29
Aug
07

KEMERDEKAAN 4

Selepas Umno berpecah dengan kumpulan Dato’ Onn yang membentuk Parti Kemerdekaan Malaya (IMP), gerakan parti pro British menjadi dua kumpulan iaitu Umno dan IMP – kedua-duanya mula bercakap soal merdeka.

Atas sokongan Pesuruhjaya Tinggi British Asia Tenggara, Sir Malcom McDonald, Dato’ Onn telah mengusahakan penubuhan National Conference iaitu pertubuhan gabungan parti pelbagai kaum bagi memperjuangkan kemerdekaan.

Pada 12 Februari 1952, Sir Malcolm McDonald telah memanggil satu mesyuarat di King’s House, Kuala Lumpur bagi membincangkan penubuhan National Conference sebagai sebuah parti gabungan. Antara pemimpin utama yang hadir ialah Dato’ Onn Jaafar daripada IMP, Tunku Abdul Rahman Putra (Umno), H.S. Lee (MCA Selangor), Yong Shook Lin (MCA) dan P.P. Narayanan (Malayan Trade Union Cooperation – MTUC). Umno menarik diri daripada pakatan ini.

National Conference juga telah disertai oleh 16 orang kenamaan dari pelbagai kaum termasuk tujuh orang Menteri Besar. Dalam mesyuarat ini, Menteri Besar Perak, Datuk Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab Toh Muda telah dilantik sebagai Pengerusi National Conference dan Datuk Nik Ahmad Kamil, Menteri Besar Kelantan sebagai Naib Pengerusi. Mereka berdua dengan dibantu oleh Yong Shook Lin telah diberi tugas merangka perlembagaan National Conference.

Pada akhir Februari 1953, mesyuarat kedua National Conference telah bersetuju membentuk sebuah gabungan parti-parti di bawah National Conference, tetapi tidak disokong oleh Dato’ Onn kerana IMP berpandangan ia tidak menyelesaikan masalah perkauman dan perbezaan pandangan parti-parti anggota akan melemahkan pakatan tersebut.

Akhirnya pada 27 April 1953, National Conference telah ditubuhkan secara rasmi dalam Sidang Meja Bulat National Conference di Dewan Bandaran Kuala Lumpur sebagai sebuah gabungan politik dengan diketuai oleh Datuk Panglima Bukit Gantang. Dato’ Onn tidak memegang apa-apa jawatan. Antara parti yang menyertai National Conference ialah IMP, Malayan Ceylonese Association (MCA), MEA, MIC dan PAS.

Pada 6 Mei 1953, mesyuarat Jawatankuasa National Conference di Kuala Lumpur telah melantik Jawatankuasa Tadbir National Conference terdiri daripada Datuk Hamzah Abdullah (Menteri Besar Selangor) sebagai Pengerusi, Datuk E.E. Thuraisingam (Presiden Ceylonese) sebagai Timbalan Pengerusi, Yong Shook Ling (Presiden MCA Selangor) sebagai Setiausaha. Mesyuarat tersebut juga merundingkan tentang usaha menarik sokongan parti-parti politik lain terhadap National Conference.

Walaupun Dato’ Onn tidak memegang sebarang jawatan dalam National Conference, beliau mempunyai pengaruh yang kuat terhadap badan itu kerana hubungannya yang rapat dengan Malcolm McDonald. Dato Onn juga berperanan dan berpengalaman sebagai pentadbir khususnya sebagai Ahli Dalam Negeri dan bekas Menteri Besar Johor serta kedudukannya sebagai Setiausaha Agung IMP yang menjadi parti induk kepada MCA, MEA dan MIC.

Tujuh orang Menteri Besar itu juga ialah ahli-ahli IMP. Antara cadangan penting Dato’ Onn yang menjadi tuntutan utama National Conference ialah tarikh pilihan raya pada 1956 dan 90 orang ahli Majlis Undangan Persekutuan dipilih melalui pilihan raya.

Pada 28 Mei 1953, National Conference juga membuat keputusan untuk menolak pilihan raya jika diadakan pada 1954 atas alasan Tanah Melayu belum bersedia, pilihan raya negeri-negeri belum diadakan dan pilihan raya bandaran belum menyeluruh lagi, sebaliknya mencadangkan pilihan raya diadakan pada 1956.

National Conference pada 21 Julai 1953 pula mencadangkan beberapa pindaan terhadap Majlis Undangan Persekutuan termasuk cadangan menambahkan ahli-ahli tidak rasmi, menentukan bilangan ahli bagi mewakili setiap negeri mengikut bilangan penduduk dan mewujudkan jawatan timbalan menteri dalam Sistem Ahli.

Ketika cadangan penubuhan National Conference dibuat oleh Sir Malcolm Mc Donald pada Februari 1953, PAS tidak dilibatkan; mungkin kerana PAS adalah parti yang baru ditubuhkan dan tidak mempunyai pengaruh berbanding IMP, Umno, MCA atau MTUC. Bagaimanapun, beberapa faktor semasa ketika itu telah mendesak National Conference untuk menjemput PAS; antaranya tindakan Umno pimpinan Tunku Abdul Rahman menarik diri daripada National Conference sehingga menyebabkan tidak ada parti Melayu dalam badan itu. Tambahan pula, Yang Dipertua Agung PAS, Haji Ahmad Fuad Hassan adalah sekutu rapat Dato’ Onn dalam Umno sebelum perpecahan Umno pada 1951.

National Conference juga menghadapi masalah ekoran semua anggota gabungannya adalah parti-parti gabungan IMP sehingga menampakkan seolah-olah IMP dan National Conference adalah dua pertubuhan yang sama tetapi berlainan nama. Lebih-lebih lagi, sokongan pelbagai pihak amat penting bagi National Conference untuk mengukuhkan pengaruh politik mereka.

PAS sendiri melihat bahawa penglibatan dalam National Conference adalah satu tanggungjawab yang penting dalam memperjuangkan kemerdekaan negara dan tindakan parti tertentu yang memboikot National Conference adalah kerana salah faham. Setiausaha Agung PAS, Cikgu Ahmad Awang menyifatkan penyertaan PAS dalam National Conference bertujuan memperjuangkan kemerdekaan berasaskan Islam dan PAS bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang tidak tergelincir daripada asas tersebut – memperjuangkan Islam dan tidak meminggirkan hak-hak umat Melayu Islam. Beliau juga menegaskan bahawa PAS hanya menuntut kemerdekaan berasaskan kedaulatan Islam dan tidak ada kemerdekaan tanpa mengikut cara Islam.

kerjasama dengan bukan Islam

Bertolak daripada pelbagai faktor ini, PAS telah menerima jemputan untuk menyertai National Conference daripada Datuk Panglima Bukit Gantang pada 30 Mac 1953. Mesyuarat Jawatankuasa Agung PAS pada 6 April 1953 telah bersetuju untuk menyertai National Conference berasaskan beberapa sebab; antaranya untuk menangani pergolakan politik semasa, memperjuangkan kemerdekaan dan bersatu dengan semua pihak untuk menuntut kemerdekaan. Yang lebih penting bagi PAS, penglibatan bersama National Conference boleh membuka jalan kerjasama dengan orang bukan Islam yang dilihat menjadi faktor penentu yang penting terhadap usaha PAS untuk menegakkan negara Islam.

Menurut Safie Ibrahim, penyertaan PAS dalam National Conference turut dipengaruhi oleh hubungan rapat antara Haji Ahmad Fuad dan Dato’ Onn Jaafar. Kerana itulah PAS ditegur supaya ulama tidak menjadi ‘alat penjajah’ atau dengan mudah terpengaruh oleh tujuh orang Menteri Besar yang rata-rata pro-penjajah.

Bagaimanapun, penyertaan PAS dalam National Conference hanyalah semata-mata untuk memenuhi objektif perjuangan kemerdekaan dan menegakkan negara Islam bagi mengisi kemerdekaan. PAS sekali-kali tidak terikat untuk terus bekerjasama dengan National Conference atau mendukung keputusan badan itu jika ia bercanggah dengan pendirian PAS.

Menurut Haji Ahmad Fuad, sebarang keputusan National Conference tidak akan mengikat PAS, bahkan PAS boleh menarik diri daripada National Conference jika resolusinya bertentangan dengan dasar perjuangan PAS. Dengan persetujuan PAS menyertai National Conference pada 6 April 1953, ini bermakna PAS adalah satu-satunya parti Melayu yang terlibat dalam pakatan ini. PAS diwakili oleh Yang Dipertua Agungnya, Haji Ahmad Fuad Hassan dan Ahli Jawatankuasa Agung PAS, Mohammad Hanif.

Sepanjang penglibatan PAS dalam National Conference, PAS menyertai empat kali persidangan termasuk Sidang Meja Bulat National Conference pada 27 April 1953, selain mesyuarat pada 6 Mei 1953, 28 Mei 1953 dan 21 Jun 1953. PAS tidak menghadiri mesyuarat terakhir bersama National Conference pada 12 Julai 1953 kerana Pejabat Agung PAS dikunjungi oleh Pendaftar Pertubuhan.

Ekoran penglibatan PAS dalam Sidang Meja Bulat National Conference pada 27 April 1953, Yang Dipertua Agung PAS, Haji Ahmad Fuad Hassan telah dilantik sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa National Conference. PAS menyertai persidangan pertama National Conference pada 6 Mei 1953 dan telah menerima keputusan persidangan untuk melantik Jawatankuasa Tadbir National Conference yang dipengerusikan oleh Datuk Hamzah Abdullah.

Persidangan tersebut juga telah membincangkan pendekatan-pendekatan yang sesuai untuk menarik lebih banyak pertubuhan politik bagi menganggotai National Conference. Untuk meningkatkan penglibatan PAS terhadap National Conference, Jawatankuasa Agung PAS pada 26 Mei 1953 telah merangka satu garis kasar tentang ‘Perlembagaan Malaya’ untuk dibawa ke National Conference pada 28 Mei 1953. Perlembagaan Malaya yang dikemukakan oleh PAS ini mengandungi lima perkara utama iaitu nama perlembagaan, agama rasmi, bahasa rasmi, corak kerajaan dan kerakyatan.

Dalam persidangan kedua National Conference di Kuala Lumpur pada 28 Mei 1953, PAS telah bersetuju supaya pilihan raya bagi melantik ahli-ahli Majlis Undangan Persekutuan tidak diadakan pada 1954, sebaliknya diadakan pada 1956. Dua sebab utama yang disetujui oleh National Conference untuk menolak pilihan raya pada 1954 iaitu:

i) pilihan raya tidak mungkin dapat dijalankan pada 1954 kerana tidak ada sebarang persediaan yang dibuat; dan

ii) semua negeri masih belum mengadakan pilihan raya bagi Majlis Mesyuarat Negeri dan pilihan raya Majlis Mesyuarat Bandaran juga belum diadakan secara menyeluruh di Tanah Melayu.

PAS juga bersetuju supaya Datuk Thuraisingam mewakili National Conference bagi perundingan dengan Perikatan Umno-MCA untuk menyelaraskan tuntutan pilihan raya ini. Dalam persidangan kedua ini juga, PAS telah mengemukakan cadangan Perlembagaan Malaya untuk dijadikan garis asas bagi pembentukan sebuah negara yang merdeka.

Pada 21 Jun 1953, persidangan ketiga National Conference telah diadakan di Kuala Lumpur yang turut disertai oleh PAS untuk membincangkan secara khusus tentang kedudukan Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan.

Persidangan ketiga ini telah memutuskan tiga resolusi penting tentang Majlis Undangan Persekutuan iaitu menambahkan bilangan ahli-ahli tidak rasmi dalam Majlis Undangan Persekutuan. Menurut Ramlah Adam, Dato’ Onn telah mencadangkan jumlah ahli tidak rasmi yang dilantik ditambah menjadi 90 orang.

Kedua, diwujudkan jawatan-jawatan timbalan menteri dalam Sistem Ahli yang diamalkan bagi membolehkan kerja-kerja pentadbiran dijalankan dengan lebih lancar, selain membuka ruang yang lebih luas kepada penduduk Tanah Melayu terlibat dengan pentadbiran negara.

Ketiga, dicadangkan supaya jumlah ahli-ahli yang mewakili negeri-negeri dalam Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan ditentukan mengikut jumlah penduduk yang telah mendapat kerakyatan.

Pengaruh National Conference walau bagaimanapun mulai tergugat pada akhir 1953 ekoran beberapa faktor; antaranya tindakan Perikatan Umno-MCA menubuhkan National Convention pada Ogos 1953, pergeseran MIC dengan IMP semenjak Mei 1953, diikuti oleh penarikan diri PAS daripada National Conference pada September 1953 dan MIC pada Oktober 1953.

Perpecahan yang dialami oleh National Conference ini sangat memberi kesan terhadap peranan badan itu dalam menuntut kemerdekaan negara, khususnya tuntutan untuk mengadakan pilihan raya pada 1956 serta reformasi terhadap Majlis Undangan Persekutuan. Ia turut memberi dampak kepada usaha Dato’ Onn untuk mewujudkan perpaduan antara kaum sama ada menerusi IMP mahupun National Conference.

Pada masa yang sama, National Convention pimpinan Tunku Abdul Rahman telah berjaya meyakinkan British untuk mengadakan pilihan raya pada 1955. Perpecahan National Conference ini juga telah menyebabkan runtuhnya pengaruh IMP sehingga memaksa Dato’ Onn mengisytiharkan penubuhan Parti Negara (PN) dalam mesyuarat terakhir National Conference pada Februari 1954.


0 Responses to “KEMERDEKAAN 4”



  1. Leave a Comment

Leave a comment


KEMBARA HIDUP

Modeling the Conscience, Pathfinding the Vision, Aligning the Discipline, Empowering the Passion!
"Keep your mind open to change all the time. Welcome it. It is only by examining and reexamining your opinions and ideas that you can progess. All of you were given two great gifts- your mind and your time. It is up to you to do what you please with both. You and only you have the power to determine your destiny. The choice is yours and only yours."
August 2007
S S M T W T F
 123
45678910
11121314151617
18192021222324
25262728293031

Archives

  • 61,283 guests

Categories