Archive Page 2

27
Jul
10

Dunia Pendidikan Dunia Aku

Salam Samurai,

Aku semakin cinta akan dunia pendidikan. Dia banyak mengajar aku cara berkomunikasi dan memenangi hati manusia. Alhamdullilah aku diberi peluang yang luas untuk mengenali orang-orang muda dan diberi peluang untuk aku menyesuaikan diri dalam suasana seperti itu.

Hari pertama dalam kelas, aku dapat rasakan mereka sedikit takut dengan ke”seriusan” aku. Alhamdullilah, hari kedua aku mengajar sudah ramai berani untuk menyambut lawak-lawak politik aku. Ia membuat aku semakin cinta dengan dunia ini.

Maaf, jika perkongsian ini menampakkan “masuk bakul, angkat sendiri” tetapi aku benar-benar ingin berkongsi kegembiraan ini. Aku mendapat respon yang baik dari kelas pertama dan kedua ini;
1. Kelas pertama: “Encik ini ajar senang sikit faham berbanding pensyarah dulu” kata sorang pelajar berbangsa cina kepada kawannya- [terjemahan terus dari bahasa cina]
2. Kelas kedua: “Encik, dulu kami belajar benda ni dua-tiga minggu tak faham-faham” sedikit komen seorang pelajar kepada aku selepas kelas selesai.
3. “Tolong pindah kehadapan, susah saya nak bercakap kat depan ni” kata aku kepada dua pelajar perempuan. “Taknak lah encik, depan sangat”-balasnya. Alhamdullilah di hari kedua, mereka dengan sendiri kehadapan untuk mendengar kuliah aku.

Begitulah “evaluation” cuba aku buat bagi menilai kualiti dan tarikan para pelajar dalam kelas aku. Terima kasih atas kursus Pengajaran dan Pembelajaran yang diberikan kepada kami. InsyaAllah, kami akan memanfaatkannya dalam dunia akademik ini. Cintaku semakin dalam dengan dunia pendidikan. Cinta yang mengatasi kewajipan seorang pendidik. Sekian

27
Jul
10

dipimpin untuk memimpin

Salam Samurai,

Selama aku terjun dalam dunia dakwah, itulah slogan yang aku pegang untuk meniti kesukaran dalam perjuangan. Bukan senang mahu memimpin dakwah ini, kerana ia memerlukan “power of influence” mengajak manusia menerima kebenaran.

Namun, hakikatnya sebagai seorang yang ingin menjadi pemimpin yang baik untuk membawa manusia kepada kebenaran perlu belajar untuk dipimpin terlebih dahulu. Nabi S.A.W sendiri sebelum memimpin umat ini, beliau sendiri dipimpin oleh Allah S.W.T. Allah S.W.T telah membimbing nabi S.A.W dengan begitu teliti bagi melayakkannya menjadi pemimpin pada umat ini.

Peristiwa-peristiwa seperti Allah S.W.T menidurkan nabi S.A.W ketika berkeinginan untuk pergi ke majlis jahiliyyah menunjukkan bagaimana Allah S.W.T telah memimpin Nabi S.A.W membentuk beliau menjadi pemimpin kepada seluruh Umat.

Menjadi kemalangan pada umat ini, kebanyakkan mereka ingin melayakkan diri mereka sebagai pemimpin tetapi amat sukar untuk menerima kepimpinan daripada orang yang layak memimpin mereka. Ia sering terjadi kepada mereka yang berada dalam gerakan-gerakan besar. Dimanakah silapnya?! Jika semua orang mahu pemimpiin, siapa yang harus jadi pengikut?!

Untuk menjadi pemimpin, kita seharusnya menjadi pengikut yang baik. Kerana disitulah kita belajar bagaimana seorang pengikut itu menerima arahan dan amanah dari seorang pemimpin serta bagaimana seorang pengikut itu mampu mentaati pemimpinnya. Bagaimanakah kita hendak menjadi pemimpin, sedangkan kita sendiri tidak mampu menerima tugas/tanggungjawab sebagai seorang pengikut dengan baik. Aku amat bersetuju dengan John Maxwell dalam buku 360 degree leadership. Beliau mengatakan leader yang baik adalah “middle leadership” iaitu kepimpinan pertengahan. Middle Leadership adalah kepimpinan yang memimpin dan dipimpin. Mereka bersedia menerima arahan dari pihak atasan, lalu mereka memimpin arahan itu dengan baik dengan kuasa yang mereka ada bagi menjayakan setiap agenda. Aku sering berpesan kepada mahasiswa bahawa mereka seharusnya menjadi pemimpin walaupun tanpa posisi. Setiap gerak kerja perlu dipimpin untuk dijayakan dan ia melibatkan pengurusan kerja dan manusia.

Sebagai seorang pemimpin ia bukan sekadar memimpin tetapi seharusnya menjadi pengurus yang baik. Mungkin pengurus tidak perlu menjadi pemimpin yang baik, tetapi seorang pemimpin yang baik perlu memiliki kedua-duanya memimpin dan mengurus barulah ia dapat mengemudi perjuangan ini.

Sekadar itu sahaja perkongsian aku pada hari ini, semoga memberi manfaat kepada semua dan diri ini. Sekian.

18
Jul
10

Ujian kesenangan

Salam Samurai,

Disebutkan dalam hadits- hadits Rasulullah saw.:

1. “Selain Dajjaal lebih aku takuti atasmu dari dajjaal. Jika Dajjaal keluar dan aku berada di hadapan kalian, maka aku melawannya membela kalian. Tetapi jika ia keluar dan aku tidak di antara kalian, maka setiap orang membela diri sendiri. Allah akan melindungi setiap muslim. Dajjaal adalah pemuda berambut keriting, mata (kirinya) menonjol, seperti saya umpamakan dengan Abdul ‘Uzza bin Qathan. Siapa yang menjumpainya, maka bacalah awal surat al-Kahfi. Dajjaal akan keluar di antara jalan Syam dan Irak. Berjalan membuat kerusakan di kanan dan di kiri. Wahai hamba-hamba Allah, tetap teguhlah (pada ajaran Islam).” (HR Muslim)

2. “Setiap negeri pasti didatangi Dajjaal, kecuali Mekkah dan Madinah.” (HR Muslim).

3. “Mengikuti Dajjaal 70 ribu orang-orang Yahudi dari Asbahan yang memakai topi.” (HR Muslim).

4. “Setiap Nabi pasti memperingatkan kaumnya dengan si buta pendusta. Ingatlah bahwa Dajjaal adalah buta, dan Rabb kalian Azza wa Jalla tidak buta. Dajjaal ditulis di antara dua matanya k f r (kafir).”
(Muttafaqun alaihi).

5. “Maukah aku ceritakan berita tentang Dajjaal, sesuatu yang pernah diceritakan setiap nabi pada kaumnya. Dajjaal adalah buta, dia datang dengan sesuatu seperti surga dan neraka. Apa yang dikatakan surga adalah neraka.” (Muttafaqun ‘alaihi).

6. “Dajjaal akan muncul pada umatku, maka ia hidup selama 40 (saya tidak tahu apakah 40 hari, atau bulan atau tahun). Kemudian Allah mengutus Isa bin Maryam, ia seperti Urwah bin Mas’ud. Maka Isa as. mencari Dajjaal dan menghancurkannya. Kemudian Isa tinggal bersama manusia 7 tahun, tidak akan terjadi permusuhan di antara dua kelompok.” (HR Muslim).

7. “Perang besar, pembukaan kota Konstantinopel dan keluarnya Dajjaal (terjadi) dalam 7 bulan.”
(HR Ahmad, Abu Dawud, At-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Di atas aku senaraikan beberapa hadith berkenaan dajjal. Pertiswa dajjal adalah satu peristiwa yang perlu diambil iktibar oleh semua masyarakat Islam dan pejuang-pejuang Islam. Kalian semua boleh membacanya juga kisah dajjal ini di dalam kitab Riadhatul Solihin Jilid 2 jika tidak silap saya.

Aku ingin memaparkan hadith berkenaan dajjal ini kerana menginsafi apa yang telah aku sebut dalam usrah mahasiswa tadi. Dalam penyataan aku, kita hari ini bukan sekadar berhadapan dengan ujian kesusahan. Kadang-kadang ujian kesusahan membuat kita lebih semangat untuk berjuang. Namun, ujian yang paling besar bagi kita ialah ujian kesenangan. “Ujian Kesenangan seperti Ujian Dajjal!” kerana membuat kita takut untuk meletakkan pergantungan pada Allah. Semua rezeki adalah dari perkerjaan yang kita tumpukan. Sehingga takut untuk menjadi susah, apabila tidak beriman dengan dajjal/kesenangan

Wallahualam, sekadar perkongsian ringkas.

16
Jul
10

berjuang dengan cita-cita

Salam Samurai,

Kita baru sahaja melalui musim Mesyuarat Agung. Mesyuarat Agung atau muktamar yang merupakan tempat kita bermuhasabah, berbincang, dan menginsafi diri adakah kita benar-benar berjuang dalam menegakkan agama Allah yang suci ini.

Aku dijemput untuk berucap dalam beberapa majlis perasmaian muktamar dikalangan anak-anak muda yang pejuang ini. Seperti biasa, aku akan cuba berkongsi pengalaman dan pengetahuan sebaik yang mungkin bagi membina semangat mereka dalam mengurus dan mengemudi perjuangan suci ini.

Beberapa nasihat aku cuba lontarkan kepada mereka yang sentiasa ingin melihat organisasi dakwah ini berjalan dengan baik. Antara yang membuat sebuah jemaah/organisasi/gerakan itu kuat amat tergantung kepada tiga perkara;
a. Sifat kekitaan diantara ahli kumpulan
b. Nilai Keagamaan dikalangan ahli kumpulan
c. Bilangan ahli yang ramai

Seharusnya sebuah ahli Gerakan Islam membina nilai kekitaan yang tinggi dikalangan mereka. Perasaan kebersamaan dalam segala gerak kerja akan membuat mereka semakin bersemangat dalam melaksanakan tugas. Perasaan ini akan membuat kita terasa “aku tidak berseorang dalam melaksanakan tugas dakwah ini”. Namun, ini tidak bermaksud kita bersifat “ketaksuban berkumpulan” dengan menafikan hubungan dengan orang lain. Sifat kekitaan/ukhuwah ini amat menitik beratkan kita adalah unity(bersatu) dalam melaksanakan segala gerak kerja jemaah.

Maka adab untuk mengekalkan sifat kekitaan dalam jemaah itu perlu dijaga dengan baik. Jangan ada dikalangan kita ini meletakkan kepenting diri sendiri lebih penting daripada kepentingan jemaah. Apabila kita meletakkan kepentingan diri sendiri lebih utama daripada kepentingan jemaah, ia akan mewujudkan rasa kecewa, sedih, ketidakpuasan hati atau marah sehingga merenggangkan hubungan dikalangan ahli jemaah. Bukan bermakna kita menafikan kepentingan diri, tetapi adab-adab untuk meraikkan kawan ketika kita berhadapan dengan masalah perlu dijaga supaya tidak berlaku rasa tidak selesa dikalangan ahli jemaah.

Sifat kekitaan juga amat bergantung dengan kepercayaan dan ketaatan kepada kepimpinan sebuah jemaah/organisasi. Hanya dengan kepercayaan kepada kepimpinan sahaja akan membuat kita terus mendokong agenda jemaah dengan rasa bersungguh dan bersemangat. Segala idea yang dibentangkan tidak akan dapat dilaksanakan jika masing-masing tidak meletakkan ia sebagai tangungjawab bersama antara pimpinan dan pengikut. Rasa kasih sayang diantara pemimpin dan pengikut ini seharusnya dijaga dan diusahakan bersama, bukan sahaja pengikut perlu wujudkan rasa kasih dan sayang kepada kepimpinan tetapi pemimpin juga perlu berperanan mewujudkan suasana rasa cinta antara pimpinan dan pengikut.

Sebuah organisasi ini tidak mungkin akan terus bertahan dengan sifat kekitaan ataupun rasa tanggungjawab untuk mengekalkan kesejahteraan sebuah organisasi jika setiap ahli jemaah tidak kira pemimpin atau pengikut tidak meletakkan nilai agama sebagai panduan hidup. Hanya dengan nilai agama manusia akan terus hidup dalam berbuat kebaikan dan meninggalkan kejahatan yang merosakkan diri seterusnya mewujudkan perasaan prasangka. Begitulah perjalanan setiap tamadun, apabila sudah hilang perrasaan untuk berlaku kebaikan, pelbagai perkara jahat akan melanda tamadun tersebut dan rasa hormat antara satu sama lain akan hilang dan seterusnya membawa kemusnahan tamadun. Hanya agama dapat menyelamatkan kita!

Perkara yang tidak dapat dinafikan, sebuah negara yang kuat amat bergantung dengan rakyatnya yang ramai. Zaman Umar Al-Khattab antara zaman kegemilangan Islam kerana jumlah negara yang dikuasai umat Islam begitu luas, dan membuat Islam itu bertambah kuat dan utuh. Begitu juga, apabila sebuah negara Islam madinah diwujudkan oleh Nabi Muhammad S.A.W dibuka. Islam dilihat semakin kuat mencengkam. Islam dikujungi untuk mereka melihat keizzahan Islam itu sendiri. Begitu juga sebuah organisasi gerakan Islam. Keahlian yang ramai atau kuantiti ahli yang ramai adalah sebahagian kelebihan yang boleh dibanggakan untuk kita gerakkan sebuah jemaah. Walaupun dari segi kuantitinya ada yang pelbagai, tetapi gerakan kerja akan lebih bertambah dengan pembahagian tugas yang bijak. Namun, pada masa yang sama kita terus membina keahlian kita dengan nilai-nilai murni untuk menjadi hamba yang taat kepada perintah Allah S.W.T. InsyaAllah, perjuangan ini akan subur dengan kualiti ahli hebat dan kuantiti ahli yang ramai. Maka kita kena mengorak langkah dalam mendapat keahlian yang ramai untuk mereka dekat dengan perjuangan Islam.

Seterusnya apabila kita memperkemaskan kekuatan organisasi kita, kita perlu menilai kembali gerak kerja dakwah kita. Supaya gerak kerja kita dakwah kita sentiasa dalam pemerhatian untuk mendapat keberhasilan yang maksimum. Aku lebih suka untuk kita melakukan kerja yang kita sendiri telah nampak akan hasilnya. Bak kata orang putih “Begin with end in mind”. Kita dapat melihat bagaiman optimisnya Nabi dalam melakukan segala gerak kerja jemaah. Sebagai contoh bagaiman Rasulullah membuat keputusan di Perang Uhud, Nabi membuat keputusan untuk bertahan di luar madinah atas pendapat untuk dapat berpatah balik mempertahankan madinah apabila mereka kalah. Begitu juga optimisnya nabi dengan menjanjikan gelang tangan raja parsi kepada Suraqah walaupun masih belum sampai ke Madinah. Janji Nabi akan terbuka Kota Constantinople oleh Sultan Muhammad al-Fateh. Semua berjalan dengan melihat hasilnya di masa hadapan.

Begitu juga sebuah gerakan Islam yang berjalan, kita seharusnya bertindak dan bergerak dengan meletakkan apa yang kita jangkakan akan tercapai dan hasilnya yang boleh dicapai bila kita berbuat demikian. Ini bagi mengelakkkan dari melakukan kerja yang sia-sia dan hilang dari fokus untuk melaksanakan tugas. Aku mencadangkan kepada anak-anak muda ini untuk bertindak dengan kaedah blue ocean strategy iaitu;

1. E- eliminate: hentikan segala gerak kerja yang tidak mendatangkan hasil, yang tidak membawa kesan yang baik kepada jemaah.
2. R- reduce: segala gerak kerja yang kurang memberi manfaat perlu dikurang supaya tugas gerak kerja kita akan terfokus kepada perkara yang lebih utama dimana dapat memberi yang lebih baik kepada jemaah.
3. I- Increase: Tumpukan gerak kerja kepada perkara yang memberi manfaat yang besar kepada jemaah. Apa-apa tindakan yang dapat membantu jemaah maju kehadapan perlu diberikan perhatian lebih, malah perlu lebih istiqamah untuk mencapai objektif yang telah digariskan.
4. C- Create: Cipta satu formula baru untuk meningkatkan lagi taraf kehebatan jemaah. Pergerakan sebuah organisasi atau jemaah akan melalui tiga peringkat iaitu;
a. formative period
b. growth period
c. matured period
(Teori ERIC)

Jemaah yang baru bergerak akan memulakan gerak kerja mereka untuk mencari formula baru bagimana untuk menggerakkan gerak kerja perjuangan. Apabila mereka telah menemui formula baru dalam mengerakkan jemaah, yang akan sampai kepada growth period iaitu membangun dengan formula/manhaj/sistem yang mereka gunakan. Di period ini juga mereka akan memperbaiki manhaj sedikit demi sedikit bagi memastikan perjalanan jemaah menetapi keadaan massa. Pengalaman yang mereka lalui akan membuat mereka mantang dalam meneruskan perjuangan. Istiqmaah dalam mengikut formula yang mereka temui akan membuat mereka lebih matang untuk berhadapan dengan masalah dan kesusahan. Meraka akan kuat dalam berhadapan dengan pelbagai gerakan diperiingkat global. Namun begitu, sebuah gerakan Islam tidak boleh rasa lega dan senang diperiod matured ini kerana setiap pesaing sentiasa berusaha untuk terus maju kehadapan. Maka bagi memastikan kita sebuah jemaah yang paling menonjol kehadapan kita tidak terlepas untuk mencari formula baru dan membangunkan formula baru supaya jemaah kita akan terus berada dalam pasaran persaingan global. Jika tidak kita pasti akan ketinggalan. Yang pasti setiap jemaah mesti sentiasa dalam keadaan musahabah dan tidak sentiasa senang dengan setiap kejayaan yang telah kita kecapi.

Kita dapat lihat bagaimana Islam maju kehadapan suatu ketika dahulu. Formula baru bagi mengubah umat Islam kita dulu telah dibawa oleh Nabi Besar kita Muhammaad S.A.W. Mengubah masyarakat dan memabangunkan masyarakat. Kemudian usaha ini diteruskan oleh Khalifah Pertama Abu Bakar As-Siddiq. Beliau terus meneruskan perjuangan Nabi kita, dan tidak mengubah hatta sedikitpun segala dibawa oleh Islam. Saidina Abu Bakar menjadi orang yang paling faham dengan formula Islam. Sehinggalah dalam isu memerangi golongan munafik yang tidak mahu bayar zakat walaupun mereka solat berjemaah.

Namun, Islam tidak hanya begitu. Umar Al-Khattab telah memberi beberapa nafas baru bagi menyesuaikan keadaan umat ketika itu. Dengan keadaan umat yang semakiin besar jumlahnya maka pelbagai kaedah pengurusan yang cekap telah dibawa masuk oleh Umar Al-Khattab bagi memastikan Islam adalah yang terbaik. Dan ini lah kehebatan yang ditunjukkan oleh khalifah Islam. Begitu jugalah kita membawa gerakkan Islam ini bagi mewujudkan sebuah daulah islamiyyah. Kita tidak boleh berada dalam keadaan kaku dan statik tanpa perubahan untuk membawa kebaikan kepada umat ini dan agama ini.

Mungkin contoh ini lebih memberi kejelasan kepada semua. Kita melihat bagaiman Air Asia memulakan pengunaan formula ini. Sebagai contoh;
a. E- Air Asia tidak menyediakan makanan dan minuman dalam penerbangannya. Jika mahu minum sila beli!
b. R- Air Asia telah mengurangkan penggunaan tiket, dengan menggalakan mereka membeli secara online.
c. I- Air Asia telah menambah tempat duduk dalam kapal terbangnya. Hingga kita duduk pun tak selesa. Janji murah!
d. C- Air Asia tidak bersaing dengan penumpang kapal terbang MAS, walaupun ada sikit-skit. Tetapi tumpuan baru/idea baru Air Asia adalah mendapatkan penumpang bas. Kadang-kadang harga Air Asia lebih murah dari tambang bas dari Perlis ke Kuala Lumpur.

Opss.. hamba ada mesyuarat la pulak. Tidak dapat nak teruskan. InsyaAllah, semoga penulisan ini dapat mberikan manfaat kepada semua yang mewakafkan kehidupan ini kepada perjuangan agama Allah S.W.T

14
Jul
10

coretan bersahaja

Salam Samurai,

Sebelum aku menulis artikel ini, sudah beberapa kali aku cuba menulis di blog ini. Namun, aku menemui kegagalan. Aku seolah-olah hilang tumpuan kerana terlalu banyak perkara di dalam kepala. Kadang-kadang aku seperti tidak punya perasaan dan aku tidak dapat menilai sendiri adakah hati ini;

a. gembira
b. sedih
c. semangat
d. ceria
e. marah

Bila keluar menunaikan tanggungjawab dakwah, aku begitu bersemangat. Melaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab atas amanah yang diberikan. Tetapi, bila aku pulang ke rumah ataupun sedang melaksanakan tugas aku begitu sedih melihat rumah, anak, dan isteri. Aku seperti tidak tahu bagaimana kesudahan keluarga yang aku pimpin ini. Sekali sekala membuat aku teramat sebak melihat anak yang sentiasa merindui aku. Setiap malam dia akan tidur diatas badan aku seolah-olah tidak membenarkan aku meninggalkanya. Melihat isteri, aku seperti tidak mampu berkata apa-apa. Aku langsung tidak sempat menanyakan khabar senang susahnya beliau berjuang di hospital. Melihat dirinya keletihan, aku bertambah letih, sampai bila aku harus begini. Hari-hari aku mencari formula terbaik untuk keluarga ini.

Perjalanan pejuangan ini semakin hari semakin menemui kesusahan dan kesukaran. Membuat aku bertanya, mengapa tiada kesudahan walaupun hari-hari kita bekerja untuk itu?! Setiap hari, amanah tidak pernah berkurang, malah bertambah. Apabila kita semakin faham, semakin banyk beban dakwah ini tertanggung.

Baru-baru ini diminta ke Kuala Lumpur bersama dengan beberapa sahabat bagi menghadiri seminar tarbiyyah peringkat Pusat. Kami diamanahkan oleh pimpinan untuk lebih serius melaksanakan tarbiyyah peringkat pemuda. Setelah aku pulang dari belajar, semakin banyak agenda tarbiyyah aku belajar untuk dilaksanakan. Kalau zaman belajar aku hanya hidup untuk bersama-sama membangunkan mahasiswa apabila pulang ke sini aku diminta untuk bersama para pelajar, dan setelah pulang dari Kuala Lumpur kami di arah untuk laksanakan tarbiyyah dikalangan pemuda dipelbagai peringkat.

Ia merupakan tanggungjawab baru yang perlu dilaksanakan, pelbagai persoalan timbul. Di manakah harus kita perlu bermula? Pemuda yang terdiri dari mereka yang berumur 18-40 tahun, yang mempunyai pelbagai latarbekalang. Ada dikalangan mereka adalah profesional, ustaz, dan orang biasa. Sudah pasti, ia merupakan permulaan yang sukar disebabkan pakej yang amat pelbagai. Untuk memahami mereka bukan suatu perkara yang mudah. Ada dikalangan mereka egonya tinggi, ada dikalangan mereka langsung tidak memahami erti tabiyyah namun bersemangat dalam melaksanakan tugas dakwah ini.

Beberapa penekanan yang diminta oleh pemuda dalam menggerakan tarbiyyah dikalangan seluruh peringkat jentera pemuda. Tarbiyyah yang dibahagikan oleh pemuda kepada tiga;

a. Tarbiyyah Zikir- membina rohani dalam menghayati kekuasaan Allah S.W.T
b. Tarbiyyah Ilmu- mendalami ilmu-ilmu Islam bagi melaksanakan agenda dakwah
c. Tarbiyyah amal- membangkit kekuatan untuk beramal dengan segala amalan wajib dan sunat dikalangan pemuda

Pembentangan-pembentanga kertas kerja ini, banyak membuat aku berfikir jauh. Pelbagai golongan tarbiyyah telah aku tempuhi, namun aku banyak meninggalkan untuk tarbiyyah diri sendiri. Aku terasa terlalu juah dalam perjuangan ini. Dalam kesibukkan dakwah, hingga lupa untuk tanggungjawab mentarbiyyah diri sendiri. Bagaimana Quran-ku, Zikir-ku, Amal-ku dan Ilmu-ku. Sepatutnya semakin banyak kita berjuang, semakin banyak amal kita. Begitulah keadaan para sahabat Nabi S.A.W. Yang berlaku pada aku sebaliknya. Dimanakah silapnya?! Aku begitu tersentuh dengan isi yang dibentangkan oleh penceramah. Aku seharusnya melaksanakan tanggungjawab. Bukan sekadar dakwah/tarbiyyah orang lain, tetapi lebih kuat membina/mentarbiyyah diri. Kalau Islam gagal menerima kemenangan ditangan kita, Allah tidak akan menghukum kita, tetapi diri ini gagal menerima kemenangan sebagai seorang beriman, Allah pasti memurkai kita.

Bangunlah wahai diri ini, si hamba kepada tuhan-nya.

27
May
10

Motivasi Remaja Cemerlang-2

Salam Samurai,

InsyaAllah, dalam masa terdekat ini akan berlangsung satu program remaja yang telah dirancang secara bermodul dan tersusun dibawah program Tarbiyyah Remaja Negeri Perlis pada 30 Mei 2010. Kali ini kami dari team tarbiyyah remaja akan mengenengahkan dua tajuk penting bagi program ini. Berikut adalah tajuk yang bakal diketengahkan;

1. Modul Habit Remaja Efektif-2: Proaktif
2. Modul Remaja Muslims-2: Remaja dari Sudut Ibadah

Aku bercadang untuk menerangkan serba sedikit berkenaan tajuk proaktif versi remaja ini InsyaAllah. Remaja merupakan anak-anak yang perlu dibimbing dengan baik, kerana mereka adalah satu golongan yang mudah belajar dan ingin belajar. Jika kita mengabaikan keinginan ini, mungkin mereka akan belajar perkara-perkara yang salah.

Keinginan yang mereka ada perlu di aruskan dengan betul pada arah yang tepat dan betul. Semangat yang mereka ada perlu diaruhkan dengan aruhan yang betul supaya semangat mereka dapat dijanakan pada tempat yang sepatutnya.

Kadang-kadang aku terasa amat gembira melihat anak-anak yang semangat ini, ada dikalangan mereka begitu konsisten bersama program kami, walaupun aku sedar dikalangan mereka adalah mereka yang suka merokok. Sehingga menyebabkan aku begitu sebak, mengapa tidak lebih awal aku bertemu mereka untuk membimbing sebelum mereka terjebak dengan aktiviti tidak baik itu. Dikalangan mereka telah mula merokok pada umur 10-12 tahun, sehingga mereka tidak mampu lagi meninggalkannya. Itulah keluhan hati kecil mereka semasa kami mengendalikan program-program remaja ini.

PROAKTIF

Water vs Air Soda
Proaktif adalah satu sikap/habit yang bertentangan dengan sikap Reaktif. Sifat seorang yang reaktif adalah bagi mereka yang bertindak dengan “impulse” tanpa berfikir akan kesan dan akibat atas segala perbuatan kita. Contoh kita boleh lihat pada “air gas” seperti coca cola, bila digoncang ia akan bertindak memancutkan air colanya disebabkan gas yang ada dalam air tersebut.

Kesimpulan yang boleh dibuat kita akan bertindak disebabkan oleh suasana bukan lagi atas nilai yang kita fikirkan berfaedah kepada kita. Air tidak bertindak begitu, biar pun digoncang ia tetap sabar dan tenang. begitulah perumpamaan seorang yang proaktif dalam kehidupannya.

Jangan biarkan “remote control” kita berada ditangan orang lain. Mereka akan mengubah hidup kita sesuka hati kita. Kawalan diri semua adalah atas kuasa kita yang telah Allah s.w.t berikan kepada kita.

“maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya. sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.” [Asy-Syam: 8-10]

Bahasa
Bahasa budaya bangsa. Bangsa yang malas dapat dilihat dari bahasanya. Maka mengawal bahasa dapat memotivasikan diri kita. Kita perlu belajar bagaiamana bahasa dapat memberi nilai positif kepada seseorang. Berlaku dikalangan remaja bila melaksanakan sesuatu;

1. Kena buat kerja rumah
2. Kena kemas bilik
3. Kena pergi bersukan

Tetapi kita kena mengubah kepada bahasa yang lebih proaktif;

1. Saya mahu buat kerja rumah
2. Saya mahu kemas bilik
3. Saya mahu bersukan

Bahasa kita adalah lahir dari perasaan kita. Biarlah setiap perbuatan dibuat datang dari rasa hati yang tulus dan ikhlas. Bila kita melakukan dengan rasa cinta dan kasih, ia akan memudahkan kita menanggung tugas tanpa rasa jemu dan letih insyaAllah. Ubahlah bahasa anda, supaya cinta pada pekerjaan itu wujud dalam diri kita.

Jika 10,000 kali kita kata sayang dan cinta pada seseorang mampu membuat kita jatuh cinta padanya. Apa tidaknya pada pekerjaan dan tugas kita pastikan akan membuahkan cinta kerana bahasa kita akan memotivasikan rasa cinta pada pekerjaan kita.

Circle of No Control vs Circle of Control

Dalam kehidupan kita sebagai remaja, tidak semua berada dalam pengawalan kita. Namun, ada satu perkara yang Allah memberi kebebasan untuk kita kawal dan tidak ada orang lain yang mampu mengawalnya selain kita iaitu “RESPON”. Bagaimana kita bertindak dengan setiap perkara yang berlaku kepada diri kita. Tindakan yang baik akan memberi manfaat kepada diri kita sebagai seorang remaja, tindakan yang buruk akan membawa kebinasaan kepada hidup remaja.

Kita tidak dapat mengawal pengaruh kawan terhadap diri kita untuk berbuat kejahatan tetapi kita ada kuasa untuk mempertahankan diri dari terjebak dan menyelamatkan mereka dari terus dalam kerosakan. Semuanya adalah pilihan kita untuk bertindak dan tiada seorang pun yang berkuasa mempengaruhi keputusan dan tindakan kita. “Choose your Best Choice!”

Di sini lah kita akan belajar mengambil tangunggjawab atas segala tindakan kita. Kita bertanggungjawab tanpa menyalahkan segala yang berlaku kepada orang lain. Dengan perasaan dan rasa tanggungjawab begitu kita akan sentiasa membuat perubahan pada diri sendiri untuk mencapai kebaikkan untuk diri kita sendiri.

“Sesungguhnya Allah tidak akan merubah suatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah Ar-Ra’du ayat 11)

Bertanggungjawablah & Berubahlah!

Binalah diri kita dengan tindakan yang berdasarkan nilai-nilai hidup yang murni berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Jangan sesekali kita bertindak berdasarkan emosi, nafsu, dan akal semata-mata. Iringilah emosi, nafsu dan akal kita dengan keimanan kepada Allah S.W.T.
YOU CAN DO IT!

Hanya dengan “Button Pause”
Proaktif banyak mengajar kita bertindak dengan kesabaran. Bersabar memberi peluang untuk kita berfikir sebelum bertindak. Bukan bertindak kemudian berfikir kerana ia menanti banyak kerugian dan kesedihan.

“Sesungguhnya Allah bersama orang yang bersabar.”- [Al-Baqarah: 153]

Semasa kita menekan butang pause, perlulah kita menggunakan alat-alat tersebut untuk membuat keputusan bagi kebaikkan diri kita. Bukanlah bersabar itu sekadar menyerah tanpa sebarang tindakan dan perubahan. Berikut adalah alat-alat yang ada semasa proses bersabar berjalan;

1. Kesedaran Diri-Aku bisa berdiri terpisah dari diriku sendiri dan mengamati fikiran dan tindakan
2. Hati Nuraini-Aku bisa mendengar suara hati saya untuk mengetahui benar dan salah
3. Imaginasi- Aku dapat membayangkan kemungkinan/kebolehan baru
4. Tekad- Saya mempunyai kekuatan untuk memilih

Bersabarnya Nabi Muhammad S.A.W dalam perjuangan Islam, tidak terus mencari syahid di Makkah. Tetapi memperkembangkan dakwah ke Taif, Habsyah dan akhirnya ke Madinah sehingga berkembangnya Islam disana. Sabar bukan bermaksud menyerahkan Islam itu ditindas tanpa pembelaan, tetapi Nabi kita merancang bagai mana untuk kemenangan Islam.

Sekadar itu sahaja perkongsian kali ini, insyaAllah idea-idea yang limpahkan pada artikel kali ini akan aku bawa ke program Motivasi Remaja Cemerlang Siri kedua anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Kawasan Kangar. Taniah diucapkan kepada Pemua PAS kawasan Kangar kerana menjadi kawasan pertama yang menganjurkan program siri kedua ini. Teruskan usaha bagi memastikan anak-anak remaja kita dapat bersama dengan program kita ini. InsyaAllah, ia akan memberi manfaat kepada peserta dan urusetia sekalian. Takbir!

20
May
10

hati ini milik dakwah

Salam Samurai,

Alhamdullilah, bersyukur kehadrat Ilahi kerana masih memberi peluang untuk aku menulis diruangan yang sudah lama sunyi ini. Banyak perkara yang ingin dikongsi, namun kesempatan sentiasa dicemburi. Seminggu aku kesibukkan dalam urusan pejabat dan ditambah pula banyak program pembangunan mahasiswa digerakkan menyebabkan aku agak terlalu berada dalam kesepitan untuk menulis.

Seminggu tidak berfikir untuk jemaah, kadang-kadang ia mendatangkan kegelisahan dalam hati kerana terlalu banyak gerak kerja jemaah berada dalam tangan aku tidak dapat dilaksanakan sewaktu aku berada dalam kesibukkan ini. Banyak agenda-agenda dakwah dan tarbiyyah telah aku swastakan kepada wakil-wakil yang sepatutnya seolah-olah aku melepaskan tangan. Seminggu ini banyak membuat aku termenung sehinggalah ke hari ini, dan aku membuat keputusan untuk memulakan langkah pertama dengan melaksanakan usrah perkaderan pelajar setelah seminggu kaki aku terpaksa terikat dek kesibukan pekerjaan.

InsyaAllah, aku masih kuat untuk terus berpengang dengan kalimah yang sering diserukan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ” Kerja buat utama kita adalah dakwah, menegakkan hukum Allah di muka bumi ini, mencari sumber rezeki adalah keperluan hidup untuk kita beribadah dan meneruskan agenda ini.”

Masih banyak perkara yang tidak dapat aku selesaikan dalam seminggu dua ini. Masalah bagi mendapat orang gaji dirumah juga masih belum dapat diselesaikan. Kadang-kadang, aku tidak tahu bagaimana untuk menguruskan kehidupan yang serba serbi dalam kesibukkan ini. Mungkin inilah beban tanggungjawab sebagai seorang hamba sekaligus merangkap sebagai khalifah Allah dimuka bumi ini. Penuh dengan amanah dan tanggugnjawab, sehingga menuntut kepada “competency & integrity” diri.

Kemenangan Pakatan Rakyat di Sibu

Alhamdullilah, bersyukur kepada Allah dengan kemenangan Pakatan Rakyat yang telah diberikan-Nya. Bagi aku kemenangan tersebut merupakan tanda yang besar kepada perkembangan Islam di Sarawak. Adakah sejarah akan kembali berulang?!

Minggu lepas aku disibukkan dengan beberapa siri ceramah, kali ini aku banyak membawa tajuk Sejarah Gerakan Islah dan Tajdid. Aku menghuraikan perjalanan dakwah para Rasul bermula gerakan tajdid yang dipelapori oleh Nabi Nuh A.S sebagai Rasul Pertama sehinggalah perjuangan PAS di Malaysia.

Apabila kemenangan Pakatan Rakyat di Sibu, Sarawak membuat aku terkenang perkembangan Islam di India melalui pemerintahan kerajaan monggol yang menjajah negara-negara umat Islam. Jarang-jarang berlaku didalam sejarah sebuah kerajaan menjajah menganut agama penduduk yang dijajah, malah menjadi kekuasaan yang kuat sehingga membuka kerajaan Islam di India. Itulah kehebatan Islam.

Kita mengharapkan melalui DAP, Islam akan sampai dengan baik di bumi Sarawak. Semoga Allah memberi kebaikkan pendekatan yang diambil ulamak-ulamak kita dapat memperkembangankan Islam. Mungkin ramai yang memandang sinis pendekatan tahaluf siasi yang diperjuangkan oleh para Ulama’ kita, tetapi percayalah kejayaan yang ditunjukkan oleh sejarah boleh kita jadikan iktibar bagi memenangkan Islam. Apa yang membuatkan aku risau ialah masih ramai dikalangan bangsa Melayu yang tidak dapat melihat kebaikkan dan jalan yang telah kita pilih bagi kemenangan Islam ini.

Membaca

Membaca adalah kekuatan untuk kita membina keperibadian dan kemampuan diri dalam memperkembangankan idealisma yang benar dan sahih. Alhamdullilah, dipertengahan bulan 5 aku telah selesai membaca buku Sirah Nabawiyyah Ibn Hisyam yang telah dicetak sebanyak 4 jilid. Sudah lama aku mendengar dari para Ulama’ berkenaan tanggungjbawa membaca buku ini. Ia merupakan buku fundamental sirah yang perlu diketahui oleh masyarakat kita. Mungkin dikalangan kita sudah biasa membaca buku Fiqh Sirah Ramadhan al-Butti, Fiqh Harakah Tuan Guru Haji Hadi Awang, dan lain-lain lagi. Kebanyakkan buku tersebut membuat huraian-huraian atau ibrah yang terkandung dalam perjalanan sirah.

Namun, perbezaan yang ada dalam buku Sirah Nabawiyyah Ibn Hisyam adalah Ibn Hisyam hanya mengemukan rentetan perjalanan Sirah Nabi tanpa menguraikan ibrah disebalik kisah tersebut. Walaupun begitu buku 4 Jilid tersebut cukup tebal. Sudah tentu, Sirah Nabawiyyah tepu dengan kisah-kisah perjalanan hidup Nabi Muhammad S.A.W. Saya mengharapkan sahabat-sahabat mengambil kesempatan ini untuk mendalami ilmu Perjalanan Perjuangan Nabi S.A.W.

Setiap kali aku bersama kader-kader dakwah dikalangan mahasiswa, aku sering mengingatkan mereka untuk mendalami ilmu-ilmu sejarah kerana sejarah mengajar kita bagaimana untuk kita meneti perjalanan dakwah yang sukar ini. Dan aku tidak jemu berpesan untuk mereka mendalami ilmu-ilmu yang berat, kerana mereka adalah kader dakwah malah mereka adalah mahasiswa yang bakal memimpin umat ini. Menjadi kemalangan yang besar kepada kader kita hanya mahu belajar yang ringan sahaja, sedangkan umat ini masih jauh untuk dipimpin.

Syukur kepada Allah, Allah masih memberi peluang untuk aku mengkaji sebuah lagi buku bertajuk MUKHADIMMAH hasil kajian dari Ulama kita iaitu Ibn khaldun. Semoga aku dapat manfaat dari kitab yang tepu dengan ilmu ini. InsyaAllah, jika diberi peluang aku akan cuba berkongsi dengan semua.

Sekian, wassalam.




KEMBARA HIDUP

Modeling the Conscience, Pathfinding the Vision, Aligning the Discipline, Empowering the Passion!
"Keep your mind open to change all the time. Welcome it. It is only by examining and reexamining your opinions and ideas that you can progess. All of you were given two great gifts- your mind and your time. It is up to you to do what you please with both. You and only you have the power to determine your destiny. The choice is yours and only yours."
June 2017
S S M T W T F
« Mar    
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930

Archives

  • 58,166 guests

Categories