Archive for September, 2007

16
Sep
07

pemuda & dakwah

Memilih dan mengumpul para pemuda yang mempunyai sifar pintar dan berani kemudian mentarbiah mereka dengan pentarbiahan yang tuntas dan serius merupakan dua rukun asasi dalam perancangan harakah islamiyyah. Ia sebagaimana dinyatakan oleh Abu al-Hassan Ali An-Nadwi:-

 

“ Kita mesti mengeluarkan rijal yang mampu mengerakkan dakwah, menguruskan pentardbirannya, mentarbiah rijal dan memenuhi segala lompang. Mana-mana gerakan dakwah mahupun institusi meskipun mempunyai kekuatan dan pendokong yang ramai, namun ia tetap terdedah kepada mara bahaya. Bahkan dalam masa yang singkat, ia akan kehilangan pendokong-pendokongnya seorang demi seorang sehingga tiba suatu hari nanti ia akan kehilangan semua pendokongnya”.

 

Mengumpul dan kemudian mendidik para pemuda hendaklah menjadi agenda kita bersama. Ini kerana pemuda memiliki sifat-sifat yang istimewa yang sekiranya ianya mampu dihidupkan nescaya keistimewaan yang dimiliki ini bakal menggerunkan musuh-musuh Allah swt. Asas yang dimiliki oleh seorang pemuda ialah:-

  1. Keimanan
  2. Keikhlasan
  3. Semangat
  4. Usaha

Keempat-empat asas ini merupakan sifat yang istimewa bagi seorang pemuda. Asas kepada keimanan ialah hati yang bersih, asas kepada keikhlasan ialah jiwa yang suci, asas kepada semangat ialah keinginan yang kuat dan asas kepada usaha ialah kezaman yang membara. Atas dasar inilah kita melihat bahawa mana-mana gerakan mahupun ideologi akan menjadikan para pemuda sebagai tulang belakang kepada gerakan mahupun ideologi tersebut. Sejarah awal Islam juga telah membuktikan bahawa mereka yang menerima dan mendokong dakwah baginda Ar-Rasul saw terdiri dari kalangan pemuda. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah swt

 

 إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى

“ Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Allah dan kami tambahi mereka dengan hidayah pentunjuk” (Al-Kahfi :13)

 

Ikhwah dan akhawat sekalian

 

Oleh yang demikian, ketahuilah sesungguhnya kewajipan kita lebih banyak dari masa yang kita miliki. Sekiranya gerakan zionis antarabangsa meletakkan pendidik-pendidik mereka di serata dunia baru merekrut fahaman dan ideologi mereka, merencana, berpenat lelah siang dan malam semata-mata ingin menghancurkan Islam, kita seharusnya memiliki himmah yang tinggi serta kesungguhan dan keazaman yang tidak berbelah bahagi bagi melihat kalimah Allah tertegak diatas muka bumi ini. Ketahuilah sesungguhnya Allah swt telah berfirman

    

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الإِسْلاَمِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

“ Dan barang siapa yang mencari agama selain agama Islam, tidak akan diterima daripadanya, Dan ia pada hari akhirat akan tergolong dari golongan orang-orang yang rugi “ (Ali-Imran:85)

 

Ayuhlah ikhwah sekalian kita merenung nasib ummat ini. Islam tidak akan bangkit melainkan dengan adanya pendokong. Pendokong pula tidak akan wujud melainkan ada disana usaha untuk tajmik(kumpul) dan takwin(bentuk) pemuda-pemuda seterusnya mendidik mereka dengan kefahaman Islam yang syumul. Perjuangan ini sangat-sangat menuntut pengorbanan ikhwah sekalian untuk bersama-sama turun ke medan, mendekati sahabat-sahabat dan menyeru mereka agar turut bersama-sama mendokong deen ini. Zahirkan kecintaan dan kasih sayang kita kepada seluruh muslimin kerana kita adalah bersaudara. Jauhilah persengketaan yang melemahkan kerana musuh seringkali bersatu bagi menghancurkan kita. Ketauilah ikhwah sekalian bahawa akhirnya jannah Allah swt hanya akan menjadi milik kita apabila kita menyarut seruan dan janji Allah swt melalui firmanNya:

 

 *إِنَّ اللّهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الجَنَّةَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالإِنجِيلِ وَالْقُرْآنِ وَمَنْ أَوْفَى بِعَهْدِهِ مِنَ اللّهِ فَاسْتَبْشِرُواْ بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُم بِهِ وَذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيم* 

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.”(At-Taubah:111)

16
Sep
07

Perancangan Islami

Takhtit Islami

1. Takrif & fungsi

  1. Penggunaan sumber, kemampuan dan persekitaran secara optimum untuk mempertingkatkan kemampuan individu muslimdalam segenap aspek yang akan memungkinkannya mampu berperanan secara terbaik untuk mengimarahkan bumi ini dan mencapai konsep ibadat dalam kehidupan.
  2. Ia juga berperanan untuk membangunkan tanzim haraki agar mampu beroperasi sebagai harakah Islamiyah yang mahu menegakkan syariat Allah sebagai anutan dan sistem pemerintahan.

2. Ciri-ciri Penting Perancangan Dakwah

  1. Syumuliyah (sumul)
  2. Waqaieyyah (realistik)
  3. Jamaiyah (kumpulan)
  4. Basyariyah (manusia)
  5. Aqa’idiyah (akidah)
  6. Tarbawiyah
  7. Murunah (anjal)
  8. Harakiyah

1. Syumuliyah

Takhtit Islami adalah takhtit yang syumul meliputi segenap lapangan hidup yang terdiri dari thaqafah, tarbiah, politik, ekonomi, kemasyarakatan, ketenteraan dan pengurusan. Ini kerana pembentukan individu Rabbani menuntut kesyumulan yang seperti itu, sama ada pembangunan itu diperingkat individu dan penyiapan individu atau pembangunan harakah Islamiyah dan penyiapannya.

2. Waqi’eyyah

Takhtit Islami merawat manusia sebagai suatu realiti yang hidup. Ia berinteraksi dengan manusia di atas asas ini. Ia mengambil kira faktor-faktor seperti persekitarandan suasana sekeliling.

Berdasarkan kepada sifatnya yang realistik di dalam berinteraksi dan merawat, ia bertindak merubah dari satu realiti kepada satu realiti yang lain sehingga harakah Islamiyah selamat mengarah kepada matlamat yang ingin dicapainya. Ini dilakukan setelah mana mengambil kira semua faktor semasa yang wujud.

Bercita-cita tinggi memang digalakkan dalam Islam. Tetapi ia mestilah dibuat berdasarkan kajian kemampuan dan disusuli dengan langkah-langkah yang realistik. Jika tidak cita-cita yang tinggi tersebut hanya akan tinggal angan-angan sahaja.

3. Jama’iyah

Takhtit Islami hendaklah mempertegaskan konsep ini sama ada dimarhalah berfikir atau dalam persoalan uslub atau diperingkat perlaksanaan. Ia menganggap individu sebagai sebahagian dari harakah Islamiyah yang tidak wujud kecuali melalui harakah Islamiyah[1]

Oleh kerana medan amal itu banyak dan bercabang-cabang, sedangkan kemampuan individu terhad, maka mestilah berlaku gabungan tenaga antara du’ah.

4. Basyariah

Perbezaan antara takhtit Islami dibandingkan dengan lain-lain takhtit ialah ia berinteraksi dengan manusia sebagai alat perubah. Manusia adalah segala-galanya. Kerana itu mengambil kira perasaannya, keinginannya, sensitivitinya, nalurinya, tindakbalasnya, kecenderongannya dan kebiasaannya. Takhtit Islami mengambil kira pengaruh itu semua kepada jiwa dan perlakuan manusia.

Ia berusaha untuk mengarahkan semua aktiviti manusia kepada pengabdiandiri kepada Allah Azza wa Jalla. Dari aspek yang lain, ia cuba mengeksploitasi seluruh keupayaan manusia, berasaskan kepada asas bahawa manusia yang sempurna ialah manusia yang memiliki keupayaan positif biar sekerdil mana sekali pun.
5. Aqa’idiah

Takhtit Islami bertolak dari titk mula aqidah Islamiyah dan ia akan terus berada di dalam ruang aqidah. Ia berkhidmat ke arah memastikan semua usaha mengarah kepada penegakan aqidah. Oleh kerana itu maka neraca syara’lah yang menghukum wasail, uslub, strategi, program dan perancangan.

6. Tarbawiah

Sifat yang menonjol dalam takhtit Islami ialah tarbiah. Ia tidak menangani semua urusan dengan tatacara ilmu pengurusan yang membawa kepada kekeringan jiwa. Sebaliknya ia kekal dalam keseimbangan di antara ta’kid dan tuntutan tarbiah imaniah seperti telus, tenang dan bersih.

7. Muruniah

Takhtit Islami mestilah fleksibel. Ia memahami perkembangan dan perubahan yang berlaku dalam ruang iktibar maslahah dan dharurah. Dari itu ia mengambil kira suasana, jiwa dan tuntutan keseimbangan yang halus dalam bentuk marhaliah, yang berperingkat dan serasi.

8.Harakiah

Sesungguhnya takhtit Islami mempunyai manhaj haraki yang mampu menghadapi realiti dengan wasail sepadan dengan keperluannya. Ia bergerak mengikut keperluan, dengan berpandukan marhaliah yang berperingkat dan seimbang. Ia tidak jumud dan tidak beku sebaliknya menghadapi setiap suasana dengan harakah yang seimbang, wasail dan asalib yang baru, bertujuan untuk mentakhkikkan matlamat dan mencapai hadaf.

3. Fungsi Perancangan Dakwah

  1. Penyuburan dan pengambangan potensi sedia ada.
  2. Proses penyediaan kelayakan agar mampu berfungsi secara faham dan optimum.

a. Penyuburan dan pengembangan potensi yang sedia ada
Perancangan dakwah hendaklah mampu melahirkan individu muslim yang mampu memainkan peranannya di dalam kehidupan dan juga mewujudkan harakah Islamiyah yang layak untuk mengambil alih kepimpinan masyarakat dan memimpinnya dalam ruang lingkup aqidah. Menghampiri matlamat ini akan berhasil, bergantung kepada sejauh mana kita mampu untuk melakukan pembangunan pada diri kita untuk melayakkan kita keluar sebagai satu generasi rabbani yang sempurna sifatnya. Ia juga bergantung kepada sejauh mana kita berusaha ke arah itu.

Polisi pembangunan ini tercerna dalam program pembangunan keupayaan, kebolehan dan kepakaran serta membuat pelaburan yang sebaik mungkin terhadap keupayaan sseseorang individu. Sesungguhnya program pembangunan keupayaan merupakan satu-satunya jalan unuk mewujudkan individu yang dapat merealisasikan objektif harakah islamiah. Kerana itu proses pembangunan mengandungi perkara-perkara berikut:

  1. Pembersihan jiwa.
  2. Membesarkan generasi faham dakwah.
  3. Membangun keupayaan dari segi akal, badan, akhlak, seni dan pekerjaan..
  4. Mengambil tempat dalam pelbagai lapangan dan berusaha ke arah kematangan dan kesempurnaan di bidang itu.
  5. Mewujudkan kesedaran dan meramaikan anasir soleh dalam masyarakat.
  6. Menghidupkan suasana kehidupan Islam dan syiar-syiarnya di dalam segenap sendi kehidupan masyarakat.
  7. Membina ‘ktifa’ zati dan menyiapkan kawadir takhassusi dan segala keperluan dakwah disegenap bidang dan medan.
  8. Membangunkan sumber kekayaan harakah Islamiyah. Anasir itu semua dihasilkan melalui:
  • Tawajjuh kepada Allah dan ikhlas qasad dan amal.

  • Menyumbangkan segala usaha dan sepenuh tenaga.

  • Menyiapkan qudwah untuk tarbiah afrad.

  • Menetapkan matlamat startegik yang menyampaikan kepada tujuan itu.

  • Meletakkan individu sebagai sumber tenaga manusia yang tersembunyi dan aktif pada masa yang sama.

b. Proses penyediaan kelayakan
Sesungguhnya matlamat dakwah untuk mentahkimkan syariat Allah di atas muka bumi memerlukan satu persediaan yang mantap terhadap individu dan harakah Islamiyah keseluruhannya. Persediaan itu dibuat sehinggalah individu dan harakah Islamiyah menjadi asas yang wa’ie, pelaksana yang memiliki ilmu pengetahuan, ketaatan yang tidak membuta tuli, kepimpinan bijaksana yang memilki kesedaran, ketegasan, keazaman, kesediaan, dan keikhlasan. Penyediaan ini menuntut satu usaha yang besar dan tajarrud yang tidak berbelah bagi. Dengan itu sebenarnya proses penyediaan memerlukan kepada:

  1. Qiadah yang wa’ie dan bijaksana.
  2. Perancangan yang sempurna dan jelas.
  3. Qaedah (jundi) yang melaksanakan dengan sedar apa yang dilakukannya.

4. Hadaf Takhtit Islami

Sesungguhnya perancangan dakwah adalah perancangan yang memakmurkan muka bumi, memperbaiki kehidupan dan menegakkan hukum Allah.

a. Memakmurkan muka bumi dan memperbaiki kehidupan:
Ia memestikan:

  1. Mengembangkan kebaikan sedia ada.
  2. Menghapuskan keburukan yang berlaku dengan memerangi kefasadan, kumpulan yang batil dan parti yang kafir.
  3. Mengarahkan kebaikan yang ada ke arah:
  • Meluaskan daerah hubungan dengan qeadah Islamiah yang ada dalam masyarakat.

  • Mewujudkan hubungan baik dengan kelompok Islam lain dalam medan.[2]

  • Kemahiran mengambil faedah dari kebaikan orang lain.[3]

  • Mengajar qaedah (pengikut) seni berinteraksi dengan kehidupan dan masyarakat agar tidak terasing dari realiti dan kehidupan bersama yang diperlukan dalam masyarakat.

b. Persiapan untuk memerintah (daulah)

  1. Binaan fikrah-fikrah daulah – bersiap untuk mengambil alih daulah, menjaga daulah dan mengembangkannya.
  2. Binaan haraki
    • Harakah tanzim: menyiapkan tanzim untuk mengakkan sebuah daulah.
    • Harakah mujtama’: mewujudkan arus Islam ke arah menuntut dan mencapai daulah Islamiyah.
    • Harakah daulah: menyiapkan unit-unit khusus untuk mengambil kuasa.
  3. Mengenali saiz kekuatan musuh, perancangan mereka dan uslub tipu daya mereka.
  4. Menyediakan peluang atau merebutnya.
  5. Kesinambungan strategi tempatan dengan strategi antarabangsa.

5. Sifat-sifat perancang dakwah

  • Taqwa, wara’ dan mempunyai akhlak keimanan yang tinggi.
  • Kefakihan terhadap realiti dan jangkaan masa depannya.
  • Kedudukan sebagai qiadah.
  • Ilmu syara’
  • Pengetahuan semasa.
  • Memiliki kepakaran yang mampu dicapainya.

Nota Kaki 

[1] Amal fardhi dalam gabunagn jemaah maknanya indimaj dalam amal jemaah bukan indimaj jemaah dalam amalnya

[2] Semua pertubuhan yang melaksanakan satu aspek daripada aspek-aspek yang kita perjuangkan, maka kita perlu menyokongnya dari aspek ini.

[3] Manusia terbahagi kepada dua jenis; Pertama: mengambil segala apa yang ia jumpa dan mengeksploitasi segala yang berada disekelilingnya. Kedua: Lilin yang suka memberikan cahaya kepada orang sekitarnya. Kerana itu wajib mengambil berat terhadap golongan kedua kerana ia bermanfaat dan dapat menambahkan kekuatan kepada harakah Islamiah

16
Sep
07

Tarbiyyah & Dakwah

Bacaan dari sirah perjuangan Rasulullah s.a.w. amat penting bagi pendakwah. Sirah menerangkan kepada kita kaedah dakwah. Dengan itu kami tidak menganggap membaca dan mengkaji sirah Rasulullah s.a.w. berkali-kali sebagai satu beban tambahan bagi pendakwah. Sebaliknya ia seumpama cahaya yang menyuluh perjalanan. Semakin tinggi kefahamannya terhadap sirah, semakin mudah untuk dia berjalan di dunia dakwah.

Di sini ingin kami kongsikan kepada pembaca satu fakta berkenaan sirah Rasulullah s.a.w. yang telah ditafsirkan secara silap oleh sebahagian pendakwah. Kesilapan penafsiran ini mungkin disebabkan oleh pembacaan yang tidak meluas terhadap sirah. Jika ini puncanya, ia suatu yang mudah untuk dibetulkan kembali. Apa yang kami bimbangi adalah jika ia lahir dari sikap, pandangan dan pendekatan yang sudah terpahat dan didoktrinkan di dalam pemikiran sebelum kajian terhadap sirah. Peristiwa-peristiwa dari sirah dipilih untuk menguatkan pandangan ini. Jika ini puncanya, perkongsian terhadap topik ini mungkin agak sukar.

Fasa-fasa Dakwah

Dakwah Rasulullah s.a.w. dimulakan dengan fasa kerahsiaan identiti, tanzim dan aktiviti dakwah selama tiga tahun. Sesudah itu ia masuk ke fasa berdakwah secara terang-terangan sesudah turunnya ayat: “dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat.” (As-Syu’ara: 214). Ada kisah pertemuan-pertemuan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. di rumah Arqam bin Abi Arqam, seorang pemuda yang pemilihan rumahnya memberikan beberapa kelebihan dari sudut keselamatan. Rasulullah s.a.w. juga berkata kepada mereka: “Tahan tangan-tangan kamu sebaliknya dirikanlah sembahyang dan tunaikanlah zakat.”

Fasa ini berterusan untuk satu tempoh. Persoalan timbul tentang tabiat fasa ini; adakah ia bermaksud para sahabat r.a. perlu ditarbiah untuk satu tempoh tertentu sebelum terlibat di dalam medan dakwah? Jika itu betul, adakah ianya kaedah yang diguna pakai juga kepada sahabat-sahabat r.a. yang memeluk Islam sesudah fasa ini; tarbiah untuk satu tempoh sebelum diberikan tugasan dakwah dan jihad? Jika itu adalah petunjuk dari sirah, adakah organisasi dakwah hari ini juga perlu mengambil kaedah yang sama?

Kajian terhadap jarak waktu di antara keislaman para sahabat r.a. dan penugasan dakwah dan jihad kepada mereka oleh Rasulullah s.a.w. tidak sekali-kali menyokong pandangan di atas. Sebaliknya apa yang kita dapati adalah sebaliknya.

Sahabat dan Tarbiah Rasulullah s.a.w.

Bilangan sahabat r.a. melebihi 100,000 orang. Ini jika sekiranya kita mengambil pandangan al-Hafiz Ibnu Hajar yang mentakrifkan sahabat r.a.: “Sesiapa yang hidup bersama Rasulullah s.a.w. untuk satu tempoh yang panjang atau pendek, yang meriwayatkan hadis daripada Baginda s.a.w. atau tidak meriwayatkan hadis, sesiapa yang ikut serta berperang bersama Baginda s.a.w. dan sesiapa yang tidak ikut serta, sesiapa yang pernah melihat Baginda s.a.w. walau pun tidak pernah duduk semajlis dengannya dan sesiapa yang tidak pernah melihat Baginda s.a.w. kerana sesuatu halangan seperti buta.” Dengan takrif itu termasuk di dalam kelompok yang disebut sebagai ‘bintang-bintang di langit’ ini semua yang pernah menghadiri haji wida’ (perpisahan). As-Syeikh Muhammad al-Khudari mengatakan bahawa bilangan mereka yang hadir di peristiwa haji wida’ (perpisahan) tersebut adalah seramai 90,000 orang. Jika kita campurkan bilangan baki sahabat r.a., ahli keluarga mereka di Madinah yang tidak ikut serta di dalam haji wida’ dan sedikit yang memeluk Islam selepas itu, bilangan itu sememangnya mencecah lebih 100,000 orang.

Pentarbiahan Rasulullah s.a.w. terhadap mereka berlaku dalam bentuk yang pelbagai. Tidak sama di antara seorang dengan seorang yang lain. Tetapi hadis-hadis Rasulullah s.a.w. tentang para sahabat r.a. dan persaksian sejarah membuktikan penglibatan mereka – kesemua mereka – di dalam dakwah dan jihad. Dengan erti kata lain pentarbiahan yang pelbagai bentuk tersebut berjaya melahirkan lebih 100,000 orang pendakwah yang telah pun lulus ‘piawai’ tarbiah tersebut.

Jika kita mengkatogerikan para sahabat r.a. berdasarkan bentuk pentarbiahan yang mereka terima dari Rasulullah s.a.w. secara mudahnya kita boleh mengkatogerikan mereka kepada beberapa kategori.

Kelompok Pertama

Kelompok yang bersama dengan Rasulullah s.a.w. dari fasa Mekah sehingga ke hujung fasa Madinah. Mereka mendapat pentarbiahan yang langsung dari Rasulullah s.a.w. dalam setiap keadaan. Dorongan untuk mereka terlibat di dalam dakwah dan jihad dengan satu kesungguhan luar biasa dan dengan kaedah yang betul mudah untuk kita fahami. Rasulullah s.a.w. bersama mereka di setiap detik kehidupan mereka; menegur mereka, memberikan arahan, menasihat, mendidik dan membentuk.

Berapakah bilangan mereka?

Jika dibandingkan dengan bilangan sahabat r.a. keseluruhannya, nisbah bilangan mereka adalah terlalu kecil. Jika sekiranya kita tolak 183 orang lelaki dan 18 orang wanita di kalangan sahabat r.a. yang berhijrah ke Habsyah, bilangan mereka di kelompok ini tidak melebihi 200 orang. 200 dari 100,000 orang? Hanya 0.2% sahaja.

Apa bentuk pentarbiahan mereka? Apa bahan yang mereka bincangkan? Apakah suntikan tarbiah yang disuntik kepada mereka sebelum memulakan dakwah?

Dr. Jasim Muhammad Sultan berpendapat: “Rasulullah s.a.w. tidak meletakkan kadar suntikan tarbiah kepada seseorang muslim sebelum mereka terlibat di dalam projek-projek Islam kecuali dua kalimah syahadah. Tarbiah akan diteruskan selepas itu beriringan dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku.”

Kami melihat kebenaran pada kata-katanya. Beberapa peristiwa yang berlaku kepada kelompok ini menyokong pandangan beliau.

Saidina Abu Bakar r.a. menyeru kepada Islam dari hari pertama dia mengucapkan dua kalimah syahadah. Di tangan beliau lima dari sepuluh yang dijamin masuk syurga oleh Baginda s.a.w. memeluk Islam. Mereka adalah Osman bin Affan r.a., Abdul Rahman bin Auf r.a., Saad bin Abi Waqqas r.a., az-Zubair bin al-Awwam r.a. dan Tolhah bin Ubaidillah r.a.

Di samping itu beliau juga menebus hamba yang memeluk Islam. Beliau juga mempertahankan Rasulullah s.a.w. dari sebarang gangguan.

Apa yang beliau lakukan hanyalah hasil dari kefahaman terhadap beberapa ayat al-Quran. Bukan perincian yang mendalam tentang Islam, tetapi hanya beberapa ayat.

Fakta yang cukup menarik juga kita dapati apabila kita mengkaji peristiwa keislaman Omar al-Khattab r.a. dan Hamzah bin Abd. Mutalib r.a. Mereka beriman di penghujung tahun kelima kenabian. Tetapi mereka mendahului sebahagian dari sahabat r.a. yang pernah ditarbiah di rumah Arqam bin Abi Arqam r.a. Saidina Omar r.a. sendiri termasuk di dalam kelompok 10 yang dijamin masuk syurga oleh Rasulullah s.a.w.; satu-satunya dari 10 orang itu yang masuk Islam selepas fasa rahsia pada tiga tahun pertama.

Berkenaan Saidina Omar r.a. ini Abdullah bin Mas’ud r.a. berkata: “Keislaman Omar r.a. adalah pembukaan. Hijrahnya adalah kemenangan. Pemerintahannya adalah rahmat. Kami tidak pernah bersembahyang di hadapan Ka’bah sehinggalah Omar r.a. memeluk Islam. Apabila dia memeluk Islam, dia melawan Quraisy dan bersembahyang di hadapan ka’bah. Lalu kami pun bersembahyang bersama-sama dengannya.”

Persoalan yang sama kita ajukan; apa bentuk pentarbiahan yang berlaku kepada Omar r.a.? Apa bahan yang dibincangkan? Apakah suntikan tarbiah yang disuntik kepada Omar r.a. sebelum memulakan dakwah?

Jawapannya akan kita dapati pada kata-kata Dr. Jasim Muhammad Sultan di atas.

Kelompok Kedua

Kelompok yang memeluk Islam kemudian diarahkan agar meninggalkan Rasulullah s.a.w. Mereka terbahagi kepada dua kategori; ahli rombongan hijrah ke Habsyah dan sahabat yang diminta kembali ke kabilah masing-masing.

Para sahabat r.a. yang berhijrah ke Habsyah berjumlah seramai 183 orang lelaki dan 18 orang wanita. Jumlah ini menyamai jumlah sahabat r.a. yang duduk kekal di Mekah. Rasulullah s.a.w. berkata kepada mereka dua tahun sesudah bermulanya fasa dakwah terang-terangan: “Apa kata jika kamu pergi ke bumi Habsyah. Di situ ada seorang raja, siapa berada di sisinya tidak akan dizalimi. Ia adalah bumi kebenaran. Duduklah di situ sehingga Allah mengeluarkan kamu dari kesengsaraan kamu sekarang.”

Mereka berada di sana bermula dari tahun kelima kenabian dan bergabung dengan Rasulullah s.a.w. selepas peperangan Khaibar pada tahun ketujuh hijrah. 15 tahun di Habsyah, jauh dari Rasulullah s.a.w. dan baki sahabat r.a. Tinggal di bumi Kristian yang mempunyai nilai sejarahnya sendiri. Berjiran dan dikelilingi oleh penganut agama Kristian yang ta’asub dengan ajaran itu dan mempertahankannya. Sedangkan mereka baru memeluk Islam. Bagaimanakah Rasulullah s.a.w. cukup berani mempertaruhkan nasib mereka? Siapa yang mentarbiah mereka di sana? Cukupkah bekalan yang mereka dapati di Mekah untuk hidup di bumi yang asing ini? Terjagakah iman mereka sebelum kita bertanya mampukah mereka berdakwah di sana?

Pentarbiahan berlaku dalam bentuknya yang tersendiri. Peristiwa-peristiwa yang berlaku di bumi Habsyah mematangkan mereka. Mereka menyempurnakan kefahaman dakwah mereka di situ selama 15 tahun; jauh dari sumber wahyu. Kemungkinan ayat-ayat yang turun kepada Rasulullah s.a.w. sampai kepada mereka dari hari ke hari walau pun mungkin terlalu lambat jika dibandingkan dengan para sahabat r.a. yang berada di Mekah. Itu adalah bentuk tarbiah terbaik yang kami jangkakan walau pun ia mungkin sekadar satu andaian. Apa yang pastinya, Rasulullah s.a.w. tidak ada di sisi mereka untuk menegur dan membimbing mereka setiap hari.

Satu lagi fakta menarik kami temui di dalam kelompok ini. Fakta ini membuktikan pengiktirafan Rasulullah s.a.w. terhadap pencapaian kefahaman dakwah dan jihad pada tahap tinggi yang mereka dapati di Habsyah. Ketua rombongan hijrah ke bumi Habsyah iaitu Ja’far bin Abu Talib r.a. dilantik oleh Rasulullah s.a.w. mengetuai ekspedisi perang Muktah hanya beberapa bulan sesudah tiba di Madinah dari Habsyah. Turut serta di dalam peperangan itu adalah Abdullah bin Mas’ud dan al-Miqdad bin al-Aswad r.a. Kedua-duanya adalah ahli rombongan hijrah ke Habsyah. Satu yang kami rasakan cukup menakjubkan dan cukup penting untuk dikaji oleh peminat-peminat ilmu tarbiah da’awiah harakiah.

Perkara yang lebih kurang sama berlaku kepada sahabat yang beriman dan diminta kembali ke kabilah masing-masing. Di antara mereka adalah Abu Zar al-Ghifari. Dia memeluk Islam di Mekah dan bertemu kembali dengan Rasulullah s.a.w. di Madinah bersama dengan dua kabilah yang telah memeluk Islam; kabilah Aslam dan Ghaffar.

Rasulullah s.a.w. pernah menyifatkan Abu Zar r.a.: “Seorang pemuda yang tepat ungkapannya kata-katanya.” Dengan kelebihan itu beliau r.a. menyeru kedua-dua kabilah tersebut kepada Islam.

Persoalan yang sama kita ajukan; apa bentuk pentarbiahan yang berlaku kepada Abu Zar r.a.? Apa bahan yang dibincangkan? Apakah suntikan tarbiah yang disuntik kepada Abu Zar r.a. sebelum memulakan dakwah dan berjaya mengislamkan dua kabilah yang besar?

Kelompok Ketiga

Suku Aus dan Khazraj yang dikenali sebagai kaum Ansor selepas penubuhan negara Islam Madinah. Sebahagian mereka beriman sebelum peristiwa hijrah tetapi kebanyakannya beriman ketika Rasulullah s.a.w. berada di Madinah. Mereka tidak pernah menerima pentarbiahan di Mekah seperti golongan Muhajirin. Mereka beriman di fasa jihad dan kemenangan Islam bukan fasa kerahsiaan dan fasa dakwah terang-terangan di Mekah. Mereka tidak berdepan dengan Quraisy dalam keadan Islam lemah. Mereka berdepan dengan kaum Quraisy dalam keadaan Islam kuat. Mereka tidak melalui fasa yang dilalui oleh golongan Muhajirin. Tetapi mereka memberikan sumbangan yang tidak kurang besarnya kepada Islam. Beberapa ayat al-Quran memuji golongan Ansar. Di antaranya firman Allah yang bermaksud:

“dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.” (Al-Hasyr: 9)

Allah sifatkan mereka sebagai ‘orang-orang yang berjaya’. Persaksian yang membuktikan kedudukan mereka yang tinggi di sisi Allah. Mereka berdakwah di awal keislaman mereka lagi.

Satu kisah berkenaan seorang Ansar bernama Nu’aim bin Mas’ud di dalam peperangan Ahzab ingin kami ketengahkan di sini sebagai bahan renungan kita semua. Beliau beriman di tengah-tengah peperangan Ahzab. Selepas keislamannya beliau bertemu Rasulullah s.a.w. dan bertanya kepada Rasulullah s.a.w. apa-apa yang ingin diminta beliau lakukan. Beliau sanggup melakukan apa sahaja.

Perhatikan detik-detik peristiwa yang berlaku kepada pemuda ini. Beliau terlalu baru memeluk Islam, tidak pernah menerima apa juga bentuk pentarbiahan dari Rasulullah s.a.w. dan bahkan mungkin tidak sempat langsung untuk menghafal walau pun satu potong ayat al-Quran. Arahan yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. kepada beliau menjadi panduan kita di dalam kajian tarbiah da’awiah harakiah. Beliau tidak diarahkan duduk di soff belakang dan ditarbiah dahulu oleh sahabat-sahabat besar. Sebaliknya Rasulullah s.a.w. memberikannya satu tugasan yang cukup berisiko dan dia berjaya melakukannya. Beliau berjaya menyelinap ke dalam kedua-dua kumpulan Quraisy dan Yahudi, mencetuskan perbalahan di antara kedua pihak dan membawa kepada kemenangan kepada Islam.

Apa yang mampu dipelajari oleh pemuda ini beberapa detik selepas keislamannya sehingga beliau dapat memainkan peranan yang besar ini?

Kelompok Keempat

Kaum Quraisy yang tidak beriman di fasa Mekah sebaliknya beriman di fasa jihad dan kemenangan Islam di Madinah.

Di antara mereka adalah Khalid bin al-Walid r.a. yang memeluk Islam selepas melihat keajaiban yang berlaku kepada tentera Islam di dalam peristiwa Hudhaibiah. Beliau memeluk Islam dan memimpin tentera Islam beberapa bulan selepas keislamannya. Kegemilangan beliau memimpin tentera Islam tidak perlu kita ketengahkan di sini. Ia adalah kisah yang masyhur dan tidak perlukan banyak penjelasan dibuat berkenannya.

Kelompok Kelima

Kelompok terpencil yang menyembunyikan keislaman mereka di Mekah. Mereka menzahirkan keislaman mereka sebelum pembukaan Mekah. Sebahagian daripada mereka memberikan sumbangan kepada Islam dalam bentuk-bentuk tertentu yang tidak dilakukan oleh sahabat-sahabat lain yang menzahirkan keislaman mereka.

Di antaranya adalah Abbas bin Abdul Mutallib r.a. Beliau menyaksikan peristiwa Bai’ah Aqabah kedua dalam keadaan belum memeluk Islam. Bahkan berlaku perbualan di antara wakil Ansor dengan beliau meminta persetujuan beliau sebelum mereka membuat keputusan untuk membawa Rasulullah s.a.w. ke Yathrib.

Bagaimana sumbangan kepada dakwah boleh berlaku dalam bentuk yang sedemikian? Satu lagi peristiwa yang mengajak kita untuk berfikir tentang topik penglibatan dakwah seseorang dan kaitannya dengan tarbiah.

Kelompok Keenam

Mereka adalah kelompok yang beriman selepas pembukaan Mekah. Mereka beriman sesudah Islam berjaya membuktikan kekuatan dan keunggulannya. Di antara mereka adalah Ikrimah bin Abu Jahl r.a., Suhail bin Amru r.a. dan Sofwan bin Umayyah r.a.

Mereka telah membuktikan di dalam sejarah tentang sumbangan mereka kepada Islam terutamanya di dalam siri-siri peperangan membenteras gejala murtad di seluruh Semenanjung Tanah Arab di zaman Saidina Abu Bakar r.a.

Berapakah jarak masa di antara pertemuan mereka dengan Rasulullah s.a.w. dan penglibatan mereka di dalam jihad tersebut? Ia adalah jarak yang cukup pendek.

Qaedah Sulbah

Qaedah sulbah adalah satu istilah merujuk kepada sekelompok manusia yang menjadi tulang belakang kepada umat Islam. Mereka akan bersama umat dalam kegembiraan dan kedukaan umat. Mereka mengorbankan segala yang mereka miliki untuk umat. Masa depan umat adalah masa depan mereka. Jiwa mereka tulus dan suci. Mereka ikhlas di dalam perkataan dan perbuatan. Mereka tidak memandang dunia sebagai matlamat hidup. Mereka membawa diri mereka menghampiri Allah dengan bertaabud kepadanya melalui segala amal baik mereka dan segala sumbangan mereka kepada umat. Nasib umat terletak di tangan mereka. Pencerobohan musuh tidak akan berjaya selagi mereka ada.

Bagaimanakah proses melahirkan qaedah sulbah ini?

Mereka tidak akan datang dari aktiviti tarbiah di bawah bumbung-bumbung dan di dalam bilik-bilik yang tertutup. Tetapi mereka datang dari medan dakwah yang mereka berada di dalamnya. Medan itulah yang akan melahirkan mereka dan yang akan mengasingkan mereka dari pendakwah-pendakwah yang tidak tulin.

Apa yang kami nukilkan di sini tidak bermaksud bahawa kami memperkecilkan isu tarbiah. Ramai pihak yang mengetahui bahawa kami mengambil berat isu tarbiah lebih dari orang lain.

Apa yang kami ingin ungkapkan di sini adalah kesempurnaan proses tarbiah itu sendiri sebenarnya tidak akan berlaku jika kita menghadkan aktiviti tarbiah tanpa penglibatan di dalam medan dakwah. Kehidupan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. menunjukkan kepada kita bahawa ia bukanlah dua perkara yang berasingan; yang pertama mendahului yang kedua. Tidak juga menunjukkan bahawa sesiapa yang lama ditarbiah akan lebih thabat bila masuk ke medan dakwah. Medan akan menyempurnakan tarbiah dan menguji thabat seterusnya melahirkan qaedah sulbah.

Kami juga tidak bermaksud dengan kefahaman yang sedikit maka pendakwah mesti terus terjun ke medan dakwah yang luas; apa juga bentuk dan saiz medan tersebut.

Membuka medan dakwah kepada pendakwah mesti dilakukan secara beransur-ansur berdasarkan tahap kemampuannya. Ia adalah perkiraan yang sukar dilakukan oleh kita. Tetapi kesukaran tersebut tidak seharusnya membawa kepada satu pendekatan mudah yang dilakukan oleh sebahagian pendakwah iaitu membuka terus medan dakwah kepada segala jenis pendakwah tanpa mengambil kira kemampuan dan kesesuaiannya. Bacaan dari sirah juga tidak menyokong pendekatan ini. Ada peranan yang mampu dimainkan oleh Abu Bakar r.a. tidak mampu dimainkan oleh orang lain. Ada peranan yang mampu dimainkan oleh Dihyah al-Kalbi r.a. tidak mampu dimainkan oleh sahabat-sahabat besar. Begitulah seterusnya kita dapati satu persatu penugasan dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dilakukan dengan cukup teliti.

Semoga dengan tulisan ini dapat membawa kita kembali meneliti bentuk pentarbiahan yang kita lakukan. Moga apa juga aktiviti tarbiah itu tidak akan menjadi penghalang kepada sampainya kebaikan yang kita miliki kepada umat Islam dan seterusnya menjadi sebahagian dari penyelesaian kepada masalah umat.

15
Sep
07

SEKITAR DAKWAH

Peranan Seorang Muslim Dalam Dakwah

Pendahuluan.

Setiap muslim yang “commited” dengan ajaran Islam adalah bertanggungjawab untuk melaksanakan suatu tugas yang suci dan paling mulia iaitu berdakwah. Tugas ini adalah warisan para nabi kepada umatnya untuk dilaksanakan dengan segala kemampuan yang ada. Segala bentuk tugas dan kegiatan yang lain diluar rangka dakwah dan amal soleh-biar betapa hebat dan gagah nampak pada zahirnya- pada hakikatnya ia tidak mempunyai apa-apa nilai. Kemuliaan tugas ini ditegaskan oleh Allah dalam firman-nya dalam surah Al – Fussilat: 33

” Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan amal soleh dan berkata aku adalah daripada orang-orang yang menyerah diri(muslimin)”.

Keagungan dan kegemilangan umat Islam pada zaman silam sehingga muncul sebagai khaira ummat adalah berpunca daripada kejayaan mereka yang dapat melaksanakan tanggungjawab dakwah itu dengan berkesan. Mereka berusaha dengan penuh kegigihan mengajak manusia ke jalan Allah, menyuruh mereka melakukan kebaikan dan mencegah segala bentuk kemungkaran. Lantaran itulah Allah menyifatkan mereka sebagaimana firman-Nya dalam surah Ali-Imran :110

“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk (faedah) manusia, Kamu mengajak kepada kebajikan dan kamu mencegah daripada kemungkaran serta kamu beriman kepada Allah…..”

Dalam membicarakan peranan seorang muslim dalam dakwah, terdapat 5 komponen penting yang berkaitan di antara satu sama lain.

1. Maksud dakwah itu sendiri dan kepentingannya.

2. Pendakwah orang yang melaksanakan tugas dakwah ini.

3. Materi atau isi dakwah itu sendiri.

4. Kaedah dan teknik dakwah.

5. Sasaran dakwah itu sendiri.

Setiap muslim yang terlibat dalam bidang dakwah ini mestilah memahami kelima-lima komponen ini untuk memudahkan mereka melaksanakan tugas ini dengan berkesan dan mencapai matlamatnya. Berdakwah dengan membuta tuli tanpa memahami isi dakwahnya tidak mendapat apa-apa kesan yang positif.

Maksud Dakwah dan Kepentingannya.

” Barang siapa daripada kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya (kekuasaan), apabila ia tidak berkuasa (dengan tangan) maka dengan lidahnya (teguran atau nasihat), apabila tidak kuasa (dengan lidahnya) maka dengan hatinya dan yang demikian adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim).

Dari segi bahasa:

Dakwah ertinya menyeru, mengajak, memanggil, menyampai, dan mendorong(5 M). Perkataan- perkataan yang seiring dengan dakwah seperti Al- Wa’zu, Al- Irsyad, At- Tabligh dan lain-lain lagi.

Dari segi istilah:

Dakwah ialah mengajak atau menyeru manusia ke jalan Allah dengan menyuruh mereka melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran supaya mereka mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Berdasarkan pengertian di atas, dakwah mengajak manusia supaya menghayati Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap dan syumul. Islam dipraktikkan dalam segenap aspek kehidupan mereka tanpa wujud pemisahan dan pengasingan sebagaimana firman Allah dalam surah Al- Baqarah ayat 208:

Dalam konteks kehidupan hari ini dakwah mesti dilaksanakan oleh setiap muslim bagi memakmur, mengislah dan mengangkat nilai dan martabat manusia. Beberapa alasan berikut yang menunjukkan betapa pentingnya gerakan dakwah iaitu:

1    Pengaruh sekularisma yang telah lama bertapak dalam kehidupan orang-orang Islam sehingga mempengaruhi pemikiran, perasaan, pandangan dan cara hidup mereka. Mereka melihat Islam dalam bentuk yang terpisah dalam aspek kehidupan ini. Dakwah mesti dijalankan bagi menyelamatkan umat. Sehubungan dengan itu Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 85:

“Apakah patut kamu hanya percaya kepada sebahagian daripada isi kitab dan mengingkari akan sebahagian yang lain. Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu daripada kamu selain daripada kehinaan ketika hidup di dunia dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab siksa yang amat berat”.

2  Gejala keruntuhan sosial yang membawa kepada penghakisan akidah yang berlaku pada masa kini seperti pergaulan bebas lelaki wanita, kelahiran anak luar nikah dan pembuangan anak yang meningkat, budaya lepak, pelacur remaja, penyalahgunaan dadah, Aids dan sebagainya.

Fenomena yang wujud menuntut kepada method, kaedah dan uslub dakwah yang sesuai untuk menanganinya. Sabda Rasulullah S.A.W.

” Barang siapa daripada kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya (kekuasaan), apabila ia tidak berkuasa (dengan tangan) maka dengan lidahnya (teguran atau nasihat), apabila tidak kuasa (dengan lidahnya) maka dengan hatinya dan yang demikian adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim).

3 Gerakan musuh Islam yang membuat pelbagai rancangan dan strategi serta bergerak secara berjemaah bagi menghancurkan Islam dan meleburkan umatnya. Di antara perancangan mereka sebagaimana yang dijelaskan oleh tokoh Islam “Jala Al-Alam” iaitu:

3.1 Hancurkan akidah muslim.

3.2 Hapuskan Al Quran daripada mereka

3.3 Hapuskan sistem khalifah Islam.

3.4 Hapuskan tokoh-tokoh Islam.

3.5 Rosakkan akhlak muslim dan fikiran mereka.

3.6 Rosakkan wanita dan kembangkan pergaulan bebas.

3.7 Tanamkan keraguan terhadap agama.

3.8 Lenyapkan persatuan muslimin.

Perancangan mereka ini telah dijelaskan oleh Allah melalui firman-Nya dalam surah at-Taubah ayat 32:

” Mereka mahu memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka sedangkan Allah tidak menghendaki melainkan Allah menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)”.

4 Memenuhi tuntutan al-Quran supaya dilahirkan daripada kalangan manusia satu jamaah atau organisasi yang bertanggungjawab mengajak manusia ke arah ma’ruf dan mencegah kemungkaran.

Sebagaimana firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 104:

” Dan hendaklah ada dari kalangan kamu satu ummah yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh dengan perkara ma’ruf dan mencegah kemungkaran. Dan merekalah orang-orang yang berjaya”

Sehubungan dengan itu Nabi sendiri telah berpesan kepada umatnya dengan satu amanah yang mesti dilaksanakan dengan sabdanya:

“Sampaikanlah sesuatu daripada aku walaupun satu ayat sekalipun”

Di sini jelas terbukti bahawa jaminan Allah bahawa kejayaan dan kecemerlangan akan dicapai bagi individu atau organisasi yang dapat melaksanakan tanggungjawab dakwah ini dengan sebaik mungkin ke arah kesejahteraan ummat.

Pendakwah atau orang yang melaksanakan tanggungjawab berdakwah.

Setiap pendakwah perlu mempersiapkan diri mereka terlebih dahulu dengan segala bekalan dan senjata yang mencukupi, efisyen dan berkesan. Semangat dan kemahuan yang berkobar-kobar sahaja tidak mencukupi bagi menjamin keberkesanan dakwah yang disampaikan.

Diantara bekalan bagi setiap pendakwah iaitu:

1 Kemantapan Aqidah Dan Ilmu

a. Mempunyai akidah yang tahan diuji.

b. Memahami Islam sebagai Addin yang mencakupi segenap ruang lingkup kehidupan manusia.

c. Menguasai Al-Quran melalui konsep 5M iaitu Membaca, Menulis, Menghafaz, Memahami dan Menghayatinya.

d. Menguasai ilmu bahasa, psikologi, kemasyarakatan, komunikasi, pengurusan dan sebagainya.

2 Mempunyai kualiti diri dengan akhlak yang terpuji dan personaliti yang cemerlang.

Istiqamah dalam ibadat dan sentiasa melakukan tazkiyatul-nafs (pembersihan jiwa) dengan zikrullah, qiyamullail, muhasabah, muraqabah dan sebagainya. Memiliki akhlak yang terpuji seperti bersabar, tawaduk, lemah lembut, berlapang dada, beramah mesra, penyayang dan bertimbang rasa dan sebagainya. Menghayati sifat-sifat positif seperti mempunyai daya juang, daya korban, daya tahan, futuristik dan sebagainya.

3 Mempunyai kebolehan dan kemahiran

a. Kemahiran berkomunikasi

b. Kemahiran berfikir

c. Kemahiran mendengar

d. Kemahiran mengurus

e. Lain-lain kebolehan dan kemahiran

Materi atau Isi Dakwah.

Dakwah yang disampaikan mesti berlandaskan kepada Al-Quran dan Al-Hadis sebagai sumber rujukan utamanya. Dakwah yang tidak merujuk atau berlawanan dengan dua sumber utama ini tidak akan mencapai tujuannya. Lantaran itulah kita dapati umat Islam pada awal sejarah yang merupakan generasi dakwah yang berjaya telah menceduk Al-Quran dan As-sunnah sepenuhnya. Sehingga seluruh peribadinya di warnai dan diresapi, dibentuk, dan dikuasai sepenuhnya oleh ajaran Ilahi. Mereka benar-benar merealisasikan sabda junjungan riwayat Abu Hurairah iaitu:

” Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya iaitu kitab Allah(Al-Quran) dan sunnah Rasulullah”

Kaedah dan Teknik Dakwah.

Berdakwah memerlukan kepada kaedah atau method yang tertentu. Berdakwah secara membuta tulli tanpa kaedah yang tertentu, bahan ramuannya dan pantang larangnya adalah amat bahaya seperti bahayanya pengubatan manusia tanpa pemastian jenis penyakit yang sebenar. Lantaran itu beberapa kaedah dalam berdakwah sebagaimana firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 125:

“Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan hikmat mauizah (nasihat) yang baik dan berbahasalah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhan kamu dialah sahaja yang lebih mengetahui tentang siapa yang sesat daripada jalannya dan dialah sahaja yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”

Berdasarkan ayat di atas terdapat tiga kaedah berdakwah sebagaimana yang digariskan oleh Al-Quran iaitu:

Berdakwah Dengan Cara Ikhlas

Iaitu menyampaikan dakwah dengan penuh kebijaksanaan yang meliputi perkara-perkara berikut:

a. Menggunakan tutur kata yang lemah lembut dan menarik.

b. Hujah-hujah yang konkrit yang mudah difahami yang dapat menyingkapkan kebenaran dan menghilangkan keraguan.

c. Menggunakan unsur-unsur psikologi untuk menjinakkan manusia dengan Islam.

d. Dakwah yang disampaikan sesuai dengan tingkat pemikiran seseorang.

e. Mengenali dan memahami sasaran dakwahnya.

Dakwah Bil Katabah

Dakwah dilaksanakan melalui aktiviti yang melibatkan penulisan seperti risalah, majalah, artikel, cerpen, sajak, poster, carta daan sebagainya. Penulisan ini di terbitkan samada secara berkala, mingguan, bulanan atau tahunan.

Dakwah Bil-Hal

Dakwah yang dijalankan dengan menunjukkan contoh teladan yang baik melalui perbuatan, sikap, pandangan, tingkah laku yang positif, kerja-kerja amal yang dilakukan dan aktiviti-aktiviti sosial. Ini bererti pendakwah itu sendiri melaksanakan apa yang diucap olehnya dan tidak sekadar tukang cakap dan tukang tunjuk sahaja. Firman Allah dalam Surah Al-Safaya 2:3

. “Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya? Amat besar kebenciannya di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu kamu tidak melakukannya.”

Sasaran Dakwah

Setiap pendakwah mesti mengenali dan memahami sasaran dakwahnya untuk menyesuaikan method dakwah yang digunakan bagi menjamin keberkesanan dakwah tersebut. Di antara langkah-langkah yang perlu diambil ialah:

1. Membuat kajian mengenai kumpulan sasaran tersebut bagi mengambil maklumat yang selengkap-lengkapnya dari segi jenis, sosial-budaya, latarbelakang ekonomi, taraf hidup, sikap dan pandangan hidup mereka.

a. Merangka strategi dakwah yang sesuai dengan kumpulan sasar tersebut.

b. Membuat penilaian dari masa ke semasa bagi mejamin keberkesanannya.

Menurut Syeikh Muhammad Abduh, seorang tokoh pejuang Islam yang terkenal telah mengkategorikan 3 kumpulan sasaran dakwah yang harus dihadapi dengan cara yang berbeza.

a. Golongan cendikiawan yang dapat berfikir secara kritis, mempunyai rangsangan yang cukup kuat dan mudah memahami sesuatu persoalan. Golongan ini hendaklah didakwahkan dengan cara “Hikmat”

b. Golongan awam iaitu orang kebanyakan yang belum dapat berfikir secara kritis dan mendalam serta belum dapat menangkap pengertian-pengertian yang tinggi. Golongan ini mestilah dihadapi dengan cara “Mauizah Hasanah” dengan memberi pengajaran-pengajaran dan didikan yang mudah difahami dan hayati

c. Golongan pertengahan dimana tingkat kecerdasannya adalah di antara dua golongan di atas tadi mestilah dihadapi dengan cara “Mujadalah” iaitu berbincang dan bertukar- tukar fikiran untuk mencari kebenaran

Kesimpulan

Setiap muslim yang dimandatkan dengan tanggungjawab ini mestilah memahami komponen-komponen dakwah yang dibicarakan di atas tadi. Bagi memudahkan mereka melaksanakan tugas suci ini. Mereka juga hendaklah memiliki kualiti peribadi yang unggul di mana seluruh gerak tindakan, suara pengucapan, lintasan fikiran dan degupan jantungnya dibentuk dan dikuasai sepenuhnya oleh ajaran Ilahi. Dakwah yang didorong oleh watak-watak yang belum disebatikan dengan siraman nilai-nilai Islam hanya akan merupakan “show” untuk tontonan sepintas lalu sahaja.

09
Sep
07

Panduan Dakwah Fardiyyah 2

Bahagian 2

5. Tujuh Peringkat Dakwah Fardiyah

Mulakan dakwah dengan mendekati, menyeru dan mengajak mereka yang tidak tahu, lupa atau lalai tentang ajaran Islam. Selepas itu, beransur-ansur dan sedikit demi sedikit dari satu peringkat ke satu peringkat kita pertingkatkan diri mereka dengan ajaran dan tuntutan Islam dan perjuangan menegakkan Islam.

Pada dasarnya kita mestilah bersikap bahawa setiap individu mempunyai sifat-sifat baik yang membolehkannya menerima mesej kita. Golongan seperti ini lebih mudah menerima dakwah. Orang-orang dalam golongan inilah yang sepatutnya kita berikan perhatian yang lebih utama demi menjimatkan usaha dan waktu kita.

Dengan itu kita mesti bijak mendekati dan mengajak mereka kepada mesej yang hendak kita sampaikan kepada mereka. Proses mendekati, menyedarkan, meyakinkan dan akhirnya memenangi hati, perasaan dan fikiran mereka bolehlah dilakukan melalui tujuh peringkat berikut.

Peringkat Pertama

Pada tahap ini hendaklah kita wujudkan hubungan silatur-rahim melalui taaruf ataupun perkenalan secara santai dan bersahaja. Kita mesti menunjukkan rasa hormat dan berminat dengan apa sahaja subjek percakapan yang berlaku.

Berusahalah untuk menziarahinya di rumah atau bertemu di tempat-tempat yang tidak mengganggu keselesaannya. Pada peringkat ini tidak perlu disentuh subjek dakwah atau mesej utama yang hendak kita sampaikan.

Apabila hatinya telah agak terbuka dengan persahabatan dan kemesraan yang kita tunjukkan serta menampakkan hatinya yang terbuka untuk mendengar mesej kita, perhatikan dahulu sama ada mesej kita akan disambutnya dengan ia merasakan mendapat faedah dan manfaat daripadanya atau tidak.

Ingat, penerimaan orang yang hendak diajak kepada dakwah kita bergantung kepada sejauh mana kita memberikan perhatian dan menunjukkan kemesraan kepadanya.

Peringkat Kedua

Setelah hubungan bertambah mesra, mulakanlah perbualan dengan isu-isu semasa yang berlaku dalam masyarakat. Jangan paksakan apakah isu yang hendak dibawa. Lebih utama isu-isu ini ditimbulkan melalui lontaran-lontaran soalan. Biar orang yang hendak dibawa kepada mesej dakwah kita itu berfikir dan beliau sendiri yang mengetengahkan isu tersebut.

Mungkin sesuatu isu itu ditimbulkannya dalam bentuk persoalan juga atau mungkin dengan luahan hati dan pandangannya.

Jika ia dalam bentuk luahan hati dan pandangannya, jangan cepat-cepat menyanggahnya jika pandangan tersebut tidak selaras dengan pandangan kita.

Sebaliknya, hendaklah kita melontarkan beberapa soalan ringan kepadanya untuk ia memikirkan apa yang diperkatakannya.

Jika pandangannya bertepatan dengan pandangan kita, maka berilah perakuan, pujian dan sokongan terhadap pandangan tersebut. Biarlah dia yang bercakap agar apa yang didengarinya sendiri daripada ucapan mulutnya akan lebih mengesani hati dan perasaannya.

Apabila peringkat ini sudah berjalan baik, maka hendaklah kita menyentuh sedikit sebanyak persoalan iman dan aqidah dalam isu-isu yang dikemukakannya itu. Jika persoalan iman dan Islam sudah mula bertapak dalam fikiran dan hatinya, dia akan melihat isu-isu itu dari sudut pandang yang lebih luas dan merangkumi.

Bermula daripada bibit-bibit iman inilah dia akan memikirkan betapa alpa dan lalainya ia terhadap isu-isu yang sedang dihadapi oleh umat Islam dan masyarakat masakini. Asas ini akan menjadikannya mahu membuat anjakan dalam dirinya dan seterusnya melakukan perubahan demi kebaikan diri dan orang-orang yang terdekat dalam kehidupannya.

Peringkat Ketiga

Pada tahap ini hendaklah kita membantu beberapa urusan hidupnya yang memerlukan bantuan. Jika dia seorang yang masih lemah dalam kefahaman Islamnya, maka bantulah ia untuk memahami asas-asas kefahaman Islam yang utama. Hulurkanlah kepadanya rencana, majalah atau buku-buku ringkas berkenaan Islam.

Sebaliknya jika kefahaman dan amalan Islam asas telah beres pada dirinya, maka bantulah ia untuk memahami Islam dalam konteks penghayatan yang lebih luas. Beri makna kepada kefahaman dan amalan Islamnya dengan tuntutan dan tugas-tugas untuk mencegah kemunkaran dan usaha memperbaiki masyarakat sekeliling.

Apabila sesuai berilah dia akhbar-akhbar alternatif seperti Harakah, Siasah, Wasilah dan Suara Keadilan. Perkenalkan juga beliau kepada berita-berita internet seperti Harakahdaily, TVPAS, WTV8, Damai TV dan laman-laman web PAS yang lain.

Peringkat Keempat

Pada tahap ini sebaik-baiknya tingkat kefahaman dan keyakinannya terhadap pengertian ibadah yang syumul. Tekankan bahawa ibadah dalam Islam merangkumi segenap aktiviti hidup dalam pelbagai jurusan.

Urusan mengurus dan menangani hal-ehwal sosial, kemasyarakatan, ekonomi dan politik adalah juga termasuk ruang lingkup ibadah. Kemukakan sirah perjuangan Rasulullah s.a.w dan para anbiya’ dalam Al-Quran sebagai bukti bahawa ibadah yang dituntut oleh Islam adalah amat luas maknanya.

Peringkat Kelima

Setelah pintu kesedarannya sudah terbuka, yakinkanlah kepadanya bahawa tidaklah cukupi baginya untuk menjadi seorang Islam yang hanya baik bagi dirinya semata-mata.

Terangkan kepadanya bahawa Islam merangkumi seluruh urusan kehidupan. Islam adalah satu sistem yang lengkap dan sempurna. Islam adalah juga satu sistem perundangan dan pemerintahan. Islam adalah kemasyarakatan dan ketatanegaraan. Islam adalah dakwah, jihad dan ummah berdaulat.

Inilah kefahaman sahih dan tepat terhadap Islam yang perlu kita terapkan kepadanya. Dengan itu kita yakinkan dia bahawa kita bersama-sama wajib melaksana dan menyempurnakan tugas tersebut kerana ia adalah perintah Allah Rabbul Jalil.

Kita juga mesti fahamkan kepadanya bahawa Islam mewajibkan kita berusaha dan berjuang dengan bersungguh-sungguh supaya Islam berkuasa di muka bumi.

Di atas sebab itu adalah wajib bagi kita menyampaikan seruan Islam kepada manusia seluruhnya. Sebagai seorang Islam, tidak mungkin kita dapat menghayati Islam yang sahih kalau kita hidup mengasingkan diri serta tidak ambil peduli kesusahan dan penderitaan saudara-saudara Islam yang lain.

Berbekalkan kefahaman seperti ini, kita terus membimbingnya sehingga ia dapat merasakan tanggungjawab untuk membela Islam, umat Islam dan masyarakat. Ajaklah dia keluar daripada pengasingannya dan hendaklah ia bergerak dalam jamaah Islam secara jamaie.

Setelah rasa tanggungjawab dalam dirinya semakin bertapak, hendaklah kita terangkan pula kepadanya bahawa tuntutan dakwah pada hari ini mewajibkan setiap umat Islam berusaha bersungguh-sungguh untuk membangunkan daulah Islamiyyah yang melaksanakan syariat Islam.

Pada peringkat ini jelaskan sejarah perjuangan PAS dan cita-cita PAS memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

Peringkat Keenam

Pada peringkat ini kita jelaskan bahawa usaha untuk menegakkan sebuah masyarakat dan pemerintahan Islam tidak mungkin dapat dilaksanakan secara individu. Tugas ini mesti dilakukan melalui sebuah jamaah. Melalui sebuah jamaah, segala usaha individu dapat digembleng dan dipadukan.

Untuk tujuan itu, kewujudan sebuah jamaah yang memperjuangkan cita-cita itu adalah satu perkara yang wajib. Demikian juga menyertai dan menggabungkan diri dalam sebuah jamaah yang memperjuangkan cita-cita ini adalah satu tuntutan yang perlu dipenuhi.

Nyatakan kepadanya inilah yang merupakan masalah terbesar umat Islam. Ramai di kalangan umat tidak merasakan perlunya dibangunkan sebuah negara yang melaksanakan syariat Allah. Ramai juga yang merasa bahawa tidak perlu menggabungkan diri mereka dengan jamaah Islam kerana takut memikul berbagai-bagai bebanan. Mereka lebih mengutamakan kesenangan dan keselesaan diri mereka sendiri.

Jelaskan juga bahawa hidup dan berjuang bersama-sama jamaah adalah sunnah Rasulullah s.a.w, para anbiya, para sahabah, para auliya’ dan solehin.

Nyatakan bahawa dengan bergabung tenaga bersama-sama dengan jamaah Islam, Allah akan memberi ganjaran pahala yang besar dan keberkatan hidup yang sentiasa dirahmati-Nya.

Peringkat Ketujuh

Setelah meyakinkannya bahawa ia perlu bergerak dalam sebuah jamaah Islam, maka terus tawarkan beliau untuk menyertai PAS. Jika timbul persoalan tentang gerakan dan pertubuhan Islam yang lain, jawablah dengan baik tanpa memburuk-buruk atau menyerang mana-mana pihak yang juga sedang menjalankan kerja-kerja dakwah Islamiyyah.

Tunjukkan syaksiyyah tinggi dan sifat mulia kita tanpa merendah-rendahkan mana-mana pihak. Katakan bahawa semua pihak yang menjalankan kerja-kerja kebajikan, pengislahan dan berjuang menentang kezaliman dan penindasan serta berusaha menegakkan kebenaran dan keadilan adalah rakan-rakan kongsi PAS dalam perjuangan ini.

Bantulah mad’u kita untuk mendapatkan dan mengisi borang keahlian PAS. Permudahkan baginya proses untuk menguruskan pendaftaran dan pengesahan sebagai seorang ahli baru PAS.

Setelah menjadi ahli PAS, pastikan program pentarbiyyahan baginya dikendalikan dengan sempurna.




KEMBARA HIDUP

Modeling the Conscience, Pathfinding the Vision, Aligning the Discipline, Empowering the Passion!
"Keep your mind open to change all the time. Welcome it. It is only by examining and reexamining your opinions and ideas that you can progess. All of you were given two great gifts- your mind and your time. It is up to you to do what you please with both. You and only you have the power to determine your destiny. The choice is yours and only yours."

 

September 2007
S S M T W T F
« Aug   Oct »
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
2930  

Archives

Blog Stats

  • 31,426 guests

Categories