Archive for the 'USRAH' Category

30
Mar
11

Mana Milik Kita?

Salam Samurai,

Dalam kekalutan umat manusia berhadapan dengan pelbagai kesukaran pada hari ini seperti gempa bumi di Jepun, banjir kilat sekitar negeri-negeri di Malaysia. Membuat aku teringat kepada sebuah lagu dari Rabbani yang benar-benar menginsafkan. Semoga ia sebagai peringatan kepada kita untuk menyediakan hidup ini menuju negeri abadi (akhirat)

Mari sama-sama kita dengarkan Mana Milik Kita;

Mana milik kita?
Tidak ada milik kita
Semua yang ada
Allah yang punya

Tidak ada kita punya
Kita hanya mengusahakan saja
Apa yang kita dapat
Allah sudah sediakannya

Kita Allah punya
Dunia ini ciptaan-Nya

Miliklah apa saja
Tidak terlepas dari ciptaan-Nya

Mana kita punya
Tidak ada kepunyaan kita

Kita hanya mengusahakan
Apa yang telah ada

Mengapa kita sombong
Memiliki Allah punya

Mengapa tidak malu
Kepada Allah yang empunya

Patut bersyukur kepada Allah
Yang memberi segalanya

Malulah kepada Allah
Kerana milik Ia punya

Janganlah berbangga
Apa yang ada pada kita
Kalau Allah tidak beri
Kita tidak punya apa-apa

Janganlah mengungkit
Mengungkit jasa kita
Jasa kita di sisi-Nya
Yang sebenarnya Allah punya

Marilah kita bersyukur
Bukan berbangga

Bersyukur kepada Allah
Bukan mengungkit jasa

Gunakanlah nikmat Allah itu
Untuk khidmat kepada-Nya
Selepas itu lupakan saja
Agar tidak mengungkit-ungkitnya

Rabbani

Lagu ini turut menjadi pengisian kepada usrah kami di sebuah kolej swasta. Sekian.

(31/03/2011, 2:35 a.m)

Advertisements
04
Dec
10

mukmin profesional

Salam Samurai,

Baru-baru ini aku baru sahaja menamatkan pembacaan buku mukmin profesional yang ditulis oleh orang kuat fitrah perkasa. Buku itu aku beli atas cadangan seorang sahabat iaitu saudara fallah. Walaupun aku agak biasa dengan isi penulisan buku tersebut (pembentangan ustaz saifulislam) aku tetap membelinya sebagai bantuan rujukan aku untuk membina modul dan idea bagi membimbing remaja dengan lebih mudah difahami.

Di sini aku ingin berkongsi sedikit isi buku tersebut yang boleh dijadikan panduan hidup kita. Buku tersebut mengenengahkan 5 perkara;

1. Tujuan Hidup
2. Bekalan Hidup
3. Pendorong Hidup
4. Penghalang Hidup
5. Pengakhiran Hidup

Bagi aku ia satu kesimpulan yang baik dari sebuah buku. Sebagai seorang muslim mahupun mukmin profesional seharusnya merekod perkara tersebut dalam fikirannya untuk menuju kepada Allah yang MAHA ESA. Untuk menjadi apa sekali pun, seharusnya seorang muslim itu perlu mengetahui tujuan hidupnya supaya semua perkara yang dikerjakan dan diusahakan bermatlamat tujuan hidup. Sama juga kita dalam kehidupan dunia, jika kita seorang pensyarah, engineer, doktor atau apa-apa sahaja kerjaya kita semestinya berusaha dan bekerja sebagai matlamat/tujuan yang telah ditetapkan dalam kerjaya kita.

Bagi mencapai tujuan atau matlamat yang sebenar, kita perlulah menyediakan bekal. Bekal yang membantu kita dalam perjalanan. Bekalan adalah kecukupan untuk kita menempuh perjalanan yang jauh ini. Antaranya adalah amalan-amalan wajib yang diketengahkan oleh agama ini. Bekalan dari segi amal seperti solat, ilmu dan lain-lain. Tanpa bekalan yang cukup kemungkinan kita tidak sempat untuk menuju pengakhiran hidup ini.

Bukan sahaja bekalan yang diperlukan, kita seharusnya mempunyai pendorong yang membantu kita sebagai “add-on” untuk kita menempuh perjalanan hari ini. Mungkin dalam bahasa moden hari ini, seperti motivasi. Tetapi sebagai seorang Islam apakah motivasi sebenar atau pendorong sebenar dalam hidup kita? Cukupkah dengan cakap-cakap kosong pakar-pakar motivasi yang hanya bertahan seminggu dua dalam hidup kita dengan belanja yang banyak dilaburkan supaya mereka bercakap untuk menggerakan emosi kita?

Cuba kita renung-renung kembali kegemilangan Islam suatu ketika dahulu. Kekuatan perang badar dengan jumlah ketenteraan 313 berhadapan 1000 tentera quraisy, dari manakah pendorong sebenar umat Islam ketika itu? Sejarah pernah menunjukkan kejayaan umat Islam mampu berhadapan dengan tentera rom yang lebih hebat dari jumlah tentera dan kelengkapannya dapat ditumpaskan. Apakah dorongan bagi mereka ini?! Saya yakin dan percaya semua mengetahui, semuanya dimainkan oleh kekuatan spiritual atau rohani umat Islam. Maka pendorong/motivasi terbaik bagi umat Islam yang terbaik ialah membangunkan spirtual umat islam. Dengan apa? Jawapannya ialah zikir! Zikir kepada Allah dengan pelbagai bentuk zikir dari Quran atau hadith Nabi SAW.

Namun, jangan kita lupa setiap kerja buat, kita pasti akan berhadapan dengan penghalang hidup. Dalam kita belajar bekerjaya juga mempunyai halangan hidup tersendiri. Benarlah kata Umar Al-Khattab, setiap tentera Islam kita seharusnya lebih takut dengan DOSA yang dibuat oleh diri mereka sendiri berbanding kekuatan musuh. DOSA lah penghalang utama dalam kehidupan seorang muslim, termasuklah DOSA itu membiarkan diri terus jahil dalam agama. Membiarkan diri terus jahil tentang agama menyebabkan kita terus mengerjakan DOSA, meninggalkan kebajikan dan kebaikan.nOleh itu, marilah kita sama-sama meninggalkan dan menjauhi penghalang kepada kehidupan seorang muslim. Kejatuhan dan kelemahan umat Islam dan remaja Islam pada hari ini ialah terlalu banyak perkara yang kita lakukan itu adalah penghalang-penghalang kepada kehidupan.

Seterusnya marilah kita memperingatkan diri kita untuk sentiasa beringat dengan pegakhiran hidup ini. Supaya kita terlalu lalai dengan kehidupan sementara iaitu dunia ini. Pengakhiran hidup kita lebih utama daripada persinggahan yang singkat ini. Ayuhlah kita sama-sama mengejar kehidupan yang abadi di akhirat sana. Semoga Allah memberikan kita kehidupan yang baik di akhirat nanti dan memberikan kita kekuatan untuk istiqamah menjadi hamba yang beriman dan bertaqwa. Bijaksanalah bagi mereka yang berusaha untuk menyediakan pengakhiran hidup yang baik;

Dari Ibnu Umar, saya bersama Rasulullah SAW, maka datang orang laki-laki dari Anshor kemudian dia salam pada Nabi SAW kemudian dia bertanya: “Ya Rasulullah, manakah mukmin yang paling utama?” Rasulullah SAW menjawab: “mereka yang baik budi pekertinya”. Dia bertanya: “Manakah mukmin yang pandai?” Rasulullah SAW menjawab: “lebih banyaknya mereka ingat pada mati dan lebih baiknya mereka mempersiapkan pada apa-apa setelahnya mati, orang-orang yang itulah orang yang pandai.” [riwayat Ibnu Majah, Ibnu Umar ra]

Terima kasih Ustaz Pahrol Mohamad Juoi atas usaha gigih beliau mengeluarkan bahan yang begitu membantu para pendakwah dan anak-anak remaja.

18
Jul
10

Ujian kesenangan

Salam Samurai,

Disebutkan dalam hadits- hadits Rasulullah saw.:

1. “Selain Dajjaal lebih aku takuti atasmu dari dajjaal. Jika Dajjaal keluar dan aku berada di hadapan kalian, maka aku melawannya membela kalian. Tetapi jika ia keluar dan aku tidak di antara kalian, maka setiap orang membela diri sendiri. Allah akan melindungi setiap muslim. Dajjaal adalah pemuda berambut keriting, mata (kirinya) menonjol, seperti saya umpamakan dengan Abdul ‘Uzza bin Qathan. Siapa yang menjumpainya, maka bacalah awal surat al-Kahfi. Dajjaal akan keluar di antara jalan Syam dan Irak. Berjalan membuat kerusakan di kanan dan di kiri. Wahai hamba-hamba Allah, tetap teguhlah (pada ajaran Islam).” (HR Muslim)

2. “Setiap negeri pasti didatangi Dajjaal, kecuali Mekkah dan Madinah.” (HR Muslim).

3. “Mengikuti Dajjaal 70 ribu orang-orang Yahudi dari Asbahan yang memakai topi.” (HR Muslim).

4. “Setiap Nabi pasti memperingatkan kaumnya dengan si buta pendusta. Ingatlah bahwa Dajjaal adalah buta, dan Rabb kalian Azza wa Jalla tidak buta. Dajjaal ditulis di antara dua matanya k f r (kafir).”
(Muttafaqun alaihi).

5. “Maukah aku ceritakan berita tentang Dajjaal, sesuatu yang pernah diceritakan setiap nabi pada kaumnya. Dajjaal adalah buta, dia datang dengan sesuatu seperti surga dan neraka. Apa yang dikatakan surga adalah neraka.” (Muttafaqun ‘alaihi).

6. “Dajjaal akan muncul pada umatku, maka ia hidup selama 40 (saya tidak tahu apakah 40 hari, atau bulan atau tahun). Kemudian Allah mengutus Isa bin Maryam, ia seperti Urwah bin Mas’ud. Maka Isa as. mencari Dajjaal dan menghancurkannya. Kemudian Isa tinggal bersama manusia 7 tahun, tidak akan terjadi permusuhan di antara dua kelompok.” (HR Muslim).

7. “Perang besar, pembukaan kota Konstantinopel dan keluarnya Dajjaal (terjadi) dalam 7 bulan.”
(HR Ahmad, Abu Dawud, At-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Di atas aku senaraikan beberapa hadith berkenaan dajjal. Pertiswa dajjal adalah satu peristiwa yang perlu diambil iktibar oleh semua masyarakat Islam dan pejuang-pejuang Islam. Kalian semua boleh membacanya juga kisah dajjal ini di dalam kitab Riadhatul Solihin Jilid 2 jika tidak silap saya.

Aku ingin memaparkan hadith berkenaan dajjal ini kerana menginsafi apa yang telah aku sebut dalam usrah mahasiswa tadi. Dalam penyataan aku, kita hari ini bukan sekadar berhadapan dengan ujian kesusahan. Kadang-kadang ujian kesusahan membuat kita lebih semangat untuk berjuang. Namun, ujian yang paling besar bagi kita ialah ujian kesenangan. “Ujian Kesenangan seperti Ujian Dajjal!” kerana membuat kita takut untuk meletakkan pergantungan pada Allah. Semua rezeki adalah dari perkerjaan yang kita tumpukan. Sehingga takut untuk menjadi susah, apabila tidak beriman dengan dajjal/kesenangan

Wallahualam, sekadar perkongsian ringkas.

11
Feb
10

Dakwah: Fardhiyah

Salam Samurai,

Semalam aku dan beberapa sahabat dari Pemuda PAS Kawasan telah mengorak langkah turun ke akar umbi melalui dun-dun kawasan Kangar bagi mendekati golongan muda. Aku terus berfikir bagaimanakah pendekatan yang terbaik untuk mewujudkan ikatan dikalangan “Orang Muda Geng Kita”.

Mungkin konsep dakwah fardiyyah boleh dijadikan kaedah asas mendekati dan mengikat golongan “Orang Muda Geng Kita”. Berikut sedikit penerangan berkenaan dakwah fardiyyah;

Perkataan fardhiyah itu adalah merupakan perkataan Arab yang berasal dari pangkal kata “fardh” yang bermaksud “persendirian” atau “individu”, manakala dakwah fardhiyah adalah merupakan satu metodologi atau bentuk dakwah yang dilakukan oleh orang perseorangan, atau satu badan umum yang kecil, kepada individu muslim yang lain seperti saling nasihat menasihati sesama sendiri (teman serumah atau teman sekerja dan sebagainya) ataupun dakwah kepada beberapa orang dalam jumlah yang kecil dan terbatas seperti usrah, liqa’ ilmi dan sebagainya.

Kita boleh merangka beberapa startegi dengan melalui beberapa peringkat dakwah serta mengenengahkan pendekatan “Seek First to Understand, Then to be Understood”, mewujudkan suasana “Win-Win”, dan seterusnya menuju kearah “Synergize” dalam perjuangan (merasakan keperluan untuk saling bantu-membantu dan perlu memerlukan). Berikut adalah beberapa peringkat yang perlu Pemuda Kawasan Kangar Lalui bagi mencapai cita-cita “Orang Muda Geng Kita”;

a. Peringkat Pertama-Mewujudkan hubungan dengan berkenalan atau berta’aruf dengan mad’u. Di peringkat ini, pendakwah perlu benar benar mengambil berat tentang mad’unya.

b. Peringkat Kedua- Membangunkan iman yang lesu di jiwa mad’u. Di peringkat ini, perbincangan mengenai iman tidak perlu di bincangkan secara mendadak, akan tetapi adalah lebih baik di bincangkan dengan memberi pendekatan secara tidak langsung seperti,melihat pemandangan yang cantik, burung berterbangan, tumbuh tumbuhan dan sebagainya.

“Dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata : Ya Tuhan kami! Tidak Engkau menciptakan ini dengan sia sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa api neraka”
[Ali imran :191]

c. Peringkat Ketiga- Membantu dan memperbaiki diri mad’u dengan cara mengajarnya perkara perkara ketaatan kepada Allah dan ibadah ibadah fardhu, membiasakan dirinya melakukannya secara berdispilin, menjauhi maksiat dan berakhlak dengan akhlak islam. Sehubungan dengan itu adalah lebih baik sekiranya mad’u dibekalkan dengan risalah-risalah aqidah, ibadat dan akhlak yang boleh dibaca dan difahaminya. Begitu juga dengan mengajak dan menghadiri majlis-majlis ilmu atau ceramah-ceramah agama serta mengajak mereka berkenalan dengan orang orang yang soleh dan menjauhkan diri mereka dari golongan yang jahat. Atau merancang tazkirah-tazkirah ringkas sebelum berlangsung suatu program.

d. Peringkat Keempat- Menjelaskan pengertian ibadah yang syumul tanpa membataskannya hanya kepada solat, zakat dan haji sahaja. Ibadah sebenarnya merangkumi segenap aspek kehidupan seperti makan, minum, bersukan, ilmu, amal dan sebagainya. Ini semua adalah ibadah kepada Allah SWT dengan syarat berniat kepada Allah dan cara melaksanakannya bersesuaian dengan syariat Islam.

e. Peringkat Kelima- Menjelaskan kepada mad’u bahawa agama Islam itu bukan hanya sekadar kita menjadi seorang muslim pada diri sendiri sahaja, dengan hanya melaksanakan ibadat ibadat tertentu, berakhlak dengan akhlak yang baik dan tidak menyakiti orang lain, akan tetapi Islam itu adalah agama bermasyarakat. Islam adalah sistem hidup, daulah, pemerintahan dan perundangan, Inilah fahaman terhadap agama Islam yang betul, yang mengajar kita berbagai tanggungjawap dan kewajipan.

f. Peringkat Keenam- Menjelaskan kepada mad’u bahawa tugas dakwah ini tidak dapat dilaksanakan secara bersendirian (fardh), setiap muslim tidak mampu menegakkan Daulah Islamiyah secara bersendirian, akan tetapi usaha tersebut mestilah dilakukan secara berjemaah iaitu satu organisasi yang menyatukan usaha usaha fardh demi melaksanakan tanggungjawap ini.

g. Peringkat Ketujuh- Menjawap persoalan yang bermain di minda mad’u iaitu jemaah manakah yang perlu disertai?, diperingkat ini pedakwah perlu memastikan proses dakwah di sampaikan dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan, kerana peringkat ini adalah peringkat yang paling penting dan ianya adalah perbincangan yang sensitif.

Namun, setiap peringkat tersebut perlu melihat siapakan individu yang kita hadapi, bertindaklah bersesuaian dengan individu yang kita dekati. Pemuda PAS Kawasan Kangar masih di peringkat pertama, dan aku dapat rasakan kita hampir berjaya pada peringkat pertama walaupun masih terdapat beberapa “error”. Dan aku bersyukur peringkat pimpinan semakin serius untuk meneruskan dengan peringkat kedua. Pada pandangan aku kunci kejayaan dalam projek kita ini amat bergantung kepada dakwah peringkat kedua. Ia akan menjadi momentum kepada peringkat-peringkat dakwah seterusnya. Semoga kita diperingkat pimpinan meneruskan gerak kerja akar umbi ini. Takbir!

04
Feb
10

Dakwah: AMAR MA’RUF NAHI MUNKAR

Salam Samurai,

InsyaAllah, aku akan cuba istiqamah dalam mengisi ruangan blog ini dengan program usrah, kuliah, dan seminar yang aku jalankan di sini. Semoga ia memberi kebaikkan kepada semua. Aku cuba membuat sedikit ‘study’ berkenaan tajuk dakwah yang lebih menfokuskan kepada amar ma’ruf nahi munkar untuk pembentangan usrah minggu hadapan.

Menurut Ibn Taimiyyah antara tugas dakwah adalah untuk menyuruh melakukan yang ma’ruf dan mencegah daripada yang munkar. Banyak perbahasan berkenaan dakwah samaada fardu kifayah dan fardu ain.

Dakwah adalah tugas executive nabi S.A.W. Maka, tiada lagi tugas yang paling mulia untuk kita teruskan dari sunnah-sunnah nabi S.A.W iaitu dakwah. Menurut Dr.Abdul Karim Zaidan di dalam sebuah kitabnya “Usul Dakwah”, Kesemua ayat Al quran yang mengandungi suruhan atau tuntutan untuk berdakwah turut ditujukan kepada seluruh ummat Islam, kerana pada dasarnya setiap perintah yang ditujukan kepada Nabi SAW adalah merangkumi ummatnya sekali, melainkan terdapat pengecualian yang khusus di dalam ayat ayat tersebut. Begitulah firman Allah berkenaan tugas utama yang diamanahkan oleh Allah S.W.T;

“Kamu (wahai ummat muhammad) adalah sebaik baik ummat yang dilahirkan bagi (faedah) ummat manusia, kerana kamu menyuruh berbuat segala yang baik dan melarang daripada perkara yang salah (buruk dan keji)” [Ali imran : 110]

Sebahagian Ulama’ mengatakan tugas dakwah adalah Fardu Kifayah berdasarkan firman Allah S.W.T;
1. “Dan hendaklah ada dikalangan kamu ummat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar, mereka itulah orang orang yang beruntung” [Ali imran : 104]

Manakala sebahagian Ulama’ mengatakan tugas dakwah adalam Fardu Ain berdasarkan dalili berikut;
1. “Kamu (wahai ummat muhammad) adalah sebaik baik ummat yang dilahirkan bagi (faedah) ummat manusia, kerana kamu menyuruh berbuat segala yang baik dan melarang daripada perkara yang salah (buruk dan keji) [Ali imran : 110]

2. Hadis Rasulullah SAW mafhumnya :
“Barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya, sekiranya tidak berkuasa maka dengan lidahnya, sekiranya tidak berkuasa , maka dengan hatinya. Yang demikian itu adalah selemah-lemah Iman”.

3. Dan Sabda Nabi SAW :
“Smpaikanlah dariku walaupun hanya sepotong ayat”

4. Qaedah Feqh : “Tidak sempurna sesuatu perkara itu melainkan dengan adanya ia maka hukumnya adalah wajip”

Menurut Imam Al ghazali pula dakwah itu adalah pada asalnya adalah fardhu kifayah sekiranya ada pemerintahan Islam dan ianya akan menjadi fardhu ain mengikut kemampuan setelah jatuhnya khalifah Islamiyyah.

Walaupun ulama’ ada membincangkan status kewajipan berdakwah. Namun, kita sebagai manusia yang sentiasa sedar akan hakikat keadaan umat ini seharusnya keinginan untuk berdakwah itu tidak hadir atas sebab kewajipan dari agama semata-semata tetapi ia datang dari hati yang suci akan dakwah itu satu keperluan (INSIDE-OUTSIDE).

Aku sering membuat perbandingan, jika makan itu tidak menjadi kewajipan. Semestinya kita tetap akan makan, kerana kita telah meletakkan makan itu satu keperluan hidup. Begitu jugalah dakwah yang perlu dijadikan keperluan kepada hidup kita.

Dan marilah kita menghayati tujuan sebenar hidup kita sebagai manusia di muka bumi ini;
“Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia itu, melainkan untuk tunduk mengabdikan diri (beribadah) kepadaKu” [Az zariyat : 56]

Janganlah kita tergolong dalam kumpulan manusia berikut di dunia ini;
a. Makan dan berseronok (Muhammad:12)
b. Hiasan dan kesenangan hidup yang akan fana (Ali-Imran: 14)
c.Mewujudkan huru-hara, suasana tidak selamat, dan tidak aman (al-Baqarah:204-205)

Dan binalah diri kita untuk menjadi golongan manusia yang memimpin manusia ke arah jalan yang benar, membimbing manusia ke arah jalan yang baik dan memancarkan cahaya Islam ke seluruh dunia. (Al-Haj:77-78)

Di sini juga ingin aku berpesan, bahawa dakwah ini tidak hanya melakukan amar ma’ruf semata-mata lalu meninggalkan nahi munkar. Kerana terlalu banyak penyelewengan dalam dakwah yang memisahkan amar ma’ruf dan nahi munkar demi menjaga kepentingan-kepentingan tertentu. Berpenganglah kepada sunnah perjuangan sebenar yang ditunjukkan oleh Nabi S.A.W. Dan kita sedar dalam lembaran perjuangan Nabi S.A.W, penentangan yang berlaku kepada Nabi S.A.W kita adalah disebabkan Nabi S.A.W merealiasikan hakikat nahi munkar! selain melaksanakan amar ma’ruf dikalangan umat ini.

Sekali lagi aku menegaskan bahawa PAS hari ini sedaya upaya untuk merealiasikan tuntutan tarbiyyah, dakwah dan siasah. Dan ini menuntut kesungguhan yang maksima!

Semoga nota ringkas ini membantu kita melancarkan lagi usrah akan datang. Sekian.

02
Feb
10

Tasawur Tarbiyyah

Salam Samurai,

“Wasilah yang kita gunakan ialah, meyakinkan orang ramai, sebarkan dakwah dengan apa cara sekalipun supaya seluruh masyarakat memahami dan menegakkannya dengan penuh keyakinan dan keimanan. Selepas itu, kita saring anasir-anasir yang baik untuk dijadikan tonggak yang kukuh bagi mendokong gagasan perubahan ini. Seterusnya kita melangkah ke medan perjuangan mengikut lunas undang-undang dengan tujuan dakwah ini dapat diketengahkan ke institusi-institusi rasmi. Dengan ini dakwah akan dibantu dan didokong oleh kuasa yang efektif. Atas dasar ini, apabila masa yang sesuai, calon Ikhwan al-Muslimin akan tampil ke hadapan menjadi wakil rakyat di badan-badan perwakilan rakyat. Kami amat yakin Allah akan membantu kami memperoleh kejayaan jika apa yang kami lakukan ini hanya demi keredaan Allah.” -(Ucapan Dasar Muktamar Keenam Ikhwan al-Muslimin)

PAS merupakan sebuah gerakan Islam yang berimejkan;
a. Harakatul Tarbiyyah
b. Harakatul Dakwah
c. Harakatul Siasah

Kekuatan PAS terletak pada;
a. Kekuatan Dalaman- yang dibina melalui tarbiyyah; melalui kekuatan ini PAS akan melahirkan amilin yang memiliki;
1. Aqidah yang sohih
2. Fikrah yang syumul
3. Akhlak yang soleh
b. Kekuatan Luaran- dengan mendahalui (lebih kehadapan) dakwah dan siasah berbanding jemaah lain

Pengertian Tarbiyyah
Uslub yang terbaik di dalam proses berinteraksi dengan fitrah kemanusiaan dalam bentuk pengucapan langsung dengan perkataan atau secara tidak langsung dengan qudwah, berdasarkan manhaj dan wasilah-wasilah yang khas, ke arah menghasilkan perubahan di dalam diri insan kepada yang lebih baik.
(Doktor Ali Abdul Halim Mahmud)

Perbincangan Tarbiyah melalui konsep INPUT-PROSES-OUTPUT

Matlamat Tarbiyyah
1. Matlamat utama pentarbiyyahan ialah membentuk, melengkap, dan menyediakan individu lelaki yang mampu mendokong tanggungjawab menyebar dan mengembangkan sebuah gagasan.
2. Disamping itu ia juga bertujuan memantapkan agenda kebangkitan ummah ini supaya kehidupan baru yang gemilang dapat dibina di atas landasan Islam.
3. Lahirnya individu yang mampu menampilkan nilai-nilai yang dihayati dan diperjuangkan.
4. Akhir sekali dapat menepati sistem nilai iaitu rukun baiah

Sasaran Dakwah
1. Orang yang yakin
2. Orang yang sangsi
3. Orang berkepentingan
4. Orang yang berprasangka

Penyaringan dan Pemilihan
Sifat insan yang layak bersama dakwah;
1. Cergas- seorang yang giat bekerja
2. Pemikir- Seorang yang bijak menggunakan akal fikiran
3. Berani- Seorang yang berketrampilan, berani dan bersedia
4. Produktif- Seorang yang mampu mencapai kejayaan

Proses Tarbiyyah yang berjaya bergantung kepada;
1. Pendidik yang aktif
a. Berpengetahuan tinggi (ilmu syarak, kemanusiaan, dan organisasi)
b. Bersedia (dari segi kejiwaan, mental dan fizikal)
c. Terlatih (terlatih dengan kemahiran hidup dan menggunakan kemahiran yang baik)
d. Profesional (Ikhtisas dalam bidang tertentu)

2. Wasilah Tarbiyyah
a. Usrah
b. Katibah
c. Rehlah
d. Seminar
e. Perkhemahan
f. Persidangan

Rintangan dan Halangan Tarbiyyah
Semakin hebat dakwah, semakin suci matlamatnya, dan semakin ia cuba menepati syarak, semakin hebatlah masalah dan cabarannya.

Antara cabaran utama;
a. Kejahilan masyarakat
b. Penyisihan oleh ahli agama dan ulama tradisi
c. Kejahatan golongan pembesar, pemimpin dan pihak berkuasa
d. Kekangan oleh kerajaan terhadap aktiviti
e. Tindakkan oleh pihak berkepentingan bagi menghalang kegiatan dan dakwah

Pengalaman dan ujian dalam rintangan;
a. Kamu akan dipenjara
b. kamu akan dihalau dan diusir
c. segala harta dirampas
e. rumah akan digeledah
Menepati tuntutan iman surah al-ankabut:2;
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata:”kami beriman”, sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaaan)?”

Bagi berhadapand dengan cabaran berikut perlu kita mengambil beberapa langkah;
1. Beriman kepada Allah, berbangga kerana mengenali-Nya dan pasrah kepada-Nya
2. Hanya takutkan Allah
3. Tunaikan kewajipan dan jauh larangan
4. Berakhlak mulia dan berpegang dengan nilai yang tinggi
5. Menatap dan mengkaji al-Quran dan sirah
6. Tumpuan kepada aspek praktikal dan jauhi amalan berdebat
7. Berusaha mempertautkan ikatan persaudaran
8. Berpegang kepada prinsip
9. Dengar dan taat kepada pemimpin
10. Menanti bantuan serta pertolongan Allah.

Akhir sekali, marilah kita motivasikan diri kita dengan firman Allah surah As-Saff: 10-14. Sekian.

Rujukan: Perkara Asas Dalam Agenda Kebangkitan Ummah (Kajian Berdasarkan Imam Al-Bana) Tulisan Prof Dr. Abdul Hamid Al-Ghazali

27
Jul
09

abu harith

Salam Samurai,

Sudah sekian lama aku tidak mengupdate blog ini. Kadang-kadang terasa untuk terus meninggalkan dunia blog kerana sikap aku yang tidak istiqamah. Apa gunanya sebuah blog, jika tidak di update rencananya. Maafkan aku pembaca sekalian.

Untuk pengetahuan sahabat-sahabat semua, aku telah dianugerahkan seorang anak putera yang diberi nama “Muhammad Harith” atas pilihan kami berdua suami isteri. Kiranya sekarang sudah boleh bergelar “Abu Harith” & “Ummu Harith”.

Muhammad Harith dilahirkan pada Jumaat 17 Rejab 1430 A.H bersamaan 10/07/2009 pada pukul 13:13 petang. Alhamdullilah, Muhammad Harith dilahirkan dalam keadaan selamat dan sihat sejahtera. Kegembiraan aku dan zaujah hanya Allah sahaja yang tahu. Semoga ia memberi kekuatan yang lebih kepada kami berdua untuk terus memperhambakan diri kepada Allah S.W.T.

Alhamdullilah, aku turut serta dalam perjalanan Ummu Harith melahirkan anak kami. Betapa sukar dan payahnya seorang ibu melahirkan seorang anak dapat aku ketahui pada detik itu. “Maafkan aku ibu, jika diri ini sering menguris hati yang telah bersusah payah mengandung dan melahirkan aku ke dunia fana ini.”

Aku memilih nama Muhammad Harith untuk anak sulung kami kerana telah jatuh cinta setelah membaca satu hadith Nabi Muhammad S.A.W;

“Nama yang paling benar ialah Harith dan Hammam”.

(Sunan Abi Daud 4952, Musnad Ahmad 19032).

Harith bermaksud kuat dan berusaha. Dalam bahasa Jepunnya bermaksud “GANBARU”. Sepastinya aku memilih Muhammad kerana ia adalah nama seorang nabi yang amat aku cintai, semoga anak ini dapat mencontohi dan mewarisi keperibadian yang ada pada Rasullulah S.A.W. Muhammad juga bermaksud yang terpuji, dan yang dihormati. “Ya Allah, berikan lah kami keberkatan hidup dengan lahirnya seorang putera dalam keluarga kami.”

Begitulah perjalanan dan penantian kami berdua bagi kelahiran seorang putera yang kami sayangi.

Perkongsian

Hari Sabtu (25/07/2009) yang lepas, aku telah dijemput oleh sekumpulan pelajar untuk membincangkan tajuk ” Ciri-ciri Nuqaba’ Cemerlang”. Alhamdullilah, semuanya berjalan dengan baik. Dengan kehadiran mencecah 80 orang, membuat aku sedikit gementar.

Ingin aku kongsikan di sini beberapa point utama yang aku kemukakan dalam kuliah tersebut;

1. Menjadi seorang naqib/ah bukan sesuatu yang teoritikal, tetapi ia menuntut ilmu yang praktikal.
2. Perjalanan terlahirnya naqib/ah yang cemerlang adalah melalui pengalaman yang luas, bukan sekadar pembacaan yang banyak.
3. Sifat seorang naqib/ah bukanlah directive (mengarah) tetapi enabling (membolehkan).
4. Kecemerlangan naqib/ah lahir dari “burning desire” yang tinggi dan menggunung.

Semoga syabab dan akhwat sekalian berjaya dalam memantapkan sistem usrah sebagai medium utama bagi melahirkan kader yang cemerlang. Sekian.




KEMBARA HIDUP

Modeling the Conscience, Pathfinding the Vision, Aligning the Discipline, Empowering the Passion!
"Keep your mind open to change all the time. Welcome it. It is only by examining and reexamining your opinions and ideas that you can progess. All of you were given two great gifts- your mind and your time. It is up to you to do what you please with both. You and only you have the power to determine your destiny. The choice is yours and only yours."
October 2017
S S M T W T F
« Mar    
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031  

Archives

  • 58,396 guests

Categories