09
Jan
08

Perubahan Sosial, Politik & Agama Umat Islam Malaysia

1. Pengenalan

Dalam konteks sejarah politik Malaysia, Islam bukanlah sesuatu yang asing. Ia mula bertapak semasa kerajaan Melayu Melaka. Sebagai salah satu unsur politik yang terpenting Islam telah memberi legitimasi kepada kerajaan Melayu Melaka; dan pengamalan ajaran islam pada peringkat ini merupakan sesuatu yang signifikan. Budaya Melayu nampaknya bergerak seiringan dengan amalan-amalan Islam. Walau bagaimanapun, keseimbangannya tergugat apabila pihak penjajah, khususnya Inggeris, memperkenalkan Sistem Residen dan pentadbiran moden di Tanah Melayu. Pengenalan sistem pentadbiran moden telah mengkesampingkan (marginalized) peranan Islam dalam masyarakat dan negara dalam mana hal-hal yang berkaitan dengan Islam telah dikelompokkan sebagai salah satu aspek budaya. Raja sebagai tonggak dan simbol kesetiaan orang Melayu, yang pada keseluruhannya menganut agama Islam, telah diberi tugas oleh pihak Inggeris untuk “mengawal” kesucian Islam dan adat istiadat Melayu.

Sungguhpun kemerdekaan yang dicapai pada tahun 1957 dan penerimaan perlembagaan baru telah mengembalikan sedikit sebanyak kedudukan dan maruah Islam ini, walau bagaimanapun “dikompromikan” oleh kehadiran masyarakat majmuk. Aspek budaya-legal yang mentakrif masyarakat Melayu adalah secara sinonimnya adalah juga masyarakat Islam dan faktor etnisiti yang lahir dari kewujudan masyarakat majmuk telah mencorak rupa-bentuk penglibatan Islam dalam proses politik Malaysia. Pada tahap yang lebih umum dapatlah dikatakan bahawa tuntutan universal islam telah dikompromi, dan kadangkala berkonflik dengan Islam yang telah di indigenized dan contextualized berdasarkan realiti politik dan masyarakat tempatan.

2. Islam dan Politik: Perspektif Sejarah

Dari sudut sejarahnya, kerajaan Melaka telah menyediakan tapak yang subur bagi perkembangan Islam di Tanah Melayu. Bukti-bukti sejarah memperlihatkan juga kepada kita bahawa berkemungkinan Islam bertapak di Tanah Melayu se awal kurun ke-9 Masihi dan selewat-lewatnya pada kurun 12 atau 13 Masihi dan bukan pada kurun ke-15 Masihi seperti yang didakwa oleh sejarawan Barat yang bermula dari Melaka (Abdullah Ishak , 1990).

Apa yang menarik ialah data-data sejarah yang diperolehi, yang besar kemungkinan boleh membuktikan bahawa Islam bertapak di Tanah Melayu sebelum terbentuknya kerajaan Melaka, adalah merujuk kepada negeri-negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah. Dilihat dari sudut politik Malaysia semasa fakta sejarah ini amatlah signifikan. Di ketiga-tiga negeri inilah Islam sebagai faktor politik telah menonjolkan dirinya. Di negeri-negeri inilah juga Parti Islam SeMalaysia (PAS) telah mendapat tempat – pernah memerintah Terengganu dan buat masa kini masih mentadbir Kelantan.

Walau apapun bukti yang dikemukakan oleh para sejarawan satu hakikat yang perlu diterima oleh semua ialah hanya kerajaan Melayu Melaka (1409-1511 M) yang boleh digelar sebagai empayar. Kesultanan Melaka, misalnya, memain peranan yang penting dalam mengasaskan sistem kesultanan di sebahagian besar negeri-negeri di Tanah Melayu.

Keagungan Melaka juga terbukti apabila ianya mengamalkan dasar luar yang pragmatik iaitu dasar berbaik-baik dengan kuasa-kuasa besar asing pada ketika itu seperti Siam, Majapahit dan Cina. Dasar ini telah menstabilkan politik Melaka, memperkembangkan ekonomi dan juga sistem pentadbirannya. Suasana yang baik juga telah mendorong Melaka untuk menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap perkembangan Islam, sama ada di dalam mahupun luar negeri.

Melaka telah berperanan sebagai pusat dakwah Islamiah yang terpenting dengan adanya pengelibatan secara total dari pihak istana. Dikatakan bahawa menerusi usaha dakwah Islamiah yang begitu kuat dan berpengaruh, menyebabkan runtuhnya kerajaan Majapahit di Jawa. Dengan lain-lain perkataan, Jawa diislamkan dari Melaka (Abdullah Ishak, ibid: 100).

Pemerintah Melaka amat menghormati ajaran Islam dan menjadikan istana sebagai pusat pengembangannya. Dilapurkan bahawa kitab Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Muhammad Ali Hanapiah dan al-Dar al-Mazlum pernah disimpan di istana Melaka. Kecintaan kepada ilmu Islam misalnya, telah mendorong Sultan Mahmud (1488-1511M) mempelajari ilmu feqah terutamanya yang berkaitan dengan muamalat, bersama rakyat jelata. Untuk mendapat ilmu baginda sanggup menghadiri majlis ilmu di rumah Maulana Yusuf dan berguru kepada ulama tersebut. Dalam hal ini, Shellabear ada menjelaskan seperti berikut:

“Setelah datang keluar pintu Maulana Yusuf, maka titah Sultan pada penunggu pintu itu, `Beritahu maulana bahawa fakir Mahmud datang’. Maka kata Maulana Yusuf, “Jika fakir Mahmud, buka pintu; fakir patutlah ke rumah samanya fakir’. Maka Sultan Mahmud dibawanya naik duduk ke rumahnya, maka Sultan Mahmud pun mengaji muamalat pada Maulana Yusuf”. (dalam Abdullah Ishak, ibid: 102).

Islam begitu melebar dan peranannya begitu penting di zaman kesultanan Melaka apabila ianya dijadikan syarat untuk menjawat jawatan tertinggi dalam pentadbirannya. Contohnya, untuk menjawat jawatan menteri, calon dikehendaki membiasakan diri mereka dengan Hukum Kanun Melaka. Hukum Kanun Melaka juga memperuntukkan agar hukum-hukum yang berkaitan dengan jenayah syariah seperti hudud dilaksanakan.

Islam sebagai faktor politik yang penting dalam kerajaan Melaka turut runtuh apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511 Masihi. Pusat penyebaran Islam turut berpindah ke tempat yang baru iaitu Acheh.

Pendedahan Islam kepada pengaruh Barat bermula dengan Portugis dan berakhir dengan Inggeris telah meminggirkan peranan Islam dalam sistem politik dan pentadbiran negara. Adalah sesuatu yang menarik untuk dikaji bahawa Melaka yang begitu lama didedahkan dengan Islam begitu pantas mengenepikan Islam sebagai faktor politik. Dengan lain-lain perkataan, mengapakah parti politik Islam seperti PAS tidak mendapat tempat yang sewajarnya di bumi Melaka?

Jawapan kepada soalan di atas mungkin terdapat dalam huraian yang merujuk kepada hakikat bahawa PAS lebih mudah berakar dan bertapak dalam masyarakat yang secara relatifnya mundur yang dicirikan oleh aspek-aspek konservatisme dan tradisionalisme. Dalam masyarakat tradisionalisme seperti yang terdapat di Pantai Timur asakan pengaruh modenisme (baca, Barat) tidak begitu berkesan untuk merongkai pengaruh Islam dalam masyarakatnya kerana pengaruh modenisme tidak sebegitu hebat melanda masyarakat sebagaimana yang berlaku di Pantai Barat (Bandingkan, Means, 1976 dan Ratnam, 1969).

3. Islam dan Perlembagaan

Tidak dapat dinafikan bahawa persoalan Islam dan hubungkaitnya dengan aspek perundangan adalah merupakan satu topik yang amat kontroversial dan sensitif dalam konteks politik Malaysia. Tidak dapat dinafikan juga bahawa perjalanan sistem perundangan di zaman kerajaan Melaka adalah berteraskan sistem perundangan Islam, khususnya hukum jenayah syariah Islam yang dibahagikan kepada empat bahagian: Hukum Qisas, Hudud, Ta’zir dan Diat.

Sebagai contoh, dalam Hukum Kanun Melaka terdapat hukum Hudud iaitu hukuman yang berhubung dengan kesalahan Zina, Qadhaf, Mencuri, Murtad, Minum Arak dan Meninggalkan Sembahyang. Merujuk kepada hukuman bagi kesalahan zina, Hukum Kanun Melaka memperuntukkan bahawa jika yang melakukannya seorang yang sudah berkahwin hendaklah direjam dan bagi yang belum berkahwin pula dihukum seratus kali sebat. Hukuman ini diperuntukkan dalam Fasal 40:2 Hukum Kanun Melaka; dan ini adalah selaras dengan undang-undang Islam yang kedua-dua keadaan yang membolehkan hukuman zina dikenakan ada dinyatakan dalam hadis dan juga dalam al-Quran, surah Al-Nur (24:2).

Begitu juga dengan kesalahan murtad, Hukum Kanun Melaka dalam Fasal 36:1 menetapkan hukuman bunuh bagi orang-orang Islam yang keluar dari agamanya. Ini bersesuaian dengan saranan al-Quran dalam Surah Al-Anfal (8:39). Begitulah dengan peruntukan-peruntukan lain yang berkaitan dengan jenayah syariah Islam, Hukum Kanun Melaka jelas selari dengan sistem perundangan Islam. Perlu dinyatakan di sini bahawa keluasan pengalaman perundangan Islam yang terdapat dalam Hukum Kanun Melaka juga mencakupi bidang-bidang penting lain seperti muamalah, keluarga dan keterangan dan acara.

Secara rumusannya dapatlah dikatakan bahawa berjalannya Hukum Kanun Melaka yang berasaskan undang-undang Islam, maka jelaslah bahawa Melaka sadalah sebuah pemerintahan Islam dan dengannya juga telah menjadikan Melaka sebagai sebuah kuasa besar Islam yang berpengaruh dan digeruni di rantau ini. Atas kejayaan Islam itulah ianya menjadi penghalang kepada kuasa-kuasa besar Barat untuk menyebarkan agama Kristian, dan kedatangan dan seterusnya penaklukan Portugis ke atas Melaka bukan sahaja didorong oleh motif politik dan ekonomi malah juga oleh motif agama atau apa yang disebut sebagai tiga G – God, Glory and Gold.

Di antara kuasa Barat yang pernah menjajah Tanah Melayu, pihak Inggerislah yang paling bertanggungjawab meminggirkan peranan Islam dalam sistem perundangan negara. Bermula pada tahun 1786 apabila Inggeris mengambilalih Pulau Pinang dari Sultan Kedah, dan menganggap Pulau Pinang sebagai daerah yang baru diduduki (newly-settled territory), mereka telah memperkenalkan Piagam Keadilan (Charter of Justice) pada tahun 1807. Menerusi piagam ini, sebuah mahkamah tinggi ditubuhkan di Pulau Pinang dengan menguatkuasa undang-undang Inggeris. Seterusnya pada tahun 1826 Inggeris telah memperkenalkan Piagam Keadilan Kedua bagi memperkembang dan menyelaraskan penguatkuasaan undang-undang Inggeris ke atas tiga buah negeri selat yang di bawah kekuasaannya. Puncak kepada usaha pelebaran sistem perundangan Inggeris ini tercapai pada tahun 1855 apabila sebuah piagam baru diperkenalkan dan dengan pelaksanaan piagam baru ini mahkamah Inggeris dibahagikan kepada dua bahagian – satu di Singapura dan Melaka dan satu lagi di Pulau Pinang. Piagam baru ini yang dikenali juga sebagai Piagam Keadilan Ketiga telah diperluaskan ke Persekutuan Tanah Melayu bila sahaja Pulau Pinang dan Melaka menjadi sebahagian dari Persekutuan dalam tahun 1948 Masihi.

Proses peminggiran Islam ini telah mencetuskan penentangan secara kekerasan yang dipimpin oleh tiga golongan yang terdiri dari golongan istana dan bangsawan, ulama’ dan rakyat jelata. Penentangan dengan cara yang lebih lembut dilakukan melalui gerakan Islah. Sungguhpun gerakan Islam gagal untuk menghalang perlaksanaan undang-undang Inggeris, terdapat beberapa kesan positif di mana Inggeris terpaksa bertindak mengubah struktur pentadbiran agama Islam dan undang-undang Mahkamah Syariah yang sedia wujud di samping menubuhkan Majlis Agama Islam serta menggubal undang-undang untuk dilaksanakan di mahkamah tersebut, walaupun mengikut cita-rasa mereka sendiri.

Sungguhpun penubuhan Mahkamah Syariah adalah di bawah kuasa Majlis Undangan Negeri, Inggeris bukan sahaja berusaha mewujudkan mahkamah tersebut bahkan tugas bagi mengendalikannya diserahkan kepada sebuah jawatankuasa yang ditubuhnya yang mana kebanyakan ahlinya terdiri dari kerabat di Raja dan golongan elit agama yang pro-kerajaan Inggeris. Atas hakikat ini, Majlis-majlis Undangan Negeri meluluskan undang-undang untuk dijalankan di Mahkamah Syariah atas nasihat Inggeris. Disebabkan pandangan Inggeris terhadap agama adalah pandangan agama Kristian yang memisahkan agama dari negara maka tidaklah menghairankan apabila bidang kuasa Mahkamah Syariah hanya terhad kepada undang-undang keluarga Islam sahaja dan boleh dikuatkuasakan ke atas orang-orang Islam sahaja.

Manakala undang-undang Inggeris mempunyai bidang kuasa yang luas, dijalankan di mahkamah-mahkamah awam, dan penguatkuasaan undang-undangnya meliputi semua penduduk, Islam dan bukan Islam. Sekiranya berlaku percanggahan di antara undang-undang Islam dan undang-undang Inggeris, yang melibatkan orang-orang Islam, maka undang-undang Inggeris yang diambil kira atau terpakai.

Demikianlah gigihnya pihak Inggeris dalam usaha mereka untuk meminggirkan peranan Islam dalam sistem politik dan pentadbiran negara. Perlembagaan baru yang mengiringi kemerdekaan Tanah Melayu yang digubal melalui Suruhanjaya Reid masih menempatkan Islam di tahap yang tidak utama dalam sistem perundangan negara. Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukan bahawa,

“Agama Islam agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan”.

Peruntukan 3 (1) di atas jelas menunjukkan bahawa agama Islam adalah “agama bagi Persekutuan”. Kekaburan pentafsiran di sini yang menjadikannya satu isu politik yang “problematic”. Asas sekular yang menunjangi peruntukan ini di perjelaskan terlebih dahulu oleh Parti Perikatan dalam satu memorendum kepada Suruhanjaya Lond Reid yang dinyatakan dengan jelas bahawa: “ Agama Islam hendaklah di jadikan agama negara……. tetapi prinsip ini bukan bermakna negara ini bukan negara sekular”. Untuk mempastikan tidak berlakunya pentafsiran Perkara 3 (1) yang boleh menguntungkan Islam, Perkara 4 (1) Perlembagaan mempastikan perkara ini tidak akan berlaku. Peruntukan ini merujuk kepada ketinggian autori Perlembagaan yang di nyatakan seperti berikut:

“Perlembagaan ini adalah undang-undang utama persekutuan dan apa-apa undang-undang lain yang di luluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu”.

Sistem federalisme yang diamalkan di Malaysia pada hakikatnya merumitkan lagi amalan Islam. Sungguhpun hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri, tetapi disebabkan bidang kuasa Kerajaan Pusat adalah lebih luas dan menyeluruh ia mungkin bercanggah dengan kepentingan negeri. Sebagai contoh, kiranya Dewan Undangan Negeri meluluskan undang-undang Islam yang berlawanan dengan undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen atau dalam bidang kuasa Parlimen meluluskanya, maka undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri dengan sendirinya terbatal dan undang-undang Persekutuan yang dikira sah dan terpakai.

4. Islam dan Masyarakat Majmuk

Di samping sifat prejudis mereka terhadap Islam, besar kemungkinan pihak pentadbiran Inggeris memikirkan sifat masyarakat majmuk Malaysia apabila bersetuju dengan perkara 3 (1) sepertimana yang telah kita sentuh secara ringkas di atas. Dalam saat yang sama, menyedari bahawa keterikatan orang Melayu kepada agama Islam amat kuat dan kekuatannya telah terbukti sebagai senjata yang ampuh menghalang kemaraan pengaruh Komunisme yang juga ditolak oleh pemerintahan Inggeris, maka beberapa peruntukan yang nampaknya semacam “pro-Islam” telah diberi laluan. Mengiktiraf institusi kesultanan sebagai tonggok kekuasaan politik Melayu-Islam, maka Raja dan Sultan diberi kelonggaran untuk “ mengetuai” Agama Islam di peringkat negeri. Bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja kuasa ini diserahkan kepada Yang Di Pertuan Agung. Kelonggaran lain yang diperuntukkan oleh Perlembagaan baru Malaya ialah bertujuan untuk menjaga “kesucian” aqidah orang-orang Melayu. Dalam hal ini ceraian (4) Perlembagaan ada menyebut:

“Undang-undang Negeri boleh mengawal dan menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang yang menganut agama Islam”.

Apa yang “tersirat” dari peruntukan di atas ialah orang-orang Islam boleh berdakwah di kalangan orang-orang bukan Islam, sungguhpun proses dakwah ini dilakukan secara tidak langsung. Untuk mengelakkan ini menjadi isu yang sensitif, kerajaan telah mempromosikan Islam melalui pembinaan institusi-institusi Islam seperti Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, PERKIM, JAKIM, Bank Islam dan lain-lain lagi. Dari segi ini, pengelibatan kerajaan secara aktif bagi tujuan mengawal “kesucian” aqidah dan memajukan umat Islam sendiri, tidak berkemungkinan ianya dijadikan isu politik. Tetapi sekiranya usaha-usaha kerajaan dilihat sebagai usaha-usaha dakwah secara langsung di kalangan masyarakat bukan Islam ia akan mencetuskan kontroversi, kerana initiatif ini dilihat sebagai penceroboh “kebebasan beragama” sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

Keadaan yang delicate di atas kadang-kadang membawa kepada sikap yang ambivalent di pihak kerajaan: ada kalanya usahanya boleh ditafsirkan sebagai menjaga kesucian Islam dan pada masa yang lain ia bersikap sebaliknya. Sikap ambivalent kerajaan ini makin terserlah apabila berhadapan dengan parti PAS yang lebih radikal dari segi pendekatannya mengenai Islam. Kedudukan kerajaan dalam menghadapi isu Islam seolah-olah “tersepit” di antara kritikan bukan Islam khususnya dari parti-parti politik bukan Islam yang menganggotai Barisan Nasional terhadap usaha-usaha Islamisasi kerajaan dan kritikan keras PAS bahawa apa yang kerajaan buat terhadap Islam masih jauh dari mencukupi.

Kerajaan, khususnya UMNO, perlu menangani kedua-dua kritikan di atas secara berhati-hati. Kritikan pertama, sekiranya ditangani secara gopoh akan menjejaskan hubungan antara kaum yang sedia terjalin dan boleh menjejaskan hubungan politik antara kaum yang terbina dalam gagasan Barisan Nasional. Kritikan kedua, sekiranya tidak ditangani dengan secara yang berkesan UMNO boleh kehilangan undi. Ini disebabkan bagi pengundi-pengundi Melayu-Islam, parti politik pilihan mereka dalam pilihanraya ialah antara UMNO dan PAS. Memang terdapat pengundi-pengundi Melayu yang mengundi calon-calon bukan Islam yang mewakili BN, tetapi besar kemungkinan mereka mengundi calon-calon ini “melalui” UMNO yang berperanan sebagai tonggak kuasa dalam BN dan seterusnya kerajaan.

Telah dihujahkan juga bahawa finomena “masyarakat majmuk” tidak seharusnya menjadi halangan dalam usaha untuk mendaulatkan Islam. Kekuatan hujah ini nampaknya berlandaskan, sebahagian besarnya kepada hujah historis. Masyarakat majmuk yang “bercampur tetapi tidak bersatu” mengikut pandangan ini boleh disatukan dengan terlaksananya sistem perundangan Islam dengan secara yang syumul. Orang Melayu-Islam yang majoriti berhak ke atas cara hidup Islam yang lebih menyeluruh kerana hakikat sejarah telah membuktikan, dalam kes kerajaan Melayu Melaka, bahawa perundangan Islam telah diterima pakai dalam kehidupan mereka. Kekuatan hujah sejarah ini tidak ada pada orang-orang bukan Islam. Ini adalah kerana, “masyarakat bukan Islam yang berada di Malaysia ini tidak mempunyai undang-undang dasar negara, sedangkan masyarakat Islam yang merupakan bilangan terbanyak penduduk negara ini memilikinya, iaitu undang-undang Islam yang bersifat syumul dan universal”. (Mahmud Saedon Awang Othman, 1988: 132). Atas kekuatan hujah sejarah juga dapat dikatakan bahawa masyarakat Melayu-Islam, secara relatifnya, telah dinafikan hak mereka secara sepenuhnya dalam amalan Islam dalam kehidupan mereka seharian. Dengan lain-lain perkataan nampaknya sejarah lebih tidak berlaku adil kepada mereka ini adalah kerana, “…..mereka dihalang oleh undang-undang negara yang hanya memberikan mereka hak untuk melaksanakan tuntutan agama di bidang yang terhad dan sempit, sedangkan orang yang tidak beragama Islam menikmati hak beragama mereka sepenuhnya baik semasa di bawah sistem undang-undang Islam sebelum undang-undang Inggeris menjadi undang-undang dasar negara mahupun selepasnya” (ibid: 134).

Menjadikan undang-undang Islam sebagai undang-undang dasar negara tidak bermakna bahawa setiap penduduk negara itu dipaksa menerima akidah Islam. Terdapat perbezaan di antara menerima undang-undang Islam sebagai undang-undang negara dengan menerima Islam sebagai agama (Deen). Oleh yang demikian menjadikan undang-undang Islam sebagai undang-undang dasar negara tidak bererti memaksa orang yang bukan Islam menganut Islam dan meninggalkan agama asalnya.

Undang-undang Islam juga telah dilaksanakan di Madinah pada zaman Rasulullah (s.a.w) sedangkan penduduk Madinah pada masa itu terdiri daripada masyarakat majmuk, yakni, terdiri daripada orang Islam dan bukan Islam. Orang Yahudi, misalnya, hampir separuh daripada penduduk Madinah dan kehidupan mereka dilindungi melalui perlembagaan bertulis yang terulung dalam sejarah tamadun manusia. Jaminan hak asasi melalui perlembagaan ini ke atas orang-orang Yahudi bukanlah lahir dari tekanan politik atau untuk merebut kuasa, tetapi lahir dari tuntutan syariyah Islam. Yahudi keluar dari Madinah bukan kerana hak asasi mereka yang telah dijamin di dalam perlembagaan bertulis tadi telah dicabul, sebaliknya merekalah yang mencabul dan mengkhianati perlembagaan yang telah menjamin hak asasi mereka. Mereka telah menentang kedaulatan negara dan mengkhianatinya. Mereka bekerjasama dengan musuh-musuh negara yang sedang menyerang Madinah yang bertujuan untuk menghancurkan negara (ibid: 119).

Hujah kebenaran sejarah di atas telah digunakan oleh pimpinan PAS untuk mengkritik pimpinan UMNO yang gagal untuk menyakinkan kebenaran sejarah Islam ini kepada rakan sejawat mereka yang bukan Islam dalam Barisan Nasional. Keyakinan yang tidak mendalam terhadap kebenaran sejarah Islam akhirnya telah memberi ruang kepada pandangan yang cuba mengaitkan Islam dengan pengenalan kaum (etnisiti) dalam ertikata bahawa Islam itu disinonimkan dengan Melayu. Islam terpalit sama dengan label perkauman yang begitu signifikan dalam proses politik Malaysia. Ketidakupayaan PAS untuk memainkan peranan “centre-stage” adalah sebahagian besarnya disebabkan oleh faktor ini dan pengaruhnya lebih tertumpu kepada kawasan-kawasan majoriti Melayu seperti di Pantai Timur yang mempunyai tradisi keilmuan Islam yang tinggi, yang memahami kebenaran sejarah Islam.

5. Politik Malaysia dan Masa Depan Islam

Masa depan Islam dalam politik Malaysia amat bergantung kepada dua faktor penting. Pertama, keazaman politik yang tinggi di kalangan pimpinan UMNO bagi menyakin pimpinan politik bukan Islam tentang kebenaran sejarah Islam sebagaimana yang dibincang di atas. Ini diikuti dengan pengamalan Islam secara praktikal yang boleh disertai bersama oleh orang bukan Islam. Pengamalan sistem ekonomi Islam dalam masyarakat Malaysia sekarang adalah sejajar dengan kehendak ini dan ini boleh menyakinkan masyarakat bukan Islam terhadap kebaikan Islam. Sekaligus ini dapat melebarkan asas “Islamic order” dalam masyarakat. Faktor kedua yang boleh menentukan masa depan Islam dalam politik Malaysia ialah peranan PAS sebagai parti pembangkang yang berkesan (effective opposition). Ini penting kerana sekiranya UMNO dilihat oleh majoriti masyarakat Islam sebagai “mengkhianati” dan tidak berlaku adil terhadap Islam maka masyarakat Islam tidak akan ragu-ragu untuk memilih PAS sebagai alternatif. Sekiranya gagasan-gagasan di atas dapat direalisasikan dengan sebaik mungkin maka masa depan Islam dalam politik Malaysia amatlah cerah dan akan memainkan peranan yang penting. Masa depan ummah Melayu amat berkait rapat dengan kebijaksanaan menangani perubahan ini.
Rujukan:

Ahmad Ibrahim, 1992. Hukum Islam di Malaysia. Kuala
Lumpur: Jabatan Perdana Menteri.

Abdullah Ishak, 1990. Islam di Nusantara. Petaling Jaya: Al-
Rahmaniah.

Mahmud Saedon Awang Othman, 1988. “Penyelesaian Masalah Masyarakat Majmuk Melalui Perundangan Islam” dalam Makalah Undang-Undang Menghormati Ahmad Ibrahim, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Means, Gordon P., 1969. “The Role of Islam in the Political Development of Malaysia”, Comparative Politics, vol.1, no.2.

Mohamad Abu Bakar, 1985. “Pengislaman, Pembudayaan dan Pertembungan Budaya di Malaysia”, dalam Wan Abdul Kadir Yusuf dan Zainal Abidin Borhan (eds), Ideologi dan Kebudayaan Kebangsaan, Kuala Lumpur: Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Mohamad Abu Bakar, 1981. “Islamic Revivalism and the Political Process in Malaysia”, Asian Survey, October.


2 Responses to “Perubahan Sosial, Politik & Agama Umat Islam Malaysia”


  1. 1 ihsan
    ndpm31000000Fri, 22 Aug 2008 15:22:04 +000022pm08, J0000008 9, 2007 at 15:50 +00:00Aug

    saya ingin mengetahui jawapan tentang apakah yang menyebabkan Melaka menjadi pusat perkembangan Islam pada abad ke 15..

  2. 2 cunsue
    tham31000000Sun, 06 Dec 2009 11:20:51 +000006am09, J00000012 9, 2007 at 15:50 +00:00Dec

    saya nk cari maklumat banding bezakan antara institusi kesultanan masa kini dengan kesultanan
    melayu melaka….


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


KEMBARA HIDUP

Modeling the Conscience, Pathfinding the Vision, Aligning the Discipline, Empowering the Passion!
"Keep your mind open to change all the time. Welcome it. It is only by examining and reexamining your opinions and ideas that you can progess. All of you were given two great gifts- your mind and your time. It is up to you to do what you please with both. You and only you have the power to determine your destiny. The choice is yours and only yours."
January 2008
S S M T W T F
« Dec   Feb »
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
262728293031  

Archives

  • 57,738 guests

Categories


%d bloggers like this: