19
Jul
07

Qardhawi, Ghannouchi Dan Turabi: Demokrasi Wahana Perubahan Islam

Oleh: Saari Sungib Penglibatan gerakan Islam dalam percaturan kuasa pemerintahan negara melalui proses demokrasi berdepan dengan cabaran besar. Ini kerana gerakan Islam memperjuangkan tertegaknya syariah sebagai satu cara hidup dalam masyarakat dan juga syariah sebagai sistem pemerintahan dan undang-undang.

Demokrasi pula bertujuan untuk menjulang keluhuran perlembagaan dan kepatuhan kepada undang-undang berpaksikan kedaulatan suara rakyat.

Apakah Islam sesuai sepenuhnya dengan demokrasi? Jawapannya tidak. Apakah semua sistem demokrasi sama? Monolitik? Jawapannya juga tidak. Jadi apakah cita-cita Islam boleh diperjuangkan melalui proses demokrasi? Jawapannya ya dan tidak.

Jika diluruti susur-galur demokrasi dari sumber-sumber asal pemikiran John Locke, Spinoza, Montesquieu, Voltaire, Rousseau, Jeremy Bentham, Immanuel Kant dan John Stuart Mill, perbezaan di antara Islam dan demokrasi adalah umpama langit dengan bumi. Akar-umbi demokrasi adalah penolakan terhadap gereja, konsep ketuhanan serta peranan agama dalam kehidupan sosio-ekonomi dan politik kolektif.

Demokrasi adalah manifestasi kolektif amalan politik yang dicapai melalui kontrak sosial para pendukung falsafah dan ideologi Liberalisme. Liberalisme berpaksi kepada sistem kepercayaan Materialisme yang menegaskan bahawa nothing exists beyond matter. Dengan itu apa yang tidak dapat dilihat, disentuh dan ditanggapi adalah tidak wujud. Dengan itu konsep ketuhanan dan kehidupan beragama tidak termasuk dalam kontrak sosial yang berpaksikan Liberalisme.

Manusia dengan keupayaan akal fikirannya dapat menentukan apa yang terbaik bagi dirinya serta masyarakatnya. Apabila individu-individu berkumpul secara kolektif dan bersetuju dengan satu kontrak sosial maka mereka dapat mengendalikan urusan mereka melalui satu manifestasi politik yang dinamakan demokrasi.

Demokrasi liberal memberi hak kebebasan manusia seluas-luasnya kepada akal fikiran. Montesquieu menegaskan bahawa undang-undang tidak perlu mengambil kira kesalahan-kesalahan yang dilakukan terhadap Tuhan. Individu dalam demokrasi hanya patuh kepada undang-undang yang digubal di atas kedaulatan suara majoriti. Bentham pula dengan doktrin maximum felicitas atau greatest happiness for the greatest number menegaskan bahawa suatu undang-undang itu dianggap baik dan buruk bergantung sejauh mana ia membawa kegembiraan kepada seramai mungkin bilangan manusia.

Islam menghargai akal fikiran manusia. Islam juga menghormati suara rakyat. Tetapi Islam tidak meletakkan akal fikiran manusia sebagai mutlak dan kemuncak. Islam juga tidak memperakui kekeramatan suara rakyat sebagai kedaulatan yang hakiki.

Jika wujud amalan dan sistem ‘demokrasi tulen’ maka demokrasi seperti itu tidak sesuai dan mesti ditolak oleh Islam. Beberapa pemikir Islam seperti Dr. Mahmud Al-Khilidi dari Universiti Al-Azhar menolak demokrasi dan menganggapnya sebagai musuh syariat Islam. Sayangnya, pandangannya hanya bersandarkan kepada asas falsafah dan ideologi yang melahirkan fahaman demokrasi. Ia tidak bersifat kontekstual di segi amalan dan manifestasi demokrasi dalam sistem dan realiti politik semasa.

Sebaliknya, Dr. Yusof Al-Qardawi yang lebih perpandangan sederhana menegaskan bahawa sehingga kita menemui satu sistem politik yang lebih baik daripada demokrasi, maka hendaklah kita manfaatkan demokrasi. Ini bermakna, beliau berpendirian bahawa demokrasi bukanlah sistem yang terbaik tetapi tidak pula bermakna demokrasi tidak boleh dimanfaatkan bagi memperjuangkan syariat Islam.

Sebelum itu Malik Bennabi juga telah menghalusi persoalan demokrasi dalam konteks negara bangsa dan kemaslahatan menegakkan syariat Islam. Beliau yang melihat demokrasi dalam konteks di Algeria yang dipengaruhi oleh Perancis, menganggap terdapat banyak prosedur dan proses dalam amalan demokrasi yang bersesuaianya dengan Islam.

Pemikiran ini dilonjakkan oleh Rachid Ghannouchi dalam perjuangan FIS di Tunisia melalui demokrasi. Dalam pilihanraya terbukti parti Islam mengungguli parti sekular. Nyata demokrasi yang lahir di luar Islam memberi keuntungan kepada perjuangan Islam. Langkah yang dilakukan oleh Ghannouchi adalah satu percubaan bijak untuk memenuhi maqasid syariah dalam konteks waqi’ semasa yang terbina di luar framework syariah.

Malangnya golongan sekular yang menganggap demokrasi milik mutlak mereka telah menafikan kemenangan FIS dengan menggunakan kuasa tentera. Pemimpin-pemimpin FIS dipenjarakan dan Ghannouchi dibuang negeri.

Percubaan parti Islam di Tunisia memasyhurkan perjuangan menegakkan syariat Islam melalui saluran demokrasi terbukti telah dikhianati. Alasan yang diberi oleh rejim tentera dan beberapa negara Barat kenapa FIS mesti ditolak adalah kerana FIS akan membelakangkan demokrasi setelah berkuasa kelak.

Apakah ini pandangan stereotaip Barat terhadap parti Islam ini ada asasnya. Apakah benar gerakan Islam hanya menjadikan demokrasi sebagai batu loncatan? Setelah parti Islam berkuasa demokrasi akan dibuang ke tepi? Apakah ini yang dimaksudkan oleh Dr. Yusof Al-Qardawi bila beliau menyatakan “sehingga kita menemui satu sistem politik yang lebih baik daripada demokrasi, maka hendaklah kita manfaatkan demokrasi”?.

Seorang lagi pemikir Islam yang merintis perubahan melalui saluran demokrasi adalah Dr. Hasan At-Turabi. Turabi membandingkan syura dengan demokrasi Barat. Namun beliau menggariskan beberapa perbezaan dasar di antara syura dan demokrasi. Baginya demokrasi liberal lahir di atas dasar menolak agama sedangkan syura adalah sebahagian daripada ibadah dalam Islam. Demokrasi liberal hanya tertumpu kepada sistem politik sedangkan syura merangkumi seluruh ruang kehidupan ummah.

Bagi Turabi, demokrasi liberal didasarkan kepada pemerintahan majoriti sedangkan syura bertujuan untuk mendapat persetujaun seluruh anggota masyarakat dengan mengambilkira semua pandangan dan kepentingan tanpa meminggirkan mana-mana golongan minoriti.

Bagi Turabi, demokrasi berdasarkan syura adalah lebih luas daripada sistem politik yang berpaksikan kepada proses mendapatkan mandat melalui pilihanraya semata-mata. Menurut Turabi, pilihanraya atau referendum adalah komponen terpenting dalam syura. Namun, komponen-komponen lain yang mengambilkira pandangan rakyat hendaklah dijadikan sebagai proses syura. Menurut Turabi, selain mendapatkan pandangan pakar, ulamak, faqih, elit dan kumpulan minoriti, demontrasi atau tunjuk perasaan adalah satu saluran untuk mendapatkan pandangan rakyat.

Intipati demokrasi berasaskan syura menurut Turabi adalah satu proses di mana rakyat dilibatkan seluas mungkin dalam semua peringkat membuat keputusan. Turabi menegaskan penglibatan secara langsung semua anggota masyarakat dalam proses membuat keputusan hanya berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w dan khulafa’ Ar-Rasyidun. Selepas itu kualiti amalan syura telah merosot hingga melahirkan pemerintah-pemerintah diktator.

Turabi juga tidak menyokong aliran tradisional yang menyatakan dalam sistem bernegara syura dilaksanakan melalui institusi ahli-halli wal-aqdi. Bagi Turabi konsep ini hanya membolehkan golongan elit masyarakat terlibat dalam proses membuat keputusan. Turabi lebih mengutamakan penglibatan meluas dan penglibatan secara langsung setiap anggota dalam masyarakat dalam proses membuat keputusan.

Bagi Turabi demokrasi berdasarkan syura adalah sistem paling sesuai untuk memastikan kepentingan semua lapisan rakyat diambilkira dalam memanifestasikan gagasan politik kolektif. Sebagai seorang practitioner, Turabi telah berkali-kali keluar masuk penjara demi mempertahankan hak rakyat untuk terlibat dalam proses membuat keputusan.

Merujuk kepada pandangan Al-Qardawi, mungkinkah model demokrasi Turabi sudah pun menjadi jawapan terbaik. Maksudnya, sistem politik terbaik dalam bentuk demokrasi berdasarkan syura sudah pun wujud. Tidak bolehkah model ini disesuaikan secara kontekstual menurut waqi’ medan operasionalnya?

Persoalan ini penting dalam konteks waqi’ di Malaysia. Ini kerana adakah parti Islam bergerak melalui demokrasi hanya menjadikannya sebagai batu loncatan, atau menerimanya sebagai satu framework besar bagi skema perubahan?

Berpandukan model Turabi dimantapkan dengan prosedur dan proses demokrasi liberal yang sah, saya berpendapat proses demokrasi di Malaysia hendaklah dijadikan framework dalam satu skema besar perubahan. Proses demokrasi bukan sekadar batu loncatan.


3 Responses to “Qardhawi, Ghannouchi Dan Turabi: Demokrasi Wahana Perubahan Islam”


  1. 2 saiza
    stpm31000000Thu, 21 Aug 2008 12:18:04 +000021pm08, J0000008 9, 2007 at 15:50 +00:00Aug

    good writing…
    bleh x, nak tau rujuk dari kitab mane?

  2. 3 samuraisyahid
    stpm31000000Thu, 21 Aug 2008 16:29:18 +000021pm08, J0000008 9, 2007 at 15:50 +00:00Aug

    Salamz,
    Minta maaf, bukan ana yang menulis. Ana dpatkan artikel dari penulisan bekas tahanan ISA saudara saari sugib. Wallahualam.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


KEMBARA HIDUP

Modeling the Conscience, Pathfinding the Vision, Aligning the Discipline, Empowering the Passion!
"Keep your mind open to change all the time. Welcome it. It is only by examining and reexamining your opinions and ideas that you can progess. All of you were given two great gifts- your mind and your time. It is up to you to do what you please with both. You and only you have the power to determine your destiny. The choice is yours and only yours."
July 2007
S S M T W T F
« Jun   Aug »
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031  

Archives

  • 57,738 guests

Categories


%d bloggers like this: