Author Archive for samuraisyahid

26
Oct
09

Ilmu Pengeluaran

Salam Samurai,

Alhamdullilah, aku masih diberikan kesempatan untuk menulis pada hari ini. Keinginan itu sentiasa ada, tetapi masa agak terhad untuk aku berbuat demikian. Aku dalam proses menghabiskan pembacaan dua kitab yang aku sebut pada minggu lepas. Bulan 10 hampir meninggalkan aku, tetapi masih belum dapat menghabiskan buku yang sepatutnya aku dalami.

Hari ini aku ingin berkongsi sekali lagi tulisan dari buku Fiqh Ekonomi tulisan Tuan Guru Yusof Al-Qardhawi berkenaan Pengeluaran dalam Islam. Menjadi kebiasaan bagi kita, bila disebut soal pengeluaran pasti kita akan mengaitkannya dengan kapitalis, atau sosialisme. Kapitalisma yang mengamalkan keuntungan secara individu sehingga mengabaikan hak-hak orang lain. Manakala sosialisma yang mengabaikan hak-hak individu dalam hal-hal meterial dengan memindahkan hak milik individu kepada kerajaan. Sebenarnya, sektor pengeluaran telah bermula sejak Nabi Adam diciptakan.

Aku tertarik dengan huraian Tuan Guru berkenaan kunci kejayaan dalam membina sektor pengeluaran. Pada pandangan Tuan Guru, faktor yang mengembangkan sektor pengeluaran ialah;

1. Ilmu pengetahuan yang diasaskan pada pemikiran dan penggunaan akal yang dianugerahkan oleh Allah secara istimewa kepada manusia.

Terlalu banyak ayat-ayat Quran yang menyentuh berkenaan alam bagi membantu manusia untuk “explore” sektor pengeluaran. Al-Quran menyentuh soal biologi, haiwan, geologi, geografi, tumbuh-tumbuhan, falak, laut dan lain-lain lagi. Ia amat membantu umat manusia mengkaji dan meningkatkan lagi produktiviti dalam sektor pengeluaran. Aku amat tertarik dengan satu ayat Quran dalam surah Faathir:28 bermaksud;

“Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah Ulama”.

Ramai yang gagal memahami maksud sebenar maksud ini. Malah ada dikalangan ustaz-ustaz salah menghuraikan ayat ini. Menurut Tuan Guru, perkataan ulama’ pada ayat di atas bermakna ulama’ dalam bidang ilmu pengetahuan alam, tanda-tanda alam, rahsia alam, dan keindahan alam. Ia bukanlah di fokuskan kepada ilmu agama sahaja sebagaimana yang difahami oleh majoriti umat Islam.

Malah hujah Tuan Guru ini di perkuatkan lagi dengan ayat Quran dari Surah ar-Rum:30 yang bermaksud;

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, ialah menciptakan langit dan bumi dan berlainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang yang mengetahui”.

Mungkin itulah kehebatan ulama’ terdahulu di zaman Khalifah Turki Uthmaniyyah. Mereka bukan sahaja menguasai bidang agama tetapi mendalami dan mengaitkannya dengan ilmu-ilmu dunia seperti matematik, falak, sains dan lain-lain lagi. Seharusnya para pelajar-pelajar muslim dalam bidang sains, matematik, engineering dan lain-lain merasa bangga dengan apa yang mereka belajar dan kuasai hari ini kerana mereka adalah sebahagian pejuang yang menampung keperluan umat. Kita adalah sebahagian daripada keseimbangan ekologi kehidupan umat. Maka menjadi tanggungjawab kita belajar bersungguh-sungguh menguasai segala ilmu yang berkaitan alam dan memanfaatkannya untuk agama dan umat. Dan perlu kita beringat bahawa ilmu pengetahuan yang kita pelajari hari ini adalah fardu kifayah. Selagi mana keperluan itu tidak mencukupi bagi umat Islam menjadi wajib kepada kita mempelajari dan menguasainya.

2. Usaha
Ilmu pengetahuan tidak akan memberi faedah kecuali diikuti dengan usaha yang berterusan di muka bumi untuk menggali isi kandungannya, memanfaatkan kekayaannya dan mencari rezeki Allah. Itulah yang ada pada nilai hidup orang Jepun. Bukan sekadar mereka menguasai ilmu tetapi usaha gigih yang diketahui umum oleh manusia di muka bumi ini. Bila kita kata Jepun, ramai akan mengagumi kesungguhan mereka dalam bekerja. Malah mereka begitu giat dalam dunia penyelidikan, sehingga barat juga menjadikan mereka sebagai rujukan. Kalau Barat melihat kualiti bukan masa bekerja, Jepun melihat kedua-duanya.

Pesan cikgu aku di Jepun, “Kalau Malaysia mahu maju seperti Jepun, mereka perlu bekerja 4 kali ganda dari orang Jepun”. Ia adalah keluhan dari seorang guru kepada pelajar-pelajar Malaysia bila mengetahui orang-orang Malaysia hanya bekerja 8 jam sehari.

Seterusnya aku ingin membetulkan cara kita berfikir berkenaan pengeluaran atau penghasilan produk. Pada hakikat penciptaan produk, kita hanyalah menggunakan bahan penciptaan Allah dan bukan kita yang menciptakan. Terhasilkan elektrik adalah penggunaan bahan penciptaan Allah untuk mendapatkan tenaga. Penciptaan fiber optik adalah explotasi bahan yang diciptakan oleh Allah iaitu wave. Maka, dalam soal pengeluaran tidak ada perkara yang perlu kita banggakan kerana kita hanya menggunakan bukan menCIPTA. Hanya Allah yang menciptakan dan manusia itu menggunakan bagi memudahkan lagi kehidupan manusia.

Sekadar itu sahaja perkongsian kali ini. Kesibukkan aku dalam membaca adalah membahagikan masa dalam membaca bacaan umum dan bacaan research. Semoga aku istiqamah dalam mendalami ilmu. Doakan semoga aku dapat menamatkan research dengan kadar segera bagi mendepani sektor pengeluaran buat umat. Sekian.

11
Oct
09

Sekitar ekonomi Islam

Salam Samurai,

Malam ini aku berseorangan di rumah. Anak dan isteri aku berada di kampung. Aku perlu berada di Penang pada keesokkan hari kerana perlu menghadiri “conference”. Setelah selesai “study” slide yang telah siap, aku cuba menyiapkan beberapa perkara yang melibatkan jemaah. Aku teringin sangat untuk berkongsi apabila bertemu dengan beberapa isu penting yang ditulis oleh Tuan Guru Yusof Al-Qardhawi dalam bukunya Fiqh Ekonomi. Walaupun aku masih dalam perjalanan membacanya, baik kiranya aku berkongsi apa-apa yang baik dari kandungan buku ini.

Dari pembacaan aku dalam buku tersebut aku amat tertarik dengan kesimpulan mudah dari Tuan Guru;
“Jika kesederhanaan dalam berbelanja dan penjimatan dalam menggunakan telah menjadi kebiasaan dan tradisi suatu bangsa, nescaya akan terkumpullah bagi mereka satu potensi kekayaan yang sangat besar. Masyarakat yang mengamalkan konsep ini merupakan masyarakat yang dewasa dan memiliki kefahaman yang matang dalam kehidupan”

Benarlah kata-kata Tuan Guru, ia adalah realiti kerosakan dalam masyarakat pada hari ini. Kehancuran, keganasan, kefakiran, serta berlakunya segala gejala jenayah pada hari ini benar-benar disebabkan masyarakat yang mementingkan diri sendiri. Mereka lebih melihat kehidupan dari sudut invidualistik berbanding kehidupan yang kolektif. Mereka lebih melihat kepada kehendak dari keperluan.

Walaupun Islam mengajar kita bersederhana, tetapi Islam tidak pernah menghalang keperluan dan keinginan manusia. Namun keinginan tersebut seharusnya mempunyai batas-batas keperluan. Di sini aku ingin berkongsi beberapa kaedah/pengurusan yang dianjurkan oleh Islam dalam kita menguruskan ekonomi.

Ekonomi Islam mempunyai beberapa ciri-ciri penting. Antara ciri utama ekonomi Islam adalah ekonomi yang bersifat Rabbani. Yang mana kita berekonomi dalam keadaan bertuhan. Meletakkan asas-asas akhlak Islam sebagai dasar kita berekonomi. Islam mengajar kita untuk hidup secara kolektif tanpa menafikan sifat manusia yang invidualistik. Islam juga mengajar untuk bersifat perikemanusiaan, dan tidak meletakkan kepentingan diri sebagai keutamaan hidup. Berakhlak dengan akhlak Islam dalam ekonomi adalah antara ciri utama ekonomi Islam. Sentiasa meletakkan kita dalam penguasaan Allah semasa kita menguruskan ekonomi dunia.

Yang paling menarik Islam tidak mengabaikan ciri-ciri manusiawi dalam berekonomi. Islam sentiasa memahami keperluan manusia dalam ekonomi. Maka Islam menyenarai keperluan-keperluan yang perlu didahulukan dalam kita menguruskan satu-satu institusi ekonomi samaada negara ataupun keluarga. Berikut adalah sifat-sifat ekonomi yang berciri manusiawi dalam Islam;

1. Keperluan pada makanan dan minuman
“Maka suruhlah salah seorang di antara kamu pergi ke kota dengan membawa wang perakmu ini, dan hendaklah dia lihat manakah makanan yang lebih baik, maka hendaklah dia membawa makanan itu untukmu” (surah al kahfi: 19)

Makanan dan minuman yang baik dan lazat adalah keperluan utama manusia, maka Islam menganjurkan kita menyediakan keperluan tersebut sebagai kepentingan utama dalam ekonomi manusia.

2. Keperluan pada pakaian dan perhiasan

” Hai anak Adam, sesungguhnya kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian yang indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. (surah al-A’araf: 26)

Manusia juga memerlukan kepada pakaian malah bukan sekadar pakaian tetapi pakaian indah dan terhias. Tidak menjadi kesalah untuk berhias bagi mengindahkan lagi keperibadian kita sebagai seorang muslim. Malah menjadi muslim yang kemas dan serba teratur adalah satu tuntutan. Yang sepastinya tidak cukup kita indah berpakaian di luar tetapi rohaninya kosong. Memenuhi keperluan zahir dan batin adalah sebahagian dari tuntutan dalam kita menguruskan ekonomi diri.

3. Keperluan kepada kenderaan

Dan (Dialah telah menciptakan) kuda, baghal, dan keldai agar kamu menungganginya dan menjadikannya perhiasan. Dan Allah menciptkan apa yang tidak kamu mengetahuinya. (surah an-Nahl: 8)

Malah Rasulullah S.A.W sendiri telah menyatakan salah satu punca kebahagian itu adalah kenderaan yang baik. Keperluan kepada kenderaan yang baik merupakan sebahagian dari tuntutan ekonomi sebuah keluarga, masyarakat dan negara. Malah menjadi kewajipan kepada sebuah negara menyediakan perkhidmatan kenderaan yang selesa untuk rakyatnya. Ia merupakan sebahagian tuntutan dalam ekonomi Islam, bukan membelanjakan pada perkara-perkara yang tidak sepatutnya seperti hiburan yang merosakkan.

Berikut adalah antara keperluan-keperluan yang memerlukan manusia berekonomi. Ia menunjukkan antara sifat ekonomi Islam itu adalah bersifat manusiawi. Namun menjadi amat malang sekali ada dikalangan umat yang bersifat zuhud tanpa memahami hakikatnya. Mereka menolak keperluan dalam berekonomi yang kononya bersifat duniawi dan manusiawi. Semua keperluan itu adalah keizinan oleh syarak supaya manusia menikmatinya. Cuma manusia perlukan bersifat seimbang dalam berekonomi dengan memahami tuntutan-tuntutan akhlak dalam Islam seperti pemurah, penyayang, bersimpati, dan lain-lain lagi.

Corak zuhud dalam Islam tidak pernah mengharamkan segala sesuatu yang baik atau menggagap remeh kehidupan duniawi atau menolak usaha ke arah penghidupan demi meningkatkan kemakmuran. Sebaliknya zuhud dalam Islam adalah usaha mengatasi syahwat dan kemewahan berlebihan. Zuhud itu bukan kita berjalan kaki, zuhud itu bukan kita berpakaian selekeh, zuhud bukan kita mengusutkan peribadi!!

Dan al-Quran tidak pernah mencela orang-orang yang menikmati kebaikan pada kehidupan dunia. Ia hanya mencela sebahagian orang yang menginginkan kehidupan dunia dan perhiasannya sepenuhnya dan mereka yang menjadikan dunia sebagai tumpuan perhatian terbesar.

Zuhud merupakan perkara yang lebih banyak berkait dengan kehendak rohani dibandingkan dengan kehendak fizikal. Jadikan kehidupan di dunia ditangan tetapi bukan di hati.

Semoga perkongsian ini dapat memberi sedikit manfaat kepada aku dan semua. InsyaAllah, kita akan berkongsi dilain hari. Sekian!

08
Oct
09

Pesanan Ketua Pemuda Kita

Salam Samurai,

” Keadaan semakin kritikal. Ramai ahli kita dipukul dan terbaru malam tadi Markas Pemuda PAS Pusat di Bagan Pinang telah diceroboh dan petugas di halau keluar. Demi Allah dengan nama jihad fisabillilah, ana selaku pemegang amanah DPPP mengerahkan seramai mungkin pemuda dari seluruh negara agar turun ke Bagan Pinang.”- Ustaz Nasaruddin Tantawi.

Keadaan semakin kelam kabut. Ketakutan pihak tertentu dengan pejuangan Islam telah membuat mereka bertindak ganas untuk memastikan taghut tertegak kembali. Semoga Allah memberi kekuatan kepada seluruh jentera untuk berhadapan dengan keadaan yang semakin celaru ini.

Harakah memaparkan gambar pejuang-pejuang Islam yang telah ditetak dengan begitu kejam sekali. Sekurang-kurangnya marilah kita berdoa kepada Allah S.W.T supaya pejuang-pejuang Islam selamat dari sebarang kejahatan syaitan-syaitan bertopengkan manusia ini.

08
Oct
09

Genap 3 bulan

Harith 3 months old

Harith 3 months old


Salam Samurai,

Malam ini aku cuba menggagahkan diri menulis setelah lama mendiamkan diri. Banyak perkara yang perlu diselesaikan, penulisan blog menjadi mangsa pengabaian. Hari ini aku menulis dari laptop baru yang diberikan oleh supervisor untuk memudahkan aku menjalankan research. Alhamdullilah, semoga ia dapat membantu aku menguruskan kerja dengan lebih baik. Banyak kegunaannya laptop ini selain daripada buat urusan research.

Hari ini anak aku Muhammad Harith sudah cukup 3 bulan umurnya semenjak dia dilahirkan pada 10/07/2009. Tetapi, aku merasakan dia baru disisi keluarga ini. Mungkin kesibukkan yang tidak mengizinkan kami bersama. Alhamdullilah, walaubagaimana pun sibuknya aku, Muhammad Harith pasti menunggu kepulangan aku. Jika dia tidur, pasti dia akan bangun untuk bermain bersama. Anak itu penyejuk hati.

Alhamdullilah Muhammad Harith tidak banyak ragam, tidur pun cukup dengan ribaan sebentar. Cuma kadang-kadang lewat malam baru tidur. Tak la kadang-kadang, boleh dikatakan kerap jugak. Sampai aku pun penat. Mungkin nak main ngan abinya. Namun begitu, bila dia telah tidur, esok pagi baru bangun. Minum susu pun dalam lena. Alhamdullilah, Allah mudahkan segalanya.

Yang bestnya Muhammad Harith ni, dia kerja senyum dan ketawa walaupun umur baru nak masuk 3 bulan. Dia juga banyak bercakap-cakap. Pantang ummi dan abinya ajak bersembang, ada sahaja modalnya. Perkataan yang suka diucapkan Muhammad Harith gugugugu. Maksudnya aku pun tak pasti. Sampai aku pun tak tahu nak cakap apa. Penting kita banyak bercakap dengan anak, supaya mereka cepat belajar kata zaujah aku. Anak-anak kecil ini banyak melihat gerak mulut kita untuk belajar bercakap.

Cuma yang merisaukan aku bagaimana untuk kami hadapi keadaan bila zaujah akan bekerja nanti. Dalam keadaan Muhammad Harith yang tidak banyak meragam, mungkin dia bisa mengikuti aku ke mana-mana sahaja. Semoga Allah terus memberi kekuatan kepada kami dalam mendidik Muhammad Harith. Jam telah menunjukkan 12:27 malam namun Muhammad Harith masih tidak mahu menidurkan dirinya. Seronok pula dia ajak kami menyembang, rindu kat abinya kot.

Aku pun tak larat dah nak tulis apa. InsyaAllah akan datang ingin aku berkongsi penulisan 2 buah buku yang sedang aku baca iaitu Fiqh Ekonomi tulisan Tuan Guru Yusof Al-Qardhawi, dan 360 degree leadership tulisan John Maxwell. Aku sebenarnya tgh mengqadhokan pembacaan yang tidak dapat aku tunaikan pada bulan lepas. InsyaAllah, ilmu pembacaan itu akan aku kongsikan di masa akan datang. Maafkan aku kerana agak lama menyepikan diri. Sekian.

17
Aug
09

kualiti hidup ini

Salam Samurai,

Sedarkah wahai pembaca, setiap detik yang pergi sebenarnya amat berharga buat kita. Walaupun sekali sekala kita biarkan ia berlalu begitu sahaja disebabkan keletihan yang amat sangat.

Aku sendiri mula rasa keletihan untuk menguruskan hidup ini. Hampir seminggu aku seolah-olah hilang semangat, tidak tahu kenapa. Memang hidup ini akan rasa begini kah, setelah kita berhari-hari berjuang untuk hidup?! Masing-masing kita mencari kualiti hidup supaya mencapai yang terbaik, tetapi kita lupa bahawa setiap hari kita mengejar kualiti hidup, kita menghampiri mati yang memusnahkan.

Hari ini aku seolah-olah tersedar dari keletihan, keletihan ini membuat aku lebih banyak berfikir melayang-melayang mencari semangat untuk kembali berbanding bertindak. Adakah suasana hari-hari membuat kita begini? Bolehkah kita menyalahkan keadaan? Hari ini juga aku mengulang-ulang lagu dibawah dengan niat aku perlu pulihkan kembali semangat hidup kerana Allah juga sebagai khalifah di muka bumi Allah yang ditanggung sejuta amanah.

Pergi Tak Kembali
Setiap insan pastikan merasa
Saat perpisahan terakhir
Dunia yang fana akan ditinggalkan
Hanya amalan yang akan dibawa

Terdengar sayup surah dibaca
Sayu alunan suara
Cemas di dada lemah tak bermaya
Terbuka hijap di depan mata

Selamat tinggal pada semua
Berpisah kita selamanya
Kita tak sama nasib di sana
Baiklah atau sebaliknya

Amalan dan taqwa jadi bekalan
Sejahtera, bahagia pulang…kesana

Sekujur badan berselimut putih
Rebah bersemadi sendiri
Mengharap kasih anak dan isteri
Apa mungkin pahala dikirim

Terbaring sempit seluas pusara
Soal bicara terus bermula
Sesal dan insaf tak berguna lagi
Hancurlah jasad dimamah bumi

Berpisah sudah segalanya
Yang tinggal hanyalah kanangan
Diiringi doa dan air mata
Yang pergi takkan kembali lagi

-Rabbani-

Hidup mengejar kualiti adalah tujuan hidup seorang muslim. Bukan kualiti pada luaran seperti pakaian, kasut dan kenderaan berjenama. Tetapi kualiti hidup memperhambakan diri kepada Allah. Kadang-kadang kita terlalu stress dengan kualiti kerja, kualiti keluarga, wang ringgit dan lain-lain. Malangnya kita gagal untuk stress bagi menjaga kualiti hidup dalam memperhambakan diri pada Allah s.w.t. Kita lebih stress dengan kehidupan dunia demi mencapai satu-satu kualiti yang bakal kita tinggalkan. Akhirnya kita mati dengan mengejar hidup di dunia tetapi tidak di akhirat.

Seharusnya aku dan semua tidak tertekan bila kita mengejar kualiti hidup sebagai seorang hamba yang taat kerana Allah adalah sebaik-baik penilai. Mungkin kerana kita mengejar kualiti hidup dunia melebihi kualiti hidup akhirat membuat kita kerisauan dan kebimbangan sentiasa.

Aku membisik di dalam hati;
“QUALITY is a JOURNEY but not a DESTINATION” iaitu satu perjalanan yang sentiasa menuntut kepada perubahan, perubahan untuk mencapai yang terbaik itu sentiasa berjalan hingga tiada penghujungnya. Maka kita perlu bekerja dan terus bekerja hingga akhir hayat untuk terus mengejar kualiti hidup dalam memperhambakan diri pada Allah. Hanya kembali kepada Allah hidup kita akan kembali tenang.

Kejayaan sebuah qualiti hidup amat bergantung kepada;
1. Istiqamah- dalam mencapai qualiti hidup seorang hamba
2. Sistematik- dalam mengatur hidup kearah mencapai qualiti hidup hamba
3. Optimis- dalam usaha mencapai kejayaan

Ayuh! kita bangkit semula. Sekian.itu




KEMBARA HIDUP

Modeling the Conscience, Pathfinding the Vision, Aligning the Discipline, Empowering the Passion!
"Keep your mind open to change all the time. Welcome it. It is only by examining and reexamining your opinions and ideas that you can progess. All of you were given two great gifts- your mind and your time. It is up to you to do what you please with both. You and only you have the power to determine your destiny. The choice is yours and only yours."

 

December 2009
S S M T W T F
« Oct    
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
262728293031  

Archives

Blog Stats

  • 31,800 guests

Categories