29
Oct
07

Umar Mukhtar

 

UMAR AL-MUKHTAR: Tali Gantung Bukti Jihadnya

 

 

TOKOH kali ini ialah Umar al-Mukhtar iaitu seorang tokoh pro-Kemerdekaan abad ke-20 yang muncul memperjuangkan pembebasan negara Libya dari diduduki penjajahan kuku besi Itali. Pada awalnya nama Umar al-Mukhtar agak asing dan kurang mendapat perhatian ramai berbanding beberapa tokoh-tokoh pro-Kemerdekaan Islam yang lain.

Ketokohan dalam perjuangan beliau mula dikenali sekitar tahun 80-an apabila ketika itu muncul sebuah filem Omar al-Mukhtar: Lion Of The Dessert yang mana wataknya dilakonkan oleh pelakon Hollywood iaitu Anthony Quin.

Promosi percuma Barat tersebut telah mengangkat lagi senarai tokoh-tokoh Islam yang sepatutnya menjadi sumber inspirasi buat umat Islam hari ini. Al-Syahid Umar atau Omar al-Mukhtar bin Umar al-Minifi telah dilahirkan pada tahun 1858 di Barqah, Libya. Beliau dikatakan keturunan daripada keluarga farhat iaitu salah satu daripada puak al-Minifiyah yang mengamalkan aliran sufi al-Sanusiyah yang berpusat di Cyrenaica, iaitu di bahagian timur Libya. Sejak kecil lagi Umar al-Mukhtar sudah menunjukkan kebijaksanaannya. Beliau terdidik dalam suasana keluarga yang mengutamakan nilai kerohanian. Tambahan pula keluarganya sangat kuat berpegang kepada amalan sufi al-Sanusiyah sehingga berjaya mempengaruhi sikap dan keperibadian beliau menjadi seorang yang warak dan terpuji akhlaknya.

Pendidikan awal Umar al-Mukhtar hanyalah di sebuah sekolah pondok di Zanzur. Pada tahun 1887, setelah mendapat galakan daripada keluarganya, minat Umar al-Mukhtar untuk mendalami ilmunya mula bertambah. Beliau kemudiannya menyambung pelajarannya di Universiti Jaghbub iaitu ibu kota Libya ketika itu dan memilih bidang agama yang bersesuaian dengan nalurinya. Kemudian beliau berhijrah bersama gurunya ke kawasan padang pasir Kufra pada tahun 1895.

Dua tahun kemudian, setelah berjaya menamatkan hafalan al-Quran dan pengajian agamanya Umar al-Mukhtar telah dilantik menjadi pengetua sekolah al-Zawiyah al-Qusur di Jabal al-Ahdar iaitu di bahagian Tenggara Libya.

Kebolehan dan keistimewaan yang ada pada beliau telah menyebabkan beliau dijemput oleh Muhammad al-Mahdi dan dilantik menjadi pengetua di sebuah sekolah di Sudan. Di sini beliau telah menimba pengalaman pertama dalam bidang ketenteraan apabila turut serta dalam peperangan ketika menentang tentera Perancis. Pada tahun 1321/1903 beliau kembali semula ke Libya untuk mentadbir sekolah al-Zawiyah al-Qusur sehingga tahun 1921.

Mujahid Umar al-Mukhtar merupakan simbol jihad telah diangkat oleh umat Islam Libya yang menyokong penentangan terhadap penjajahan Itali. Ketika itu Itali di bawah pemerintahan diktator Musolini yang telah mengisytiharkan perluasan kuasa dengan melebarkan empayarnya melalui penjajahan ke atas negara Libya.

Setelah mendengar pendirian angkuh Musolini, Umar al-Mukhtar telah menyusun strategi dengan menyatukan kabilah-kabilah dan seluruh rakyat Libya melalui panji-panji jihad.

Dalam sejarah Libya, beliau digambarkan antara tokoh terpenting yang menyalakan semangat dan bara perjuangan rakyatnya demi mempertahankan negara dan agama Islam.

Peperangan pertama berlaku pada tahun 1911. Strategi tentera Itali untuk menguasai Libya ketika itu, dilakukan dengan cara menyerang dan menguasai kota-kota di bahagian pantai seperti Tripoli, Benghazi, Misrata dan Derna satu demi satu. Namun begitu usaha Umar al-Mukhtar untuk mempertahankan negara tidak kurang hebatnya sehingga berjaya memberi tentangan walaupun dalam keadaan serba kekurangan. Misalnya pertempuran yang terjadi di al-Hani dekat Tripoli pada 23 Oktober 1911, al-Rmaila dekat Misrata, al-Fwaihat dekat Benghazi pada Mac 1912 dan Wadi al-Shwaer dekat Derna.

Walaupun ada beberapa wilayah yang gagal dipertahankan namun, mereka telah menyusun gerakan semula di kawasan pergunungan. Di sana mereka tidak hanya berdiam diri, namun menyusun beberapa siri serangan lanjutan secara gerila.Sesungguhnya jumlah bala tentera dan peralatan perang yang canggih tentera Itali ketika itu, masih tidak berjaya melumpuhkan kekuatan roh jihad yang ditiup oleh Umar al-Mukhtar terhadap tenteranya. Mereka penuh yakin dengan janji syahid buat mereka, walaupun jumlah tentera yang berjuang bersama-samanya tidak ramai tetapi mereka mempercayai akan janji Allah SWT yang menjelaskan bahawa golongan yang sedikit akan berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah dengan syarat mereka sentiasa bersabar.

Akhirnya dalam satu pertempuran yang besar di al-Gherthabiya, dekat Sirt pada April 1915, tentera Itali telah menerima tamparan hebat apabila kehilangan ribuan tenteranya. Pertempuran tersebut menyebabkan pemerintahan pusat di Itali terpaksa mengisytiharkan gencatan senjata pada tahun 1917.

Sesungguhnya gencatan senjata tersebut telah memulihkan kekuatan tentera Umar al-Mukhtar untuk menyusun semula pasukannya. Tambahan pula beliau telah mendapat sokongan yang kuat daripada pemimpin baru gerakan al-Sanusiyah iaitu Muhammad Idris untuk sama-sama membantu perjuangan beliau. Pada tahun 1922, Umar al-Mukhtar dengan corak kepimpinannya yang berkarisma telah menyusun para mujahidin di Jabal al-Ahdar dan melancarkan penentangan baru terhadap tentera Itali.

Kebolehan Umar al-Mukhtar dalam bidang ketenteraan sangat masyhur yang dilihat melalui strategi perangnya yang luar biasa terutama di kawasan padang pasir. Kemahiran beliau itulah menyebabkan beliau diberi gelaran lion of the dessert. Selain itu kemahirannya dalam bidang politik juga dikagumi sehingga mampu menyatukan perpaduan dan semangat jihad umat Islam ketika itu. Faktor-faktor di atas membuatkan tentera Itali tidak senang duduk. Mereka merasai bahaya yang bakal mengancam mereka sekiranya Umar al-Mukhtar tidak ditangkap. Lalu pemerintah pusat Itali mengutus panglima perangnya iaitu, Badolio dan kemudiannya Rodolfo Grasiani yang terkenal dengan kezaliman mereka bagi memimpin tentera Itali menangkap dan melumpuhkan tentera Umar al-Mukhtar.

Rodolfo Grasiani sewaktu menyerang Libya dengan angkuh beliau menyatakan prinsipnya, “Jika kamu tak bersamaku maka kamu adalah lawanku” Dengan itu, mereka sendiri menghalalkan nyawa umat Islam yang tidak berdosa dan dibunuh dengan kejam disebabkan kononnya menyokong perjuangan Umar al-Mukhtar.

Langkah pertama untuk melumpuhkan kekuatan tentera Islam, Rodolfo Grasiani telah menghalang serta memutuskan sebarang bantuan ketenteraan dan perhubungan luar yang bersempadan dan memasang kawat berduri sepanjang 300 km manakala tingginya 2 meter dan lebarnya 3 meter yang merentasi dari pelabuhan Bardiyat Slaiman, bahagian utara Libya sehinggalah ke al-Jagboub di bahagian tenggara Libya. Langkah kedua beliau telah membina kem-kem tahanan seluruh Libya baik di al-Aghaila, al-Maghroun, Solouq, dan al-Abiyar.

Pada akhir November 1929 semua rakyat Libya di tangkap dan dipaksa untuk tinggal di kem-kem tersebut.

Pada tahun 1933, Dr. Todesky, ketua turus angkatan tentera darat Itali, dari unit kesihatan menulis sebuah buku yang bertajuk Cerinaica Today. Dalam bukunya itu beliau menyebut bahawa dari bulan Mei sehingga September 1930, lebih daripada 80 ribu warga Libya dipaksa meninggalkan tanah kelahirannya dan hidup di kem-kem tahanan. Kehidupan di kem-kem tahanan tersebut sangat mengerikan. Bahkan ribuan yang mati kelaparan. Beliau menambah bahawa hampir 55 peratus daripada 80 ribu tahanan tersebut meninggal dunia. Seorang sejarawan Libya, Mahmoud Ali al-Taeb menyatakan bahawa pada November 1930 paling tidak terdapat 17 kematian dalam sehari disebabkan kelaparan, penyakit dan depresi.Pada tahun 1931, ketika gerakan menangkap rakyat Libya giat dijalankan, pada masa yang sama usaha-usaha memburu tentera Umar al-Mukhtar terus dilancarkan. Ini menyebabkan tentera Umar al-Mukhtar bergerak dan bertahan di kawasan pergunungan sambil terus berjuang melawan penjajahan Itali. Walaupun usia Umar al-Mukhtar ketika itu 80 tahun, ditambah dengan kesihatannya yang tidak menentu namun beliau tetap meneruskan perjuangannya sehinggalah beliau berjaya ditangkap.

Setelah dibicarakan beliau didapati bersalah dan dijatuhi hukuman gantung. Umar al-Mukhtar meninggal dunia pada 16 September 1931 di Kota Solouq. Patah tumbuh hilang berganti. Walaupun jihadnya di tali gantung, namun roh jihadnya tidak mati, malah perjuangannya telah membangkitkan inspirasi kepada tokoh pemimpin Islam yang lain sehingga melahirkan singa padang pasir yang baru seperti Ramadan al-Swaihli, Mohammad Farhat al-Zawi, al-Fadeel Bo-Omar, Solaiman al-Barouni dan Silima al-Nailiah.


0 Responses to “Umar Mukhtar”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


KEMBARA HIDUP

Modeling the Conscience, Pathfinding the Vision, Aligning the Discipline, Empowering the Passion!
"Keep your mind open to change all the time. Welcome it. It is only by examining and reexamining your opinions and ideas that you can progess. All of you were given two great gifts- your mind and your time. It is up to you to do what you please with both. You and only you have the power to determine your destiny. The choice is yours and only yours."
October 2007
S S M T W T F
« Sep   Nov »
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  

Archives

  • 57,723 guests

Categories


%d bloggers like this: