Archive for January 22nd, 2008

22
Jan
08

Pemimpin Yang Menolak Hukum Allah; Wajib Ditentang

Ketika Islam memerintahkan umatnya mentaati pemimpin, pada masa yang sama Allah mewajibkan pemimpin melaksanakan hukumNya pemerintahan mereka. Allah memerintahkan orang-orang beriman supaya kembali kepada Allah dan Rasul sekiranya berlaku sebarang perselisihan tentang sesuatu perkara. Firman Allah;

فَإِنْ تَنَاْزَعْتــُمْ فِيْ شَيْءٍ فَرُدُّوْهُ إِلَى اللهِ وَ الرَّسُوْلِ (النساء : 59)
“…Kemudian jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (sunnahnya)”.

Orang-orang yang menolak untuk berhukum dengan hukum Allah diistilahkan oleh al-Quran sebagai kafir, dzalim dan fasiq. Ketiga-tiga golongan ini termasuk mereka yang dimurkai Allah. Bahkan orang-orang beriman dilarang cenderung kepada orang-orang yang dzalim sebagaimana firman Allah;

وَ لا تـَرْكَنُوْا إِلَى الذِيْنَ ظَلَمُوْا فَتــَمَسَّكُمُ النَّارُ (هود : 113)
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim, maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu…”

Al-Quran memerintahkan umat Islam supaya mengkufuri dan menentang Thaghut dan hanya beriman kepada Allah semata-mata. Inilah tanda berpegang-teguhnya mereka kepada ikatan agama.

وَ مَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوْتِ وَ يُؤْمِنْ بِاللهِ فَقَدِ اسْتــَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثــْقَى …(البقرة : 256)
“Dan sesiapa yang mengkufurkan (tidak percaya) Thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang dengan simpulan (tali agama) yang teguh…”.

Syeikh Muhammad bin Abdul-Wahab menyatakan bahawa; “Kepala atau ketua Thaghut itu ada lima iaitu;

Syaitan yang menyeru kepada pengabdian kepada selain Allah.
Hakim yang zalim yang mengubah hukum-hakam Allah.
Orang-orang (termasuklah pemerintah) yang berhukum dengan hukum yang lain dari yang diturunkan Allah.
Orang-orang yang mendakwa ia mempunyai ilmu ghaib selain Allah.
Orang yang disembah selain Allah yang ia redha dijadikan sembahan”[1].

Imam Ibnu Katsir ketika mentafsirkan ayat ke 50 , surah al-Maidah yang berbunyi;

أ فحكم الجاهلية يبغون و من أحسن من الله حكما لقوم يوقنون (المائدة:50)
“Patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliah? Padahal -kepada orang-orang yang penuh keyakinan- tidak ada sesiapa yang boleh berbuat hukum yang lebih baik daripada Allah”.
Beliau menyatakan; “Sesiapa yang melakukan demikian (yakni menolak hukum Allah dan mengambil hukum-hakam yang lain sebagai gantinya seperti yang dilakukan oleh Tatar melalui raja mereka benama Genhiz Khan), maka dia adalah kafir dan wajib diperangi hinggalah ia kembali kepada hukum Allah dan RasulNya sama ada dalam masalah kecil atau besar”[2].
[1] Asy-syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab, Majmu’atu At-Tauhid.
[2] Ibnu Kathir, tafsir Al-Quran Al-‘Azim.

Oleh:

22
Jan
08

Kenapakah Kerajaan Atau Pemerintahan Islam Wajib Ditegakkan

Ada beberapa faktor yang menyebabkan umat Islam dituntut oleh Syara’ agar menegakkan kerajaan atau pemerintahan Islam iaitu;

a) Untuk mendaulatkan agama Allah[1].

Sesungguhnya setiap orang Islam dipertanggungjawabkan untuk bekerja / beramal bagi menegakkan kalimah Allah (iaitu agamaNya) supaya menjadi tinggi kepada tahap yang setingginya.

وَ جَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِيْنَ كَفَرُوْا السُّفْلَى وَ كَلِمَةَ اللهِ هِيَ الْعُلْيَاْ (التوبة : 40)
“Dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah dan kalimat Allah (agamaNya) yang tinggi…”

Sabda Rasulullah s.a.w. ;

مَنْ قَاتـَلَ لِتــَكُوْنَ كَلِمَةُ اللهِ هِيَ الْعُلْيَاْ فَهُوَ فِيْ سَبــِيْلِ اللهِ
“Barangsiapa yang berperang untuk menjadikan kalimah Allah yang tertinggi sekali maka ianya berjuang di jalan Allah”.

Kalimah Allah tidak akan tertegak ke tahap yang paling mulia pada setiap negeri, negara, kawasan atau rantau yang didiami oleh orang-orang Islam melainkan sekiranya orang-orang Islam di situ memerintahnya dengan pemerintahan Islam. Selagi mana kawasan atau muka-bumi umat Islam masih diperintah dengan sistem yang lain daripada Islam maka sekali-kali kalimah Allah tidak akan menjadi kalimah yang paling tinggi bahkan hal ini merupakan satu pemujaan dan pengagungan kepada kalimah-kalimah kufur dan sistemnya.

Selagi mana orang-orang Muslimin tidak merupakan orang-orang yang memerintah dengan sistem Islam maka selagi itulah ketinggian / keizzahan itu tidak akan menjadi milik ahli iman dan Islam. Ini adalah bertentangan sama sekali dengan kedudukan sebenar yang telah difirmankan oleh Allah S.W.T. ;

وَلــِلَّهِ الْعِزَّةُ وَلِرَسُوْلِهِ وَ لِلْمُؤْمِنِيْنَ وَ لَكِنَّ الْمُنَاْفِقِيْنَ لَاْ يَعْلَمُوْنَ
“Padahal kekuatan itu hanyalah bagi Allah, RasulNya dan bagi orang-orang yang beriman, tetapi orang-orang munafiq itu tiada mengetahui” (al-Munafiqun ; 8)

Dengan demikian, sekaligus dapat kita fahami bahawa ketika mana Islam tidak menjadi agama bagi negara (yakni pemerintahan dalam negara tidak mengikut Islam) dan ketua negara (raja atau perdana menteri) bukan seorang muslim, maka keadaan ini adalah bertentangan sama sekali dengan seluruh prinsip Islam. Bagi orang-orang Islam, mustahil keadaan ini boleh dibiarkan berterusan bahkan menjadi kewajipan ke atas mereka untuk bangkit dengan segala kekuatan yang ada pada mereka untuk menentang sistem-sistem (yang tidak Islam) ini sehingga ianya tumbang.

b) Untuk melaksanakan ajaran dan hukum-hakam Islam dengan sempurna di dalam negara.

Kerajaan Islam wajib ditegakkan untuk memastikan ajaran Islam dapat dilaksanakan dengan sempurna di atas muka-bumi ini. Terdapat banyak hukum-hakam Islam yang akan terabai jika umat Islam tidak mempunyai kerajaan yang mendaulatkan undang-undang Islam dalam segenap aspek kehidupan mereka.

Allah S.W.T. telah mewajibkan umat Islam melaksanakan hukum hudud bagi beberapa kesalahan jenayah yang telah disebutkan di dalam al-Quran dan as-Sunnah iaitu kesalahan membunuh, mencuri, merompak, meminum arak, berzina, menuduh orang berzina tanpa empat saksi dan kesalahan murtad. Penetapan hukum-hakam jenayah ini dapat dilihat dengan jelas di dalam al-Quran (iaitu ayat 178 surah al-Baqarah, ayat 92 surah an-Nisa’, ayat 32 surah al-Maidah, ayat 2 dan 4 surah an-Nur), dalam hadis Nabi dan menjadi suatu yang disepakati oleh para ulama’.

Kita semua maklum bahawa tugas melaksanakan undang-undang ke atas kesalahan jenayah bukanlah menjadi hak individu tetapi ia merupakan tanggungjawab kerajaan. Oleh itu, untuk memastikan perintah Allah supaya melaksanakan hukum-hakam hudud di atas dapat dilaksanakan dan kita akan terlepas dari dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kerana mengabaikannya maka wajib ke atas kita selaku umat Islam untuk menegakkan kerajaan Islam yang akan melaksanakan hukum-hakam tersebut.

Allah S.W.T. juga mewajibkan umat Islam menjalankan syura (permesyuaratan) dalam urusan mereka (lihat ayat 38 surah asy-Syura dan ayat 159 surah al-Imran), menjalankan kehakiman yang adil dan berdasarkan hukum / undang-undang yang diturunkan Allah (lihat ayat 58 surah an-Nisa’ dan ayat 44 surah al-Maidah), menjalankan ekonomi yang adil, bebas dari riba, pembaziran, perkara-perkara yang memudaratkan manusia (lihat ayat ayat 84-85 surah Hud, ayat 188 surah al-Baqarah, ayat 278-279 surah al-Baqarah, ayat 1-3 surah al-Muthaffifin, ayat 67 surah al-Furqan, ayat 7 surah al-Hasyr), menyeru kepada makruf (kebaikan) dan mencegah daripada kemungkaran (lihat ayat 104 surah al-Imran), membuat persediaan sepatutnya untuk jihad (lihat ayat 60 surah al-Anfal), membasmi perkara-perkara yang diharamkan Syara’ seperti arak dan judi (ayat 90 surah al-Maidah), pelacuran (ayat 33 surah an-Nur), pendedahan aurat (ayat 31 surah an-Nur) dan kewajipan-kewajipan yang lainnya.

Kewajipan-kewajipan di atas memerlukan sebuah kerajaan yang benar-benar mendaulatkan Islam untuk melaksana dan mengkuatkuasakannya di dalam negara. Mengharapkan individu semata-mata adalah mustahil kerana kuasa dan kemampuan individu adalah kecil dan terhad. Begitu juga, mengharapkan kerajaan sekular untuk melaksanakannya adalah sia-sia kerana sememangnya kerajaan sekular tidak bercita-cita melaksanakan ajaran agama kecuali dalam hal-hal berkaitan ibadah dan kerohanian sahaja.

Kerana ketiadaan kerajaan Islamlah kita melihat hari ini hampir keseluruhan perkara yang dituntut oleh Allah di atas tidak ditegakkan. Dalam negara kita hari ini manusia yang melakukan jenayah tidak dihukum berdasarkan hukum Allah, orang-orang murtad dibiarkan tanpa tindakan sewajarnya, keputusan-keputusan dibuat oleh kerajaan atau kuasa-kuasa dalam kerajaan (parlimen, kabinet, kehakiman) tanpa merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah, ekonomi riba dan corak perniagaan kapitalis berleluasa dalam negara, perkara-perkara munkar yang bercanggah dengan ajaran Islam (seperti riba, judi, arak, pelacuran, pendedahan aurat dan sebagainya) berlaku dengan bebas tanpa ada usaha-usaha pembasmian oleh kerajaan, pesta-pesta atau konsert-konsert dari artis-artis yang memaparkan budaya-budaya kotor yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam (seperti pemujaan kepada wanita, pendedahan aurat, perlakuan yang tidak senonoh, ikhtilat (percampuran bebas lelaki dan wanita) dan sebagainya) masih lagi diberi permit oleh kerajaan dan adakalanya kerajaan sendiri yang bertindak menganjurkannya. Sebenarnya banyak lagi pelanggaran-pelanggaran Syara’ yang berlaku di dalam negara kita hari ini lantaran daripada tidak adanya kerajaan Islam yang bertanggungjawab melaksanakan ajaran Islam sepenuhnya dalam negara.

Berlakunya fenomena-fenomena di atas menunjukkan dengan jelas, terang dan nyata bahawa negara kita hari ini bukanlah sebuah negara Islam dan kerajaan kita yang ada hari ini bukanlah sebuah kerajaan Islam. Ini kerana negara dan kerajaan Islam yang sebenar ialah yang berusaha untuk menegakkan segala perintah Allah sama ada membabitkan kerajaan atau rakyat dan tidak akan membiarkan satupun undang-undang Islam diabaikan apatahlagi dicemari kerana kelak ia akan dipersoalkan dihadapan Allah Taala di akhirat nanti.

Dalam satu kaedah feqah yang disepakati oleh ulama’ Islam ada dinyatakan;
مَاْ لَاْ يَتـِمُّ الْوَاْجِبُ إِلَّاْ بــِهِ فَهُوَ وَاْجــِبٌ
“Apa-apa urusan yang tidak sempurna sesuatu kewajipan melainkan dengannya maka ia juga turut menjadi wajib”.

Kaedah ini menunjukkan kepada kita bahawa; oleh kerana terdapat banyak kewajipan-kewajipan syara’ yang tidak dapat ditegakkan apabila tidak adanya kerajaan atau pemerintahan Islam sedangkan kewajipan-kewajipan ini diwajibkan Allah ke atas umat Islam melaksanakannya, maka dengan sendirinya kerajaan atau pemerintahan Islam menjadi suatu keperluan kepada umat Islam dan mereka wajib berusaha untuk mendapatkannya demi memastikan kewajipan menegakkan Islam dengan sempurna dapat dilaksanakan oleh mereka.

Dalam hal mencegah manusia daripada mungkar, tidak semua manusia akan tunduk kepada hukum-hakam dan penetapan Syara’ semata-mata dengan nasihat dan tunjuk-ajar atau ancaman (siksaan) dan galakan (pahala) dari al-Quran dan Sunnah. Dalam hal ini, perlunya kuasa kerajaan atau pemerintahan yang mempunyai autoriti ke atas mereka untuk memaksa mereka agar mematuhi undang-undang dan hukum-hakam Syara’.

Inilah kenyataan yang dapat difahami dari satu Hadis[2];
إِنَّ اللهَ لَيَزَعُ بــِالسُّلْطَاْنِ مَاْ لَاْ يَزَعُ بــِالْقُرْآنِ
“Sesungguhnya Allah menghapus dengan kekuasaan apa yang tidak dihapusNya dengan al-Quran”.

[1] Min ajli khutuwwah ilal amam, Syeikh Said Hawa, m.s 18, cet. Muassasah al-Khalij al-‘Arabi (1988).
[2] Tafsir al-Quranul ‘Azim, Ibnu Katsir, jil. 3, m.s 66, cet. Darul-Khair Beirut (1991).

Oleh:

22
Jan
08

Menubuh Parti Untuk Berjuang Bagi Menegakkan Kerajaan Islam

Dalam usaha menegakkan agama dan mendaulatkan Syari’at Allah serta hukum-hakamNya di atas muka-bumi ini, umat Islam diperintahkan supaya berdakwah dan berjihad menggunakan segala tenaga dan kemampuan yang ada pada mereka. Tanggungjawab berdakwah dan berjihad ini tidak diperintahkan supaya dilaksanakan secara individu atau perseorangan sahaja, tetapi juga dengan jamaah. Ini dapat difahami dari firman Allah;وَلْتــَكُن مِنكُمْ أمـَّةٌ يَدْعُوْنَ إِلَى الْخَيْرِ وَيـَأْمُرُوْنَ بــِالْمَعْرُوْفِ وَ يَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ (آل عمران : 104)
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) menyeru kepada kebaikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji)”.Menurut Tafsir Al-Jalalain, kalimah al-Khair (الخير) yang tersebut dalam ayat ini maksudnya ialah “Islam” (الإسلام). Di dalam hadis pula, Rasulullah menerangkan maksud al-Khair yang tersebut dalam ayat ini ialah ; “Menurut al-Quran dan sunnahku”.(Tafsir Al-Alusi). Dari ayat ini dapat kita fahami bahawa Allah memerintahkan kita supaya mengajak manusia kepada Islam, menyeru kepada makruf dan mencegah mereka daripada perkara maksiat dan munkar. Dan dalam melaksanakan tugas dakwah ini diperintahkan supaya dilakukan secara berjamaah atau berkelompok.

Termasuk berdakwah kepada Islam ialah mengajak manusia untuk menegakkan kerajaan atau pemerintahan Islam kerana tanpa kerajaan atau pemerintahan Islam, mustahil ajaran Islam itu dapat dilaksanakan dengan sempurna seperti yang dituntut oleh Allah. Ini telahpun dijelaskan dengan panjang lebar dalam huraian-huraian yang telah lalu.

Menegakkan sebuah kerajaan atau pemerintahan yang melaksanakan sepenuhnya hukum-hakam dan undang-undang Islam merupakan satu kewajipan yang terpikul di atas bahu sekelian umat Islam. Sepertimana kewajipan-kewajipan yang lain, mereka mesti memikirkan bagaimana untuk melaksanakannya. Kewajipan ini bukanlah suatu tugas yang mudah untuk dilaksanakan secara individu atau perseorangan. Ia hanya mampu dilakukan secara berjamaah sepertimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat dalam usaha menubuhkan Kerajaan Islam Madinah dan mempertahankannya daripada dihancurkan oleh musuh.

Perjuangan secara berjamaah sahaja yang mampu untuk memikul tugas dan tanggungjawab besar menegakkan kerajaan atau pemerintahan Islam. Dengan cara ini sahaja cita-cita menegakkan kerajaan Islam akan berjaya. Atas sebab inilah, para ulama’ harakah hari ini telah menegaskan dengan bersungguh-sungguh bahawa menubuhkan kumpulan, parti atau jamaah Islam pada zaman ini dikira suatu kewajipan semasa berdasarkan kaedah Syara’ yang disepakati oleh para ulama’ iaitu:

مَاْ لَاْ يَتـِمُّ الْوَاْجِبُ إِلَّاْ بــِهِ فَهُوَ وَاْجــِبٌ
“Apa-apa urusan yang tidak sempurna sesuatu kewajipan melainkan dengannya maka ia juga turut menjadi wajib”.

Menegakkan kerajaan Islam adalah wajib. Oleh kerana kewajipan ini tidak akan boleh dicapai tanpa ada jamaah atau parti yang memperjuangkannya, maka menubuhkan parti atau jamaah itu adalah wajib. Kewajipan ini sama seperti kewajipan-kewajipan yang lain yang tidak ada nas yang nyata daripada al-Quran atau as-sunnah tetapi dianggap wajib oleh Syara’ kerana ia membantu melaksana kewajipan-kewajipan yang disebut secara nyata oleh al-Quran dan as-sunnah. Ia sama seperti kewajipan berjalan ke masjid untuk menunaikan kewajipan solat jumaat, kewajipan membukukan al-Quran untuk menunaikan kewajipan menjaga al-Quran, kewajipan belajar dan berlatih menggunakan senjata untuk melaksanakan kewajipan berjihad dan sebagainya.

Apatahlagi dalam suasana hari ini, dengan kemunculan pelbagai parti sekular yang memperjuangkan ideologi politik sekular (sama ada yang bersifat Nasionalis, Sosialis, Kapitalis, Komunis dan sebagainya) dan berusaha menegakkan kerajaan sekular, maka amat malanglah bagi masa depan Islam jika umat Islam yang diberi kemuliaan oleh Allah untuk menjadi penganut Islam tiba-tiba tidak berkesedaran untuk menubuhkan parti Islam, yang memperjuangkan fahaman politik Islam dan berusaha menegakkan kerajaan atau pemerintahan Islam.

Tindakan para ulama’ di serata dunia pada zaman mutakhir ini seperti Imam As-Syahid Hassan Al-Banna (di Tanah Arab), Sayyid Abul-Ala Al-Maududi (di Benua India), Syeikh Badi’uzzaman Said Nursi (di Turki) dan para alim-ulama’ di Malaysia ini untuk menubuhkan jamaah atau parti yang memperjuangkan Islam untuk menghadapi pelbagai parti yang memperjuangkan fahaman-fahaman manusia (seperti Sekularis, Nasionalis/Kebangsaan, Sosialis, Kapitalis dan sebagainya) hendaklah dilihat serupa dengan tindakan yang diambil oleh para ulama’ dan fuqaha’ terdahulu (antaranya Imam Asy’ari, Imam Maturidi, Imam Ahmad bin Hanbal dan sebagainya) yang mengasaskan kelompok Ahli Sunnah Wal-Jamaah untuk menghadapi golongan Muktazilah, Murjiah, Syiah dan Khawarij yang merupakan firqah-firqah (yakni kelompok) kesesatan pada zaman itu. Kalau tindakan ini dianggap wajib pada zaman dahulu, maka tidak ada sebab kewajipan itu tidak boleh berulang kerana pada zaman ini umat Islam juga berhadapan dengan kelompok-kelompok yang sesat yang menyimpang dari ajaran Islam iaitu kelompok-kelompok yang menganut fahaman sekular yang memisahkan agama daripada negara.
Oleh:



KEMBARA HIDUP

Modeling the Conscience, Pathfinding the Vision, Aligning the Discipline, Empowering the Passion!
"Keep your mind open to change all the time. Welcome it. It is only by examining and reexamining your opinions and ideas that you can progess. All of you were given two great gifts- your mind and your time. It is up to you to do what you please with both. You and only you have the power to determine your destiny. The choice is yours and only yours."
January 2008
S S M T W T F
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
262728293031  

Archives

  • 61,283 guests

Categories