Alhamdullilah, syukur kepada Allah S.W.t, dengan izin-Nya pelbagai perkara baik telah berlaku dalam seminggu dua ini. Dengan kemenangan parti Islam di beberapa tempat, memberi peluang kepada Islam untuk membuktikan kemampuan dalam mentadbir muka bumi Allah dengan syariat. Kejayaan ini memberi banyak peluang kepada pendakwah-pendakwah untuk membangunkan masyarakat dengan lebih efisien dan efektif.
Sekadar pandangan dari aku, kejayaan kali ini perlu dilihat sebagai satu medium untuk kita gunakan memberi kefahaman yang lebih baik berkenaan Islam, Akhlak, Ibadah, Ilmu dan lain-lain. Kita sebenarnya seperti diberi kontrak oleh Allah S.W.T untuk melaksanakan tugasan sebagai khalifah dalam masa 5 tahun ini. Andaikata kita berjya, kontrak itu akan disambung oleh Allah S.W.T. Kita perlu lah beringat bahawa setiap kuasa pemerintahan adalah milik Allah, Dia berkuasa untuk memberi kepada sesiapa sahaja yang layak menerimanya.
Dan aku melihat pilihanraya hari ini, orang melayu masih lemah dalam berpolitik. Antara sebabnya, mereka tidak mampu membuat keputusan dalam keadaan sempurna memilih antara yang haq dan batil. Kemenangan parti-parti Melayu bergantung kepada undi orang Cina dan India yang lebih matang dalam membuat keputusan.
Kita dapat melihat, negeri-negeri yang ramai Melayu seperti Perak. Kawasan-kawasan yang ramai Cina dan India telah berjaya dimenangi oleh parti pembangkang/alternatif. Sebaliknya, kawasan yang majoriti Melayu tidak di menangi oleh Parti Pembangkang! Dari pembacaan aku melalui saluran blog, aku melihat perubahan besar dalam pemilihan parti memerintah adalah disebabkan nilai protes rakyat terhadap kezaliman kerajaan. Sekaligus, ia memberi kredit kepada parti-parti pembangkang Melayu atau Islam.
Oleh hal demikian, kejayaan ini jangan diabaikan. Ia perlu diambil peluang untuk mendidik masyarakat untuk memahami kehidupan di dunia ini. Kita perlu gerakan kuliah-kuliah agama yang sering disekat oleh parti pemerintah suatu ketika dahulu. Parti pembangkang perlu menyediakan satu medium atau jentera untuk mendekati anak-anak muda yang semakin jauh dari agama dan nilai-nilai akhlak mulia. Kejayaan parti yang berlandaskan Islam, memerlukan penyokong yang mempunyai pemikiran yang panjang, mampu membezakan perkara yang hak dan batil, mampu membuat keputusan dengan matang, dengan perkara ini sahaja mampu memberi penerusan kemenangan kepada BA.
Kita melihat bagaimana rasulullah merangka gerak kerja membina ummah bila berjaya menguasai tapak memerintah bumi ini. Perkara ini perlu diberi perhatian oleh para pemerintah, juga diberi perhatian oleh pendokong parti-parti Islam yang menjadikan pilihanraya sebagai salah satu cabang dakwah. Sebagai pendokong-pendokong gerakan Islam tidak boleh melihat kemenangan parti Islam ini sebagai titik mula kita untuk berehat, tetapi memulakan langkah untuk mendidik dengan lebih rancak dan efisien. Tiga perkara yang telah di laksanakan oleh Rasulullah S.A.W sewaktu berjaya menjadi penguasa di Madinah ialah:
1. Pembinaan Masjid
2. Mempersaudarakan sesama Muslim
3. Perlembagaan
Kita perlu melihat perkara ini dengan serius selepas berjaya mendapatkan kemenangan di negeri yang berada dibawah penguasa yang berorientasikan Islam. Pembinaan masjid merupakan pusat pentadbiran, dan pendidikan masyarakat ketika itu. Masjid bukan saja menjadi tempat untuk peribadatan tetapi turut dijadikan pusat memperoleh ilmu-ilmu. Masjid juga dijadikan tempat-tempat beraktiviti seperti permainan yang memberi kebaikan kepada manusia. Kita mahu melahirkan generasi yang mempunyai sifat-sifat seorang Muslim. Maka rencana mendekatkan manusia dengan masjid menjadi pariority bagi melahirkan generasi yang berakhlak, berilmu dan beramal.
Seterusnya, semua pendokong Islam perlu memperkuatkan persaudaraan Islam dikalangan Muslim. Ikatan itu perlulah dilaksanakan dengan pelbagai program yang bermanfaat yang dapat melahirkan rasa ukhuwah. Pihak pemerintah juga perlu menyediakan medium tersebut, supaya generasi ini dapat berkongsi maklumat dengan nilai ukhuwah Islamiyyah. Kita melihat kekalahan BA dibeberapa kawasan yang majoriti Melayu adalah disebabkan penyebaran maklumat yang lemah serta ikatan ukhuwah yang lemah sesama Muslim. Ini terbukti bila dun Padang Besar, yang majoriti Melayu telah di menangi oleh seorang Sarjan Polis Cina dari parti Barisan Nasional. Dimanakah sifat ukhuwah Islamiyyah kita untuk memberi mandat pemerintahan kepada orang-orang Islam bukan kepada parti semata-mata.
Kejayaan BA dapat dipertahankan bila kita mampu merangka satu rang undang-undang yang mampu mendidik masyarakat menjadi generasi berilmu dan berakhlak. Undang-undang merupakan kekuatan memelihara manusia dari terjebak kepada kancah maksiat seperti lesen judi, arak, konsert dan aktiviti yang melalaikan. Dalam masa 5 tahun, kalau kita mampu mengawalkan kerosakan yang semakin menjadi-jadi dikalangan remaja melalui undang, insyaAllah masyarakat yang berfikir dan berilmu dapat dibentuk. Kita melihat gejala-gejala sosial yang menjadi seperti di Sungai Petani Kedah, perlu diberi perhatian serius oleh tenaga pemerintah dan pendokong gerakan Islam. Kadang-kadang, mereka ini terperangkap dalam suasana maksiat yang dicipta oleh pihak pemerintah sendiri. InsyaAllah, mereka ini jika diberi nafas dan kefahaman baru, mereka mampu menjadi generasi baru yang baik.
Bagi aku, kemenangan yang lahir dari sifat protes masyarakat tidak mampu mengekalkan kemenangan kepada BA di masa hadapan. Kita berharap, pihak pembangkang yang menang serta pendokong-pendokong gerakan Islam berusaha melaksanakan tugas mendidik masyarat supaya mampu berfikir dengan matang. Ia merupakan syarat utama untuk mengekalkan kemenangan Islam di muka bumi Allah.
Sekian dulu, huraian aku berkenaan kejayaan BA dalam pilihanraya kali ini. Ia merupakan loncatan untuk kita terus gigih dalam memperkembangkan dakwah di muka bumi Allah S.W.T
Wassalam