhanjaya itu pada 14 Julai 1956.

Sebagai sebuah parti orang Melayu beragama Islam, PAS memandang serius terhadap tuntutan orang asing yang menuntut hak yang sama seperti orang Melayu. The Pan-Malayan Federation of Chinese Associations sebagai contoh, menolak secara total hak ketuanan Melayu sebaliknya menuntut prinsip Jus Soli dikuatkuasakan. Kebimbangan ini terbayang dalam memorandum yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Reid.

negeri orang Melayu

Pada pandangan PAS, Tanah Melayu adalah negeri orang-orang Melayu dan hak ini telah diiktiraf oleh perundangan dan disahkan oleh sejarah. Oleh kerana itu peruntukan 5 dalam Butiran Rujukan Suruhanjaya itu hendaklah dilihat dari sudut bahawa negeri ini adalah negeri orang Melayu. Sebarang usaha untuk menindakkan hak keistimewaan itu adalah bercanggah dengan hak kemanusiaan dan prinsip undang-undang.

Orang-orang Melayu hanya mempunyai satu sahaja kedudukan dalam negeri ini, iaitu mereka memiliki negeri ini. Dan, hak kedaulatan orang Melayu ke atas negeri ini adalah mutlak. PAS tidak bersetuju kiranya pemberian hak keistimewaan dan pelindungan kepada orang Melayu kerana kelemahan mereka dari segi politik dan ekonomi berbanding dengan kaum asing. PAS mahu suruhanjaya memperakui bahawa negeri ini adalah kepunyaan orang Melayu.

PAS tolak Jus Soli

PAS juga membantah keras tuntutan orang asing untuk menjadi rakyat negeri ini berasaskan prinsip Jus Soli ataupun melonggarkan syarat kerakyatan. Sekiranya tuntutan kaum asing itu diterima serta mengambilkira kekuatannya dari segi ekonomi, pasti ia akan menimbulkan kekacauan dari segi politik.

Di bawah penjajahan British, negeri-negeri Melayu telah dibuka kepada kaum imigran tanpa sekatan. Keadaan ini telah mengakibatkan jumlah pendatang asing meningkat secara mendadak dan melebihi bilangan penduduk orang Melayu. Kaum asing mengambil kesempatan daripada kelemahan orang Melayu untuk membolot kekayaan negeri ini.

Sesungguhnya prinsip Jus Soli hangat dibincang sejak 1946 lagi apabila prinsip ini mula-mula diperkenalkan dalam dasar Malayan Union. Raja-Raja Melayu dan orang Melayu menolak prinsip Jus Soli dalam pemberian kerakyatan kepada bangsa imigran. Justeru, prinsip Jus Soli digugurkan dalam Perlembagaan Tanah Melayu (1948).

Pendirian tegas Raja-Raja dan orang Melayu terhadap isu ini tidak berubah. Pada 1950 prinsip Jus Soli sekali lagi ditolak orang Melayu apabila dicadangkan oleh Jawatankuasa Penyelaras Antara Kaum. Jawatankuasa ini menawarkan untuk membantu orang Melayu dalam bidang ekonomi sebagai pertukarannya.

Mahasiswa Melayu di Universiti Malaya di Singapura, dalam memorandum yang dikemukakan kepada Raja-Raja Melayu, merayu supaya cadangan itu ditolak. Pada pandangan mahasiswa Melayu itu, cadangan itu kiranya diterima akan menjejaskan kedudukan orang Melayu dari segi jangka panjang.

Atas hujah yang sama PAS menentang prinsip Jus Soli. Oleh kerana Tanah Melayu adalah negeri Melayu, maka PAS mencadangkan struktur sosial dan pola kebudayaan Tanah Melayu hendaklah disesuaikan dengan keadaan itu. Kebudayaan Kebangsaan hendaklah berumbikan kebudayaan Melayu. Bahasa Melayu hendaklah dijadikan bahasa kebangsaan.

bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi

Bersesuaian dengan itu, bahasa Melayu mesti dijadikan bahasa pengantar di semua peringkat pendidikan dan bahasa Melayu juga mesti menjadi bahasa rasmi dalam urusan pentadbiran. Bahasa Inggeris masih kekal sebagai bahasa kedua tetapi untuk tempoh lima tahun sahaja. Penggunaan bahasa Inggeris hendaklah dipastikan tidak akan menjejas kedudukan dan perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Sebagai sebuah parti yang meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan, PAS mencadangkan agama Islam menjadi agama rasmi negara. PAS percaya dan yakin bahawa ajaran Islam mampu untuk memandu kemajuan negara dari segi politik.

Dari segi pemerintahan PAS bersetuju dengan sistem Persekutuan sedia ada. Bagaimanapun PAS mahu pastikan sistem Persekutuan tidak akan menjejaskan maruah dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Mengenai soal kerakyatan, PAS mencadangkan supaya prinsip kerakyatan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (1948) dikekalkan tetapi dengan beberapa pindaan, iaitu:

1. Jangkamasa kemastautinan yang diperlukan oleh bangsa asing bagi melayakkan mereka memohon status kerakyatan ialah tidak kurang daripada 15 tahun.
2. Membantah penggunaan prinsip Jus Soli untuk orang asing.
3. Hanya bahasa Melayu sahaja diguna untuk peperiksaan kelayakan bahasa bagi mendapatkan kerakyatan.
PAS juga mencadangkan supaya rupa bangsa di Tanah Melayu adalah rupa bangsa Melayu.

hak keistimewaan Melayu

Dari segi hak keistimewaan orang Melayu, PAS meminta Suruhanjaya Reid memperakui bahawa Persekutuan Tanah Melayu adalah milik orang Melayu. Oleh itu hak keistimewaan Melayu sebagai tuan rumah hendaklah diiktiraf dan dihormati serta dipertahankan sampai bila-bila masa.

PAS berikrar akan mempertahan hak orang Melayu sekiranya cuba digugat oleh kaum asing. Bagaimanapun PAS memberi jaminan bahawa hak kaum asing akan tetap dihormati.

PAS juga menegaskan kepada Suruhanjaya Reid supaya memastikan sebarang pindaan ke atas hak keistimewaan orang Melayu, bahasa kebangsaan dan agama Islam hendaklah dengan persetujuan sebulat suara Majlis Raja-raja Melayu.

Dapat dikatakan bahawa pada umumnya badan politik dan bukan politik Melayu bersetuju dengan pandangan PAS. Antaranya ialah The Malay Forum dan Kongres Pelajaran Melayu. The Malay Forum, dalam memorandumnya pada 6 Ogos 1956, membantah sebarang cadangan untuk menidakkan hak keistimewaan Melayu di tanah airnya sendiri lebih-lebih lagi peruntukan yang melonggarkan syarat-syarat kerakyatan kepada kaum asing.

Kongres Pelajaran Melayu, dalam memorandumnya, kepada Suruhanjaya Reid pada 15 Ogos 1956, juga menuntut Suruhanjaya Reid menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan Rasmi bagi Persekutuan Tanah Melayu berasaskan hak keistimewaan orang Melayu dari segi undang-undang.

Umno juga turut mengemukakan cadangannya kepada Suruhanjaya Reid. Tuntutan Umno bagaimanapun dicantumkan bersama dengan tuntutan MCA dan MIC dalam Memorandum Perikatan (The Political Testament of the Alliance).

Penyata Suruhanjaya Reid

Setelah selesai sidang perjumpaannya, anggota suruhanjaya mengadakan mesyuaratnya di Rome. Dalam bulan Februari 1957, suruhanjaya mengeluarkan Penyata Perlembagaan Tanah Melayu yang merdeka.

Dalam penyatanya, suruhanjaya menolak cadangan PAS tentang hak ketuanan Melayu dan Islam sebagai asas perlembagaan. Suruhanjaya mencadangkan supaya rakyat Komanwel memiliki dua kerakyatan.

Dengan lain perkataan, seseorang itu boleh menjadi rakyat India dan juga rakyat United Kingdom serta tanah-tanah jajahan lain pada masa yang sama sungguhpun orang itu mengakui taat setia yang tidak berbelah bahagi terhadap negeri yang didiaminya.

Suruhanjaya bagaimanapun bersetuju dengan cadangan supaya bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan dan juga bahasa rasmi. Namun demikian bahasa Inggeris hendaklah digunakan sebagai bahasa rasmi selama sepuluh tahun selepas merdeka, dan tidak lima tahun seperti yang dicadangkan oleh PAS.

Selepas sepuluh tahun, kedudukan bahasa Inggeris akan ditentukan oleh Parlimen. Suruhanjaya juga mencadangkan supaya bahasa Kuo-Yu dan Tamil boleh digunakan dalam Majlis Perundangan Persekutuan dalam tempoh itu.

Dengan itu, tidaklah hairan Penyata Suruhanjaya itu dikritik PAS. PAS menganggap penyata itu sebagai pengkhianatan kepada bangsa Melayu. Ini kerana penyata itu menolak ketuanan Melayu. Keadaan ini berlaku kerana anggota-anggota Suruhanjaya itu berjiwa penjajah.

Pada 2 Mei 1957 PAS mengadakan mesyuarat agung khas di Kuala Lumpur bagi membahas Penyata Suruhanjaya. Sebuah kertas kerja dibentang oleh Osman Abdullah, Setiausaha Agung PAS. Beliau menganggap Penyata Suruhanjaya itu sebagai aneh kerana di dalam Perlembagaan yang dicadangkan itu tidak ada ketuanan yang diiktirafkan.

Oleh kerana Penyata Suruhanjaya itu dianggap mengkhianati bangsa Melayu, PAS mencadangkan supaya ‘melemparkan penyata itu semua sekali dan digantikan dengan satu cara pentadbiran dan cara perlembagaan yang dibuat oleh rakyat negeri ini dan diredhai oleh mereka…’

Pada pandangan PAS, Perlembagaan bagi Persekutuan Tanah Melayu yang akan merdeka itu hendaklah mengandungi lima perkara besar, iaitu:

1. Mengaku bahawa bangsa Melayu adalah tuan punya negeri ini.
2. Mengaku bahawa orang Melayulah sebagai Bumiputera negeri ini dan hendaklah mempunyai hak yang istimewa dan bukan pada kulit sahaja.
3. Hendaklah ditegaskan di dalam kerakyatan negeri ini satu syarat yang besar, iaitu tiada seseorang pun boleh menjadi rakyat negeri ini melainkan dibuat syarat dan ikatan bahawa ia benar-benar taat kepada negeri ini.
4. Hendaklah ditegaskan bahawa agama Islam mestilah dijadikan agama rasmi tetapi bukanlah agama Hari Raya, agama Puasa atau agama Pejabat Agama tetapi agama yang menjadi panduan kepada hidup negeri ini dan kepada pemerintahan.
5. Hendaklah ditetapkan dalam Perlembagaan bahawa bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi dengan serta merta.
Tuntutan PAS bagaimanapun ditolak British. Setelah beberapa penyesuaian dibuat, rang Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu diluluskan Majlis Perundangan Persekutuan yang dikuasai Perikatan Umno-MCA-MIC pada 27 Ogos 1957. Pada 31 Ogos 1957 Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan merdeka.




KEMBARA HIDUP

Modeling the Conscience, Pathfinding the Vision, Aligning the Discipline, Empowering the Passion!
"Keep your mind open to change all the time. Welcome it. It is only by examining and reexamining your opinions and ideas that you can progess. All of you were given two great gifts- your mind and your time. It is up to you to do what you please with both. You and only you have the power to determine your destiny. The choice is yours and only yours."

 

August 2007
S S M T W T F
« Jul   Sep »
 123
45678910
11121314151617
18192021222324
25262728293031

Archives

Blog Stats

  • 31,426 guests

Categories