16
Sep
07

Tarbiyyah & Dakwah

Bacaan dari sirah perjuangan Rasulullah s.a.w. amat penting bagi pendakwah. Sirah menerangkan kepada kita kaedah dakwah. Dengan itu kami tidak menganggap membaca dan mengkaji sirah Rasulullah s.a.w. berkali-kali sebagai satu beban tambahan bagi pendakwah. Sebaliknya ia seumpama cahaya yang menyuluh perjalanan. Semakin tinggi kefahamannya terhadap sirah, semakin mudah untuk dia berjalan di dunia dakwah.

Di sini ingin kami kongsikan kepada pembaca satu fakta berkenaan sirah Rasulullah s.a.w. yang telah ditafsirkan secara silap oleh sebahagian pendakwah. Kesilapan penafsiran ini mungkin disebabkan oleh pembacaan yang tidak meluas terhadap sirah. Jika ini puncanya, ia suatu yang mudah untuk dibetulkan kembali. Apa yang kami bimbangi adalah jika ia lahir dari sikap, pandangan dan pendekatan yang sudah terpahat dan didoktrinkan di dalam pemikiran sebelum kajian terhadap sirah. Peristiwa-peristiwa dari sirah dipilih untuk menguatkan pandangan ini. Jika ini puncanya, perkongsian terhadap topik ini mungkin agak sukar.

Fasa-fasa Dakwah

Dakwah Rasulullah s.a.w. dimulakan dengan fasa kerahsiaan identiti, tanzim dan aktiviti dakwah selama tiga tahun. Sesudah itu ia masuk ke fasa berdakwah secara terang-terangan sesudah turunnya ayat: “dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat.” (As-Syu’ara: 214). Ada kisah pertemuan-pertemuan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. di rumah Arqam bin Abi Arqam, seorang pemuda yang pemilihan rumahnya memberikan beberapa kelebihan dari sudut keselamatan. Rasulullah s.a.w. juga berkata kepada mereka: “Tahan tangan-tangan kamu sebaliknya dirikanlah sembahyang dan tunaikanlah zakat.”

Fasa ini berterusan untuk satu tempoh. Persoalan timbul tentang tabiat fasa ini; adakah ia bermaksud para sahabat r.a. perlu ditarbiah untuk satu tempoh tertentu sebelum terlibat di dalam medan dakwah? Jika itu betul, adakah ianya kaedah yang diguna pakai juga kepada sahabat-sahabat r.a. yang memeluk Islam sesudah fasa ini; tarbiah untuk satu tempoh sebelum diberikan tugasan dakwah dan jihad? Jika itu adalah petunjuk dari sirah, adakah organisasi dakwah hari ini juga perlu mengambil kaedah yang sama?

Kajian terhadap jarak waktu di antara keislaman para sahabat r.a. dan penugasan dakwah dan jihad kepada mereka oleh Rasulullah s.a.w. tidak sekali-kali menyokong pandangan di atas. Sebaliknya apa yang kita dapati adalah sebaliknya.

Sahabat dan Tarbiah Rasulullah s.a.w.

Bilangan sahabat r.a. melebihi 100,000 orang. Ini jika sekiranya kita mengambil pandangan al-Hafiz Ibnu Hajar yang mentakrifkan sahabat r.a.: “Sesiapa yang hidup bersama Rasulullah s.a.w. untuk satu tempoh yang panjang atau pendek, yang meriwayatkan hadis daripada Baginda s.a.w. atau tidak meriwayatkan hadis, sesiapa yang ikut serta berperang bersama Baginda s.a.w. dan sesiapa yang tidak ikut serta, sesiapa yang pernah melihat Baginda s.a.w. walau pun tidak pernah duduk semajlis dengannya dan sesiapa yang tidak pernah melihat Baginda s.a.w. kerana sesuatu halangan seperti buta.” Dengan takrif itu termasuk di dalam kelompok yang disebut sebagai ‘bintang-bintang di langit’ ini semua yang pernah menghadiri haji wida’ (perpisahan). As-Syeikh Muhammad al-Khudari mengatakan bahawa bilangan mereka yang hadir di peristiwa haji wida’ (perpisahan) tersebut adalah seramai 90,000 orang. Jika kita campurkan bilangan baki sahabat r.a., ahli keluarga mereka di Madinah yang tidak ikut serta di dalam haji wida’ dan sedikit yang memeluk Islam selepas itu, bilangan itu sememangnya mencecah lebih 100,000 orang.

Pentarbiahan Rasulullah s.a.w. terhadap mereka berlaku dalam bentuk yang pelbagai. Tidak sama di antara seorang dengan seorang yang lain. Tetapi hadis-hadis Rasulullah s.a.w. tentang para sahabat r.a. dan persaksian sejarah membuktikan penglibatan mereka – kesemua mereka – di dalam dakwah dan jihad. Dengan erti kata lain pentarbiahan yang pelbagai bentuk tersebut berjaya melahirkan lebih 100,000 orang pendakwah yang telah pun lulus ‘piawai’ tarbiah tersebut.

Jika kita mengkatogerikan para sahabat r.a. berdasarkan bentuk pentarbiahan yang mereka terima dari Rasulullah s.a.w. secara mudahnya kita boleh mengkatogerikan mereka kepada beberapa kategori.

Kelompok Pertama

Kelompok yang bersama dengan Rasulullah s.a.w. dari fasa Mekah sehingga ke hujung fasa Madinah. Mereka mendapat pentarbiahan yang langsung dari Rasulullah s.a.w. dalam setiap keadaan. Dorongan untuk mereka terlibat di dalam dakwah dan jihad dengan satu kesungguhan luar biasa dan dengan kaedah yang betul mudah untuk kita fahami. Rasulullah s.a.w. bersama mereka di setiap detik kehidupan mereka; menegur mereka, memberikan arahan, menasihat, mendidik dan membentuk.

Berapakah bilangan mereka?

Jika dibandingkan dengan bilangan sahabat r.a. keseluruhannya, nisbah bilangan mereka adalah terlalu kecil. Jika sekiranya kita tolak 183 orang lelaki dan 18 orang wanita di kalangan sahabat r.a. yang berhijrah ke Habsyah, bilangan mereka di kelompok ini tidak melebihi 200 orang. 200 dari 100,000 orang? Hanya 0.2% sahaja.

Apa bentuk pentarbiahan mereka? Apa bahan yang mereka bincangkan? Apakah suntikan tarbiah yang disuntik kepada mereka sebelum memulakan dakwah?

Dr. Jasim Muhammad Sultan berpendapat: “Rasulullah s.a.w. tidak meletakkan kadar suntikan tarbiah kepada seseorang muslim sebelum mereka terlibat di dalam projek-projek Islam kecuali dua kalimah syahadah. Tarbiah akan diteruskan selepas itu beriringan dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku.”

Kami melihat kebenaran pada kata-katanya. Beberapa peristiwa yang berlaku kepada kelompok ini menyokong pandangan beliau.

Saidina Abu Bakar r.a. menyeru kepada Islam dari hari pertama dia mengucapkan dua kalimah syahadah. Di tangan beliau lima dari sepuluh yang dijamin masuk syurga oleh Baginda s.a.w. memeluk Islam. Mereka adalah Osman bin Affan r.a., Abdul Rahman bin Auf r.a., Saad bin Abi Waqqas r.a., az-Zubair bin al-Awwam r.a. dan Tolhah bin Ubaidillah r.a.

Di samping itu beliau juga menebus hamba yang memeluk Islam. Beliau juga mempertahankan Rasulullah s.a.w. dari sebarang gangguan.

Apa yang beliau lakukan hanyalah hasil dari kefahaman terhadap beberapa ayat al-Quran. Bukan perincian yang mendalam tentang Islam, tetapi hanya beberapa ayat.

Fakta yang cukup menarik juga kita dapati apabila kita mengkaji peristiwa keislaman Omar al-Khattab r.a. dan Hamzah bin Abd. Mutalib r.a. Mereka beriman di penghujung tahun kelima kenabian. Tetapi mereka mendahului sebahagian dari sahabat r.a. yang pernah ditarbiah di rumah Arqam bin Abi Arqam r.a. Saidina Omar r.a. sendiri termasuk di dalam kelompok 10 yang dijamin masuk syurga oleh Rasulullah s.a.w.; satu-satunya dari 10 orang itu yang masuk Islam selepas fasa rahsia pada tiga tahun pertama.

Berkenaan Saidina Omar r.a. ini Abdullah bin Mas’ud r.a. berkata: “Keislaman Omar r.a. adalah pembukaan. Hijrahnya adalah kemenangan. Pemerintahannya adalah rahmat. Kami tidak pernah bersembahyang di hadapan Ka’bah sehinggalah Omar r.a. memeluk Islam. Apabila dia memeluk Islam, dia melawan Quraisy dan bersembahyang di hadapan ka’bah. Lalu kami pun bersembahyang bersama-sama dengannya.”

Persoalan yang sama kita ajukan; apa bentuk pentarbiahan yang berlaku kepada Omar r.a.? Apa bahan yang dibincangkan? Apakah suntikan tarbiah yang disuntik kepada Omar r.a. sebelum memulakan dakwah?

Jawapannya akan kita dapati pada kata-kata Dr. Jasim Muhammad Sultan di atas.

Kelompok Kedua

Kelompok yang memeluk Islam kemudian diarahkan agar meninggalkan Rasulullah s.a.w. Mereka terbahagi kepada dua kategori; ahli rombongan hijrah ke Habsyah dan sahabat yang diminta kembali ke kabilah masing-masing.

Para sahabat r.a. yang berhijrah ke Habsyah berjumlah seramai 183 orang lelaki dan 18 orang wanita. Jumlah ini menyamai jumlah sahabat r.a. yang duduk kekal di Mekah. Rasulullah s.a.w. berkata kepada mereka dua tahun sesudah bermulanya fasa dakwah terang-terangan: “Apa kata jika kamu pergi ke bumi Habsyah. Di situ ada seorang raja, siapa berada di sisinya tidak akan dizalimi. Ia adalah bumi kebenaran. Duduklah di situ sehingga Allah mengeluarkan kamu dari kesengsaraan kamu sekarang.”

Mereka berada di sana bermula dari tahun kelima kenabian dan bergabung dengan Rasulullah s.a.w. selepas peperangan Khaibar pada tahun ketujuh hijrah. 15 tahun di Habsyah, jauh dari Rasulullah s.a.w. dan baki sahabat r.a. Tinggal di bumi Kristian yang mempunyai nilai sejarahnya sendiri. Berjiran dan dikelilingi oleh penganut agama Kristian yang ta’asub dengan ajaran itu dan mempertahankannya. Sedangkan mereka baru memeluk Islam. Bagaimanakah Rasulullah s.a.w. cukup berani mempertaruhkan nasib mereka? Siapa yang mentarbiah mereka di sana? Cukupkah bekalan yang mereka dapati di Mekah untuk hidup di bumi yang asing ini? Terjagakah iman mereka sebelum kita bertanya mampukah mereka berdakwah di sana?

Pentarbiahan berlaku dalam bentuknya yang tersendiri. Peristiwa-peristiwa yang berlaku di bumi Habsyah mematangkan mereka. Mereka menyempurnakan kefahaman dakwah mereka di situ selama 15 tahun; jauh dari sumber wahyu. Kemungkinan ayat-ayat yang turun kepada Rasulullah s.a.w. sampai kepada mereka dari hari ke hari walau pun mungkin terlalu lambat jika dibandingkan dengan para sahabat r.a. yang berada di Mekah. Itu adalah bentuk tarbiah terbaik yang kami jangkakan walau pun ia mungkin sekadar satu andaian. Apa yang pastinya, Rasulullah s.a.w. tidak ada di sisi mereka untuk menegur dan membimbing mereka setiap hari.

Satu lagi fakta menarik kami temui di dalam kelompok ini. Fakta ini membuktikan pengiktirafan Rasulullah s.a.w. terhadap pencapaian kefahaman dakwah dan jihad pada tahap tinggi yang mereka dapati di Habsyah. Ketua rombongan hijrah ke bumi Habsyah iaitu Ja’far bin Abu Talib r.a. dilantik oleh Rasulullah s.a.w. mengetuai ekspedisi perang Muktah hanya beberapa bulan sesudah tiba di Madinah dari Habsyah. Turut serta di dalam peperangan itu adalah Abdullah bin Mas’ud dan al-Miqdad bin al-Aswad r.a. Kedua-duanya adalah ahli rombongan hijrah ke Habsyah. Satu yang kami rasakan cukup menakjubkan dan cukup penting untuk dikaji oleh peminat-peminat ilmu tarbiah da’awiah harakiah.

Perkara yang lebih kurang sama berlaku kepada sahabat yang beriman dan diminta kembali ke kabilah masing-masing. Di antara mereka adalah Abu Zar al-Ghifari. Dia memeluk Islam di Mekah dan bertemu kembali dengan Rasulullah s.a.w. di Madinah bersama dengan dua kabilah yang telah memeluk Islam; kabilah Aslam dan Ghaffar.

Rasulullah s.a.w. pernah menyifatkan Abu Zar r.a.: “Seorang pemuda yang tepat ungkapannya kata-katanya.” Dengan kelebihan itu beliau r.a. menyeru kedua-dua kabilah tersebut kepada Islam.

Persoalan yang sama kita ajukan; apa bentuk pentarbiahan yang berlaku kepada Abu Zar r.a.? Apa bahan yang dibincangkan? Apakah suntikan tarbiah yang disuntik kepada Abu Zar r.a. sebelum memulakan dakwah dan berjaya mengislamkan dua kabilah yang besar?

Kelompok Ketiga

Suku Aus dan Khazraj yang dikenali sebagai kaum Ansor selepas penubuhan negara Islam Madinah. Sebahagian mereka beriman sebelum peristiwa hijrah tetapi kebanyakannya beriman ketika Rasulullah s.a.w. berada di Madinah. Mereka tidak pernah menerima pentarbiahan di Mekah seperti golongan Muhajirin. Mereka beriman di fasa jihad dan kemenangan Islam bukan fasa kerahsiaan dan fasa dakwah terang-terangan di Mekah. Mereka tidak berdepan dengan Quraisy dalam keadan Islam lemah. Mereka berdepan dengan kaum Quraisy dalam keadaan Islam kuat. Mereka tidak melalui fasa yang dilalui oleh golongan Muhajirin. Tetapi mereka memberikan sumbangan yang tidak kurang besarnya kepada Islam. Beberapa ayat al-Quran memuji golongan Ansar. Di antaranya firman Allah yang bermaksud:

“dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.” (Al-Hasyr: 9)

Allah sifatkan mereka sebagai ‘orang-orang yang berjaya’. Persaksian yang membuktikan kedudukan mereka yang tinggi di sisi Allah. Mereka berdakwah di awal keislaman mereka lagi.

Satu kisah berkenaan seorang Ansar bernama Nu’aim bin Mas’ud di dalam peperangan Ahzab ingin kami ketengahkan di sini sebagai bahan renungan kita semua. Beliau beriman di tengah-tengah peperangan Ahzab. Selepas keislamannya beliau bertemu Rasulullah s.a.w. dan bertanya kepada Rasulullah s.a.w. apa-apa yang ingin diminta beliau lakukan. Beliau sanggup melakukan apa sahaja.

Perhatikan detik-detik peristiwa yang berlaku kepada pemuda ini. Beliau terlalu baru memeluk Islam, tidak pernah menerima apa juga bentuk pentarbiahan dari Rasulullah s.a.w. dan bahkan mungkin tidak sempat langsung untuk menghafal walau pun satu potong ayat al-Quran. Arahan yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. kepada beliau menjadi panduan kita di dalam kajian tarbiah da’awiah harakiah. Beliau tidak diarahkan duduk di soff belakang dan ditarbiah dahulu oleh sahabat-sahabat besar. Sebaliknya Rasulullah s.a.w. memberikannya satu tugasan yang cukup berisiko dan dia berjaya melakukannya. Beliau berjaya menyelinap ke dalam kedua-dua kumpulan Quraisy dan Yahudi, mencetuskan perbalahan di antara kedua pihak dan membawa kepada kemenangan kepada Islam.

Apa yang mampu dipelajari oleh pemuda ini beberapa detik selepas keislamannya sehingga beliau dapat memainkan peranan yang besar ini?

Kelompok Keempat

Kaum Quraisy yang tidak beriman di fasa Mekah sebaliknya beriman di fasa jihad dan kemenangan Islam di Madinah.

Di antara mereka adalah Khalid bin al-Walid r.a. yang memeluk Islam selepas melihat keajaiban yang berlaku kepada tentera Islam di dalam peristiwa Hudhaibiah. Beliau memeluk Islam dan memimpin tentera Islam beberapa bulan selepas keislamannya. Kegemilangan beliau memimpin tentera Islam tidak perlu kita ketengahkan di sini. Ia adalah kisah yang masyhur dan tidak perlukan banyak penjelasan dibuat berkenannya.

Kelompok Kelima

Kelompok terpencil yang menyembunyikan keislaman mereka di Mekah. Mereka menzahirkan keislaman mereka sebelum pembukaan Mekah. Sebahagian daripada mereka memberikan sumbangan kepada Islam dalam bentuk-bentuk tertentu yang tidak dilakukan oleh sahabat-sahabat lain yang menzahirkan keislaman mereka.

Di antaranya adalah Abbas bin Abdul Mutallib r.a. Beliau menyaksikan peristiwa Bai’ah Aqabah kedua dalam keadaan belum memeluk Islam. Bahkan berlaku perbualan di antara wakil Ansor dengan beliau meminta persetujuan beliau sebelum mereka membuat keputusan untuk membawa Rasulullah s.a.w. ke Yathrib.

Bagaimana sumbangan kepada dakwah boleh berlaku dalam bentuk yang sedemikian? Satu lagi peristiwa yang mengajak kita untuk berfikir tentang topik penglibatan dakwah seseorang dan kaitannya dengan tarbiah.

Kelompok Keenam

Mereka adalah kelompok yang beriman selepas pembukaan Mekah. Mereka beriman sesudah Islam berjaya membuktikan kekuatan dan keunggulannya. Di antara mereka adalah Ikrimah bin Abu Jahl r.a., Suhail bin Amru r.a. dan Sofwan bin Umayyah r.a.

Mereka telah membuktikan di dalam sejarah tentang sumbangan mereka kepada Islam terutamanya di dalam siri-siri peperangan membenteras gejala murtad di seluruh Semenanjung Tanah Arab di zaman Saidina Abu Bakar r.a.

Berapakah jarak masa di antara pertemuan mereka dengan Rasulullah s.a.w. dan penglibatan mereka di dalam jihad tersebut? Ia adalah jarak yang cukup pendek.

Qaedah Sulbah

Qaedah sulbah adalah satu istilah merujuk kepada sekelompok manusia yang menjadi tulang belakang kepada umat Islam. Mereka akan bersama umat dalam kegembiraan dan kedukaan umat. Mereka mengorbankan segala yang mereka miliki untuk umat. Masa depan umat adalah masa depan mereka. Jiwa mereka tulus dan suci. Mereka ikhlas di dalam perkataan dan perbuatan. Mereka tidak memandang dunia sebagai matlamat hidup. Mereka membawa diri mereka menghampiri Allah dengan bertaabud kepadanya melalui segala amal baik mereka dan segala sumbangan mereka kepada umat. Nasib umat terletak di tangan mereka. Pencerobohan musuh tidak akan berjaya selagi mereka ada.

Bagaimanakah proses melahirkan qaedah sulbah ini?

Mereka tidak akan datang dari aktiviti tarbiah di bawah bumbung-bumbung dan di dalam bilik-bilik yang tertutup. Tetapi mereka datang dari medan dakwah yang mereka berada di dalamnya. Medan itulah yang akan melahirkan mereka dan yang akan mengasingkan mereka dari pendakwah-pendakwah yang tidak tulin.

Apa yang kami nukilkan di sini tidak bermaksud bahawa kami memperkecilkan isu tarbiah. Ramai pihak yang mengetahui bahawa kami mengambil berat isu tarbiah lebih dari orang lain.

Apa yang kami ingin ungkapkan di sini adalah kesempurnaan proses tarbiah itu sendiri sebenarnya tidak akan berlaku jika kita menghadkan aktiviti tarbiah tanpa penglibatan di dalam medan dakwah. Kehidupan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. menunjukkan kepada kita bahawa ia bukanlah dua perkara yang berasingan; yang pertama mendahului yang kedua. Tidak juga menunjukkan bahawa sesiapa yang lama ditarbiah akan lebih thabat bila masuk ke medan dakwah. Medan akan menyempurnakan tarbiah dan menguji thabat seterusnya melahirkan qaedah sulbah.

Kami juga tidak bermaksud dengan kefahaman yang sedikit maka pendakwah mesti terus terjun ke medan dakwah yang luas; apa juga bentuk dan saiz medan tersebut.

Membuka medan dakwah kepada pendakwah mesti dilakukan secara beransur-ansur berdasarkan tahap kemampuannya. Ia adalah perkiraan yang sukar dilakukan oleh kita. Tetapi kesukaran tersebut tidak seharusnya membawa kepada satu pendekatan mudah yang dilakukan oleh sebahagian pendakwah iaitu membuka terus medan dakwah kepada segala jenis pendakwah tanpa mengambil kira kemampuan dan kesesuaiannya. Bacaan dari sirah juga tidak menyokong pendekatan ini. Ada peranan yang mampu dimainkan oleh Abu Bakar r.a. tidak mampu dimainkan oleh orang lain. Ada peranan yang mampu dimainkan oleh Dihyah al-Kalbi r.a. tidak mampu dimainkan oleh sahabat-sahabat besar. Begitulah seterusnya kita dapati satu persatu penugasan dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dilakukan dengan cukup teliti.

Semoga dengan tulisan ini dapat membawa kita kembali meneliti bentuk pentarbiahan yang kita lakukan. Moga apa juga aktiviti tarbiah itu tidak akan menjadi penghalang kepada sampainya kebaikan yang kita miliki kepada umat Islam dan seterusnya menjadi sebahagian dari penyelesaian kepada masalah umat.


0 Responses to “Tarbiyyah & Dakwah”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


KEMBARA HIDUP

Modeling the Conscience, Pathfinding the Vision, Aligning the Discipline, Empowering the Passion!
"Keep your mind open to change all the time. Welcome it. It is only by examining and reexamining your opinions and ideas that you can progess. All of you were given two great gifts- your mind and your time. It is up to you to do what you please with both. You and only you have the power to determine your destiny. The choice is yours and only yours."
September 2007
S S M T W T F
« Aug   Oct »
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
2930  

Archives

  • 57,738 guests

Categories


%d bloggers like this: