11
Jun
07

The Black May 14th, Lahirnya Malapetaka Bernama Zionis

OLEH: MASZLEE MALIK

Bulan Mei amat signifikan bagi ramai orang. Bagi para sosialis dan pejuang hak pekerja, 1 Mei adalah hari keramat bagi mereka. Bagi rakyat Malaysia, 13 Mei pula merupakan hari yang ramai tidak ingin kenangi dan sering dijadikan alasan untuk sesetengah pihak menggunakan kuasanya secara berlebihan. Bagi para ibu pula, 8 Mei (bagi AS) dan 6 Mei (bagi di UK) merupakan hari yang paling indah bagi mereka, kerana ianya merupakan hari ibu. Para guru pula tidak mungkin akan melupakan 16 Mei yang sentiasa diraikan sebagai ?Hari Guru?.

Bagi rakyat Palestin pula, 14 Mei pula merupakan hari yang hitam yang tidak ingin mereka kenangkan. Ianya merupakan tarikh yang amat penting dalam sejarah manusia moden yang telah merubah peta dan juga lanskap politik dunia. Ia juga merupakan tarikh yang menandakan dunia tidak lagi akan menjadi tempat yang aman untuk dihuni oleh spesis manusia. Itulah tarikh tertubuhnya sebuah negara haram bernama Israel di atas sebuah tanah yang dahulunya dikenali sebagai Palestin dan sebuah wilayah di bawah naungan Empayar Uthmaniyyah Turki.

Palestin dulu dan kini


Sebelum 14 Mei 1948, sebuah negara yang bernama Israel tidak pernah wujud. Malah sebuah entiti yang tertegak di atas dasar perkauman juga tidak pernah dikenali di kawasan Timur Tengah tersebut. Ia hanya muncul selepas tarikh itu, semuanya bermula selepas tarikh itu. Adakah ia bermula dengan tiba-tiba?, tidak, ia mempunyai latar belakangnya yang tersendiri. Ianya bermula semenjak tahun 1897 lagi, atau mungkin 1896 lagi apabila seorang nasionalis ekstrimis Yahudi yang bernama Theodore Herzl dari Austria telah muncul dengan bukunya ?Der Junderstaadt? (The Jewish State). Beliau yang juga merupakan seorang atheis, telah melihat bahawa penyelesaian terhadap masalah Diaspora bangsa Yahudi dan juga sentimen anti-Yahudi yang semakin rancak di Eropah adalah hanya dengan tertubuhnya sebuah negara ?Nation State? bagi bangsa Yahudi.

Tanpa dinafikan gelombang kemunculan negara bangsa (Nation State) yang melanda Eropah memberikan kesan yang mendalam pada pemikiran Herzl dalam merangkakan sebuah kawasan yang selamat dan ekslusif bagi bangsa Yahudi. Untuk menjayakan idenya itu, dia memerlukan kepada tiga elemen utama: kuasa, rakyat dan tanah. Tanpa tiga elemen ini adalah mustahil bagi beliau untuk menjayakan mimpinya itu.

Pemain Utama Deklarasi Balfour, Chaim Weizmann –


Demi mendapatkan rakyat dan kekuasaan, beliau telah berjaya mengumpulkan lebih daripada 30 pertubuhan Yahudi sekular dari seluruh Eropah untuk bersama dengannya menubuhkan sebuah gerakan yang akan menjayakan cita-citanya itu. Maka pada 29-30 Ogos 1897, di Basel, Switzerland, kongres pertama gabungan lebih 30 buah pertubuhan-pertubuhan Yahudi sekular di Eropah telah berhasil membentuk ?World Zionis Organization? (Pertubuhan Zionis Sedunia).

Objektif utama gerakan ini ialah untuk menubuhkan sebuah negara yang selamat dan ekslusif bagi bangsa Yahudi yang mereka namakan sebagai ?Erez Yizrael? (bumi Israel). Di sana juga pelan tindakan bersepadu dilakarkan untuk mencapai cita-cita mereka dalam tempoh 50 tahun. Pelbagai strategi dan pendekatan telah digunakan oleh Herzl untuk menjayakan rencananya ini. Maka hanya tinggal unsur ketiga, iaitu tanah untuk impiannya itu dijelmakan di alam fizikal. Maka tiada bumi lain yang lebih bermakna bagi kaum Yahudi kecuali bumi Palestin yang mana ianya menurut dakwaan mereka mempunyai nilai sejarah turun temurun bagi kaum Yahudi. Masalah utamanya, bumi Palestin pada waktu itu berada di bawah kekuasaan kaum Muslimin yang dinaungi oleh kekuasaan Empayar Uthmaniyyah yang berada dalam keadaan yang lemah pada waktu itu.

Walaupun tidak didorong dengan motivasi ?aqidah? mahupun apa-apa elemen ?kudus?, namun sebagai pencetus ideologi Zionisme, Herzl begitu komited dengan usaha-usaha menjadikan Erez Yizrael di bumi Palestin sebagai realiti dan bukan hanya impian yang terkubur di dalam karyanya. Setelah gagal memujuk Sultan Abdul Hamid ii untuk menjualkan bumi Palestin kepada gerakan Zionisme sebagai langkah pertama, Herzl dan rakan-rakan Zionisnya mengorak langkah ke pelan kedua mereka. Melalui segala jentera Zionis di peringkat antarabangsa, gerakan tersebut telah berjaya memberikan segala bentuk bantuan kepada kuasa nombor wahid dunia pada waktu itu, iaitu Great Britain untuk membantu mereka. Kematian Herzl dan juga kekecewaannya untuk mendapatkan bumi Palestin serta ideanya untuk mengubah kedudukan Erez Yizrael ke bumi Uganda hampir-hampir menjejaskan perjuangan gerakan Zionisme.

Jika tidak kerana usaha-usaha Prof. Chaim Weizmann, nescaya gerakan tersebut telah menjadi sejarah yang berakhir dengan anti klimaks. Dialah yang merupakan bapa gerakan Zionisme yang kedua, beliau jugalah yang telah berjuang sehingga tertegaknya sebuah Erez Yizrael di bumi yang sentiasa menjadi sebutan bagi setiap orang Yahudi di dalam doa-doa harian mereka setiap hari. Selain menjadi pencipta letupan TNT bagi tentera British, Profesor di dalam bidang Kimia ini juga mempunyai hubungan yang amat intim dengan kerajaan British sebagai kuasa dunia pada waktu itu. Ini telah memberikannya peluang untuk survival gerakan ini di fasa selanjutnya.

Dengan membekalkan Great Britain serta sekutu-sekutunya di dalam Peperangan Dunia yang pertama dengan bantuan kewangan, ketenteraan dan juga perisikan (seperti yang telah dicatatkan oleh Dr. A. Wahab el-Masiri di dalam artikelnya mengenai Yahudi dan industri perisikan), mereka mendapatkan hasil yang amat lumayan. Bumi Palestin yang merupakan sebahagian daripada tanah besar Arab di wilayah Syam yang telah dirobek-robekkan oleh Great Britain, Rusia dan Peranchis telah diletakkan di bawah Mandat British melalui perjanjian Sykes-Picott 1916. Seterusnya, pada tahun 1917, Queen Victoria (yang merupakan salah seorang daripada penganut fahaman Zionisme Kristian) melalui Menteri Luarnya, Sir Arthur Belfour (juga seorang Kristian Zionis) telah memberikan hak kepada orang-orang Yahudi pro-Zionis dari Eropah untuk berhijrah ke bumi Palestin. Walaupun penghijrahan pertama yang diangotai oleh 50,000 orang Yahudi Zionis gagal untuk menjejakkan kaki langsung ke bumi Palestin, namun hasil dari keizinan yang kemudiannya dikenali sebagai ?Deklarasi Belfour? itu akhirnya telah menyaksikan siri-siri penghijrahan yang lain.

Bapa zionis – Theodor Herzl


Pendudukan orang-orang Yahudi Zionis itu ke atas bumi Palestin berlaku dengan tiga cara. Pertamanya, mereka menduduki tanah-tanah yang terbiar kosong ataupun kawasan-kawasan yang tidak didiami oleh penduduk asal bumi Palestin, iaitu orang Arab Palestin, samada Muslim mahupun Kristian. Cara yang kedua ialah dengan membeli tanah-tanah di bumi Palestin dari penduduk asalnya. Walaupun segelintir mereka menawarkan jumlah wang yang lumayan untuk tanah-tanah yang ingin dibeli, hanya segelintir sahaja rakyat Palestin yang menjualkannya. Malah tindakan menjualkan tanah di bumi Palestin kepada pendatang-pendatang Yahudi Zionis telah difatwakan haram oleh mufti Palestin pada waktu itu, Haji Amin al-Huseini. Cara yang ketiga pula merupakan cara yang telah digunakan secara meluas, iaitu dengan metod keganasan. Pengganas-pengganas Yahudi dari kumpulan pengganas Irgun, Styer dan lain-lain lagi telah membunuh, membakar rumah-rumah dan mengusir penduduk Arab keluar dari kampung halaman mereka untuk dijadikan penempatan baru bagi para pendatang Yahudi. Hasilnya, pertambahan demografi penduduk Yahudi di bumi Palestin meningkat secara drastik sehingga ke tahun 1947.

Mereka yang pada asalnya hanya merupakan kaum minoriti di bumi Palestin pada tahun 1917, telah hampir-hampir menyamai bilangan penduduk Arab pada tahun 29 November 1947 yang telah memaksa kuasa-kuasa besar melalui League of Nations menghadiahkan hadiah kedua tersbesar selepas ?Deklarasi Belfour?, iaitu Partition Plan (Pelan pembahagian bumi Palestin) melalui resolusi PBB 181 yang telah menyaksikan bagaimana negara-negara Arab yang membantah resolusi tersebut menjadi golongan yang lemah dan tidak berupaya mempertahankan tanah suci milik mereka. Para penganalisis sejarah dan politik mengatakan bahawa sokongan terhadap pembahagian bumi Palestin kepada tanah Arab dan tanah bagi warga Yahudi oleh masyarakat dunia dan juga kuasa-kuasa besar amat berkait rapar dengan simpati dunia terhadap nasib kaum Yahudi Eropah lewat peristiwa Holocaust.

Selepas mendapat habuan yang teramat istimewa itu, pihak rejim Zionis semakin memperkemaskan kedudukan mereka. Penghijrahan Yahudi Eropah yang semakin mengiktiraf keunggulan usaha perjuangan gerakan Zionisme bertambah dari hari ke hari. Walaupun 1001 tentangan yang mereka terima hasil perjuangan rakyat Palestin dan juga warga Arab muslim dari negara-negara yang berjiran (terutamanya dari tentangan daripada ketumbukan tentera Ikhwanul Muslimin dari Mesir), mereka tetap komited dengan matlamat mereka untuk merealisasikan penubuhan sebuah Erez Yizrael yang berdaulat. Hasilnya, pada petang 14 Mei 1948, proklamasi penubuhan negara Israel telah diumumkan oleh Perdana Menteri rejim Zionis yang pertama, David Ben Gurion di dewan muzium Tel Aviv. Beliau telah mengumumkan bahawa tarikh 14 Mei 1948 bersamaan dengan 5 Ayyar 5708 (tahun Yahudi) merupakan perisytiharan penubuhan ?Negara Israel? (Medinet Yizrael) yang merangkumi 78% daripada bumi Palestin yang asal.

PM Israel pertama , David Ben-Gurion


Oleh kerana hari tersebut hari Sabtu yang merupakan hari bercuti bagi agama Yahudi, maka keesokan harinya, 15 Mei 1948 telah dipilih untuk diadakan hari sambutan penubuhan negara Israel secara rasmi. Ben Gurion telah dipilih untuk menjadi Perdana Menteri pertama negara tersebut dan Prof. Chaim Weizmann telah dipilih menjadi presiden pertama negara yang ditegakkan secara haram dan bertentangan dengan segala deklarasi kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa. Atas dasar inilah kebanyakan pihak yang tidak mengiktiraf negara Israel sehingga kini menyebutnya sebagai ?Rejim Zionis?, kerana kewujudan mereka di bumi Palestin adalah tidak sah, malah merupakan satu jenayah yang paling besar pernah dilakukan oleh manusia di abad ke-20 selepas jenayah yang dilakukan oleh Hitler di Eropah. “”


1 Response to “The Black May 14th, Lahirnya Malapetaka Bernama Zionis”



Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


KEMBARA HIDUP

Modeling the Conscience, Pathfinding the Vision, Aligning the Discipline, Empowering the Passion!
"Keep your mind open to change all the time. Welcome it. It is only by examining and reexamining your opinions and ideas that you can progess. All of you were given two great gifts- your mind and your time. It is up to you to do what you please with both. You and only you have the power to determine your destiny. The choice is yours and only yours."
June 2007
S S M T W T F
    Jul »
 1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
30  

Archives

  • 57,723 guests

Categories


%d bloggers like this: